Ekonomi Islam

Antara kaedah-kaedah amalan Institusi Ekonomi Islam

1) Wadiah (al-Wadi’ah).
Wadiah adalah perjanjian antara pemilik barang (misalnya wang) dengan pihak lain (misalnya bank) sebagai pemegang amanah dengan tujuan untuk disimpan barang tersebut. Wadiah tanpa sebarang syarat adalah merupakan amanah. Dalam hal ini pemegang amanah tidak bertanggung jawab ke atas kerosakan atau kehilangan barang tersebutjika tidak disebabkan oleh perbuatan atau kecuaiannya. Jika pemegang amanah menggunakan barang tersebut (dengan atau tanpa keizinan pemilik) maka wadiah menjadi jaminan. Dfalan hal ini semua manfaat dan keuntungan yang diperolehi oleh pemegang amanah dari penggunaan barang tersebut menjadi haknya. Beliau bertanggungjawab ke atas kerosakan atau kehilangan barang simpanan berkenaan.

2) Mudharabah (al-Mudharabah).
Mudharabah adalah perjanjian di antara pemodal dan pengusaha projek yang ditanggung sepenuhnya oleh pemodal. Untung dikongsi bersama dengan nisbah yang dipersetujui bersama terlebih dahulu misalnya 50:50, 40:60 atau 30:70. Pemilik modal tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam pengurusan projek, tetapi boleh mengawasi dan membuat susulan. Kerugian, jika berlaku ditanggung sepenuhnya oleh pemodal kecuali jika disebabkan kecuaian, penyelewengan atau penyalahgunaan pengusaha.

3) Musyarakah (al-Musyarakah).
Musyarakah adalah perjanjian perkongsian di antara dua atau lebih pemodal bagi menjalankan sesuatu projek secara berkongsi untung-rugi. Modal yang disumbangkan, samada wang atau harta benda lain yang boleh dinilai dengan wang, hendaklah dicampur supaya menjadi hak projek, mereka perlu mendapatkan keizinan pemodal yang lain untuk berbuat demikian. Keuntungan dibahagi di antara mereka mengikut nisbah yang telah dipersetujui terlebih dahulu. Nisbah tidak semestinya berdasarkan nisbah sumbangan modal masing-masing. Kerugian jika berlaku hendaklah ditanggung bersama mengikut nisbah sumbangan modal masing-masing.


4) Jualan Dengan Tambahan Untung (al-Murabahah)
Jualan dengan tambahan untung adalah perjanjian jual-beli di antara pemilik barang (pemodal) dan pembeli (pelanggan). Pemilik barang menetapkan jumlah keuntungannya. Dalam urusan bank, biasanya pelanggan (pembeli) memberitahu jenis dan sifat barang yang dikehendaki. Bank kemudian membeli barang tersebut daripada pihak ketigauntuk dijual semula kepada pelanggannya.
Harga jualan bank (pemilik) meliputi kos asal barang tersebut ditambah untung yang telah dipersetujui dengan pelanggannya. Perjanjian jual-beli ini sah sekiranya kedua-dua belah pihak mengetahui kos barang asal dan jumlah untung pemodal.

5) Jualan Harga Tangguh (Bai’ Bithaman Ajil).
Jualan harga tangguh adalah perjanjian di antara penjual dan pembeli dalam mana penjual menyerahkan barang serta merta tetapi pembeli menangguhkan pembayaran harga sehingga suatu tempoh tertentu atau membuat bayaran secara ansuran.
Harga dalam jualan harga tangguh boleh lebih tinggi berbanding dengan bayaran tunai (serta merta). Harga tidak boleh diubah algi selepas dipersetujui dan dimeterai dalam perjanjian. Tempoh bayaran ansuran dan jumlah bayaran bagi satu-satu ansuran terpulang kepada persetujuan kedua pihak.

6) Jual Beli Tempah (Bai’ al-Salam)
Jualan Salam adalah perjanjian di antara penjual dan pembeli dalam mana pembeli membayar serta merta tetapi penjual menangguhkan penyerahan barang sehingga satu tempoh tertentu. Jual Salam adalah kebalikan kepada jualan harga tangguh. Barang berkenaan hendaklah disifatkan (dijelaskan) dengan nyata dan ditetapkan jumalh atau kadarnya. Tempat penyerahan barang hendaklah ditentukan.

7) Sewaan (al-Ijarah).
Sewaan adalah perjanjian di antara pemilik harta dan penyewa dalam mana pemilik membenarkan penyewa mengguna dan memperolehi manfaat dari harta tersebut dan penyewa membayar sewaan seperti yang dipersetujui bersama. Jenis dan sifat harta yang disewakan, tempoh sewaan, cara pembayaran serta perkara-perkara lainhendaklah dijelaskan bagi mengelakkan perbalahan.

8) Al-Bai’ al-Tajiri
Sewa-jual (sewa-beli) adalah sama seperti sewaan, cuma ditambah peruntukan bahawa pemilik harta selepas sesuatu tempoh tertentu bersetuju menjualkan terus harta tersebut kepada penyewa pada harga yang dipersetujui bersama dengan diambil kira jumlah bayaran sewaan yang telah dijelaskan sebagai sebahagian dari harga tersebut. Hendaklah dipenuhi semua syarat sewaan dan penukaran hakmilik seperti yang ditetapkan oleh syarak.

9) Upahan
Upahan adalah perjanjian di antara pengambil upah dan pemberi upah dalam mana pengambil upah melaksanakan sesuatu khidmat dan pemberi upah membayar upahan mengikut kadar yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sifat-sifat perkhidmatan, kadar upahan dan perkara-perkara lain yang berkaitan perlu dinyatakan dengan jelas bagi mengelakkan perbalahan.

10) Pewakilan (al-Wakalah).
Wakalah adalah perjanjian di antara pihak yang melantik wakil dengan wakilnya ini dalam mana pelantik memberi kuasa kepada wakil untuk melaksanakan sesuatu tugas bagi pihaknya. Tugas itu hendaklah dinyatakan dengan jelas. Wang atau harta yang diterima oleh wakil untuk menjayakan tugasnya adalah dianggap Wadiah selama mana wang atau harta ini berada dalam tangannya. Wakil boleh mengambil upahan atas khidmat pelaksanaan tugasnya.

11) Pinjaman Kebajikan (a-Qardh al-Hasan).

Pinjaman kebajikan adalah perjanjian di antara pemberi pinjaman dan peminjam dalam mana pemberi bersetuju meminjam sejumlah wang bagi satu tempoh yang dinyatakan dengan syarat-syarat bayar balik dan lain-lain perkara berkaitan yang ditetapkan., dan peminjam diwajibkan membayar balik jumlah wang yang sama banyak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Unsur utama pelaksanaan pinjaman kebajikan ini adalah semata-mata pertolongan orang yang berkemampuan untuk orang yang memerlukan. Pemberi pinjaman tidak boleh meminta sebarang untung daripada peminjam selain dari jumlah wang yang dipinjamkan. Walaubagaimana pun peminjam disunatkan membayar lebih dari kadar pinjmannya sebagai mengenang jasa.

12) Gadaian (al-Rahn).
Gadaian adalah perjanjian di antara penggadai (si berhutang) dan penerima gadaian (pemberi hutang) dalam mana penggadai menyerahkan suatu barang berharga sebagai cagaran kepada penerima gadaian. Sekiranya hutang tidak dapat dijelaskan penerima gadaian boleh menjual barang gadaian. Daripada hasil jualan di ambil kadar jumlah yang belum dijelaskan dan bakinya dikembalikan kepada penggadai. Cagaran hendaklah merupakan milik penuh penggadai dan beliau berkuasa terhadap harta gadaian itu; tidak boleh misalnya, harta yang disita oleh mahkamah. Penerima gadaian mestilah menerima cagaran secara mutlak. Misalnya, jika tanah dijadikan barang gadaian, gerannya hendaklah diserahkan kepadanya. Pemegang gadaian tidak berhak mengambil hasil atau faedah daripada barang yang disimpannya melainkan dengan izin penggadai. Dalilnya adalah merujuk kepada surah al-Baqarah :283 ysng bermaksud :
“ Jika kamu dalam perjalanan (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh) sedangkan tiada jurutulis, maka hendakalah diadakan barang gadaian untuk dipegang”.

13) Jaminan Hutang atau Jaminan Pelaksanaan Kerja (al-Kafalah).
Jaminan hutang adalah perjanjian di antara penjamin kepada si berhutang (yang melaksanakan kerja) dengan pemberi pinjaman (penerima jaminan) dalam mana penjamin menerima tanggungjawab untuk menjelaskan hutang (membayar gantirugi) jika sekiranya si berhutang gagal menunaikan tanggungjawabnya. Hutang yang dijamin itu hendaklah yang sah dan yang wajib dibayar.

14) Insurans (al-Takaful).
Insurans adalah kontrak perjanjian perlindungan dalam mana insurer menerima sejumlah bayaran daripada pemegang polisi, insurer akan membayar gantirugi dengan kadar yang ditetapkan. Takaful bermaksud ‘saling bahu membahu’, ‘saling jamin menjamin’ atau ‘saling pelihara memelihara’. Sesuai dengan konsep ini insurans Islam lebih merupakan suatu pakatan ahli untuk saling lindung-melindungi di antara satu sama lain dari kehilangan atau kerugian akibat kemalangan. Sementara syarikat takaful nmpaknya lebih merupakan ‘pengurus’ atau pemegang amanah kepada pakatan ini. Berdasarkan Syarikat Takaful Malaysia Sdn. Bhd., kita lihat secara ringkas contohnya bagaimana asas operasi takaful. Perjanjian di antara syarikat dengan peserta adalah perjanjian al-Mudharabah. Syarikat bertindak sebagai pengusaha (al-Mudharib) dengan menerima wang caruman peserta bagi menguruskan skim-skim atau pelan takful, membuat pelaburan, dan sebagainya. Peserta bertindak sebagai pemilik harta (sahib al-Mal).
Dalam perjanjian tersebut diterangkan bagaimana keuntungan (lebihan) daripada skim-skim atau pelan-pelan takaful berkenaan akan dibahagikan antara syarikat dengan peserta. dijelaskan juga bagaimana syarikat akan menggunakan wang caruman peserta untuk ditadbir dan dilaburkan, dan sebahagiannya disumbangkan bagi menolong rakan-rakan peserta yang menemui mala petaka dan bencana. Peserta juga diberitahu tentang hak-hak mereka serta syarat-syarat berhubung dengan perlindungan yang diberi dan dan berhubung dengan apa-apa manfaat yang akan mereka perolehi daripada skim-skim atau pelan-pelan takaful.

15) Perbankan.
Bank merupakan perantara di antara dua kumpulan pelanggan. Lumpulan pertama adalah para penyimpan samada orang perseorangan, jabatn kerajaan, badan berkanuan, syarikat swasta dan lain-lain. Tanpa wang simpanan mereka bank tidak dapat menjalankan operasinya. Mereka menyimpan dengan tujuan keselamatan dan keselesaan menggunakan wang mereka, atau bertujuan untuk berkongsi untung dengan bank. Kumpulan kedua adalah para peminjsm yang memerlukan wang misalnya untuk projek perniagaan dan pelaburan. Kumpulan ini juga terdiri dari orang perseorangan, badan berkanuan, syarikat dan lain-lain. Dengan itu bank memberi khidmat perantaraan kepada kedua-dua kumpulan di atas. bank mempunyi hak dan tanggungjawab tertentu terhadap kedua-dua pihak ini.
Ianya bertujuan untuk memberi keadilan kepada semua pihak, Bank Islam menggunakan kaedah -kaedah yang telah kita sebut di atas. Bank Islam Malaysia Bhd. misalnya menggunakan kaedah Wadiah bagi akaun simpanan dan akaun semasa, dan mudharabah bagi akaun pelaburan. Sementara dalam pembiayaan-pembiayaan pembelian harta, projek perniagaan dan pelaburan ia menggunakan kaedah-kaedah mudharabah, musyarakah, jualan dengan tambahan untung, sewaan, sewa-jual dan wakalah.

16) Baitulmal (bait al-Mal).
Baitulmal merupakan perbendaharaan negara Islam. Ia berfungsi untuk membangunkan perkara yang berkaitan dengan ibadat khusus, seperti menyediakan tempat sembahyang (masjid), dan kegiatan pembangunan umum negara - samada untuk pembangunan ekonomi, infrastruktur, pendidikan, pertahanan, perkhidmatan awam, kebudayaan dan sebagainya.
Baitulmal secara rasmi telah ditubuhkan pada zaman Umar al-Khattab. Secara tidak rasmi ia telah wujud pada zaman Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar as-Siddiq. Tetapi sumber pendapatan negara Islam yang awal ini tidak disimpan lama, ia terus diagihkan kepada yang berhak menerimanya. Pendapatan negara dibelanjakan sepenuhnya tanpa ada lebihan. Inilah mungkin faktor terpenting mengapa institusi baitulmal tidak timbul pada dua zaman ini.Baitulmal juga berfungsi untuk memberikan pinjaman dan bagi orang bukan Islam ianya diambil dari Baitul Am yang sumbernya lebih bersifat umum termasuk jizyah, galian dan lain-lain termasuk dari sumber-sumber haram seperti cukai binatang haram.Untuk menanggung sara hidup khalifah ianya diambil dari Baitul Khas yang lebih jelas fungsinya pada zaman Bani Abbasiyyah.

1 comment:

  1. Assalammualaikum..
    1) Mengapa semua konsep ini bercirikan Islam?
    2) Adakah konsep ini wujud pada hari ini?

    ReplyDelete