5.1 Pengertian Syahadah dan Tuntutannya.
Syahadah (شَهَادَةٌ) dalam bahasa Arab bermakna perkhabaran tentang apa yang telah dilihat dan pengakuan tentang perkara yang telah diketahui.
Dari segi penggunaannya dalam bahasa Arab, perkataan syahadah juga boleh digunakan untuk sijil atau apa-apa sahaja surat yang mengandungi keterangan-keterangan dan akuan. Perkataan 'Syahadah' juga mengandungi maksud: ikrar dan pengakuan serta keyakinan.
Syahadah yang akan kita bincangkan di sini adalah penyaksian, pengakuan dan keyakinan pada Dua Kalimah Syahadah yang menjadi syarat untuk seseorang itu memeluk agama Islam.
“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan ALLAH dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh ALLAH
5.1.1 Syahadah Kepada Allah SWT.
Syahadah ini bermaksud mentauhidkan Allah dengan tauhid Rububiyyah, tauhid Uluhiyyah, tauhid al Asma’, as Sifah wa al Af`al serta tidak menghadapkan sembahan kepada sesuatu yang lain selain dari Allah SWT.
Di dalam kalimah La Ilaha Illallah terdapat dua perkara rukun iaitu nafi (penafian) dan ithbat ( penegasan ). Nafi dapat diperhatikan pada kalimah ( La Ilaha ) yang bererti menolak sebarang bentuk pengabdian selain daripada Allah. Penegasannya dapat diperhatikan pada kalimah ( Illallah ) yang bererti menegaskan tentang hakikat ketuhanan Tuhan yang maha Esa lagi tunggal ( Allah ).
5.1.2 Syahadah Kepada Rasul SAW.
Syahadah ini bermaksud ikrar dan tasdiq dengan segala syariat yang dibawa oleh Nabi atau Rasulullah SAW dan segala pemberitahuan mengenai perkara ghaib semuanya datang dari Allah serta menerima semua akhlak dan sifat kerasulan seperti siddiq, amanah, tabligh dan fatanah.
Syahadah ini merupakan teras Islam yang kedua. Syahadah ini menuntut manusia mengetahui, membenar dan meyakini bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah serta membuktikannya dengan perkataan dan perbuatan secara sekaligus.
Pembuktian dengan perkataan ialah melafazkan kalimah syahadah itu dengan lidah. Manakala pembuktian dengan perbuatan ialah menegakkan tingkah laku dan seluruh tindak tanduk yang bersesuaian dengan ajaran Nabi Muhammad SAW serta menurut jejak langkah baginda.
Tugas Rasulullah SAW adalah untuk memberitahu kepada manusia bahawa Allah SWT adalah penciptanya yang layak disembah dan Dialah yang meletakkan manusia ke jalan yang lurus. Dengan keyakinan ini barulah manusia dapat sampai ke jalan kebahagiaan dan kesempurnaan sebenar.
Manusia sendiri tidak dapat mengetahui perkara-perkara ghaib mengenai Pencipta dan Sirat al-Mustaqim dengan menggunakan kudrat dan akalnya yang lemah dan terhad. Manusia sering kali melakukan kesilapan. Oleh itu pengutusan para rasul menunjukkan kebijaksanaanNya dan merupakan rahmat yang paling besar untuk umat manusia.
Sebagai kesimpulannya, adalah tidak sepatutnya manusia mengingkari rasul Allah . Firman Allah SWT :
Maksudnya :
“Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajarnya ketika mana mereka berkata : Allah tidak menurunkan sesuatu pun untuk manusia.” ( al-An’am : 91)
5.2 Tauhid Rububiyyah Dan Tauhid Uluhiyyah.
5.2.1. Tauhid Ar-Rububiyyah
Ar-Rububiyyah berasal dari kalimah ar-Rabb. Ar-Rabb (الرّبّ) bermaksud yang memiliki, yang menguasai dan yang mentadbir. Tauhid Rububiyyah bermaksud meyakini bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan Pencipta alam ini, yang memilikinya, yang mengatur perjalanannya, yang menghidup dan mematikan, yang menurunkan rezki kepada makhluk, yang berkuasa mendatangkan manfaat dan menimpakan mudharat, yang mengabulkan doa dan permintaan hamba tatkala mereka terdesak, yang berkuasa melaksanakan apa yang dikehendakinya, yang memberi dan menegah, di tanganNya segala kebaikan dan bagiNya penciptaan dan juga segala urusan,
Perkataan ‘Rabb’ ada mempunyai beberapa makna. Antaranya ialah :
1. Pencipta
2. Pemilik segalanya
3. Pemberi rezeki
4. Pentadbir
5. Penguasa
6. Pengabul doa-doa
7. Penjaga.
Firman Allah SWT :
Maksudnya :
“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka dialah yang maha berkuasa atas segala sesuatu.” ( al-An’am : 17)
Dengan itu, semua makhluk bergantung kepadaNya, memerlukan pertolonganNya serta berharap kepadaNya. Apa yang dimiliki makhluk hanya bersifat sementara dan pinjaman. Oleh itu jika manusia mempunyai sifat berkuasa dan memiliki, maka sifat itu hanya sementara kerana segala sesuatu di alam ini adalah kepunyaan Allah SWT.
Begitu juga dengan kepandaian dan kebijaksanaan yang dimiliki manusia, semuanya datang dari Allah SWT. Ini kerana hakikat sebenarnya ialah manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak mempunyai apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk serta gerak nafasnya datang dari Allah SWT. Dengan keyakinan itu, maka timbul kesan syahadah tauhid dalam diri seseorang muslim. Dia hanya takut kepada Allah SWT dan berani untuk bertindak melakukan sesuatu juga kerana keyakinannya kepada Allah.
5.2.1.1 Fitrah Manusia Mengakui Sifat Rububiyyah Allah SWT.
Hakikat ini dapat dibuktikan secara jelas dengan pengiktirafan orang-orang kafir Quraish semasa al Qur’an diturunkan dan menyeru mereka supaya menyembah Allah SWT. Mereka mengaku bahawa tidak layak bagi manusia lebih-lebih lagi patung dan berhala bersifat dengan salah satu sifat rububiyyah Allah SWT. Sebagai contoh berhala yang mereka sembah itu sendiri tidak mempunyai sifat penguasa yang mutlak dan pencipta yang mutlak kerana berhala-berhala tadi juga diciptakan oleh manusia. Allah SWT telah telah mengabadikan pengakuan mereka itu di dalam al Qur’an. Antaranya ialah Firman Allah SWT :
Maksudnya :
“Dan sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka”, nescaya mereka menjawab: “Allah”. ( az-Zukhruf: 87)
Firman Allah SWT lagi :
Maksudnya :
“Dan jika kanu bertanyakan mereka tentang : Siapakah pencipta langit dan bumi ? Nescaya mereka menjawab : Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui. ( az-Zukhruf : 9)
Berdasarkan kepada ayat di atas dapat disimpulkan bahawa tidak susah untuk membuktikan Rububiyyah Allah SWT. Ianya dapat dibuktikan melalui fitrah manusia itu sendiri. Manusia yang mensyirikkan Allah juga mengakui ketuhanan Allah Yang Maha Pencipta. Al Qur’an juga mengiktiraf adanya tauhid Rububiyyah di dalam jiwa manusia. Ini dapat diperhatikan pada firman Allah SWT :
Maksudnya :
“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) pada hal hati mereka meyakini (kebenaran)nya”. ( an-Naml : 14)
Keengganan dan kesombongan sebahagian manusia untuk mengakui kewujudan Allah sebagai Pencipta, sebenarnya didorong oleh perasaan sombong, degil dan keras hati. Hakikatnya, fitrah manusia tidak boleh kosong dari memiliki perasaan mendalam yang mengakui kewujudan Pencipta. Tabiat manusia apabila berada di saat genting dan kesusahan tidak akan terlintas sesuatu di dalam hatinya kecuali Allah sahaja. Di saat itu segenap perasaan dan fikirannya di pusatkan kepada Allah SWT sahaja. Ini dibuktikan melalui firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan keikhlasan kepadaNya, maka ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka tetap berada di jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari ayat-ayat kami selain golongan yang tidak setia lagi ingkar.” ( Luqman : 32)
5.2.2 Tauhid Uluhiyyah
Al-Uluhiyyah pula berasal dari kalimah al-Ilah. Al-Ilah bermaksud yang berhak disembah di mana kepadanya ditujukan segala ibadah (pengabdian diri). Jadi, Tauhid al-Uluhiyyah bermaksud mengesakan Allah sebagai Ilah, iaitu meyakini bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah dan diqasadkan segala ibadah, tidak harus ditunaikan ibadah melainkan kepadaNya sahaja dan tidak harus mensyirikkanNya dengan sesuatu apapun di langit mahupun di bumi. Firman Allah SWT:
Maksudnya :
“Dan Kami tidak mengutuskan rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa tiada tuhan melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah menyembah Aku”. ( al-Anbiya’ : 25)
Firman Allah SWT :
Maksudnya :
“Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru) : Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.” ( an-Nahl : 36)
Makna Ilah ialah sesuatu yang dipuja dan disembah. Apa yang kita puja dan sembah ia adalah Ilah kita. Orang yang beriman dengan keimanan yang tuntas hanya menjadikan Allah sebagai Ilahnya kerana Allah sahaja yang layak disembah dan diberi ketaatan sepenuhnya. Itulah makna Tauhid al Uluhiyyah.
5.2.3 Tauhid Asma Wa Sifat
Tauhid asma wa sifat ialah beriman kepada nama-nama Allah dan sifat- sifat-Nya, sebagaimana yang diterangkan dalam Al-Qur'an dan Sunnah Rasul-Nya menurut apa yang sesuai bagi Allah s.w.t, tanpa ta'wil dan ta'thil(menafikan), tanpa takyif (mempersoalkan) dan tamtsil (menyerupakan). Boleh juga dikatakan bahawa tauhid ini adalah beriman bahwa Allah memiliki nama dan sifat baik (asma ul-husna) yang sesuai dengan keagungan-Nya.
Firman Allah
“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (QS 42:11)
Kita beriman bahawa sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat tetapi kita mestilah meyakini bahawa pengdengaran dan penglihatan Allah SWT tidak sama seperti manusia dan makhluk-makhluk yang lain.
5.2.4. Hubungan Antara Tauhid Rububiyyah Dengan Tauhid Uluhiyyah.
Tauhid Rububiyyah akan melahirkan keimanan kepada tauhid Uluhiyyah. Tauhid Uluhiyyah pula mengesakan Allah dalam pengabdian berbentuk amal perbuatan dan tingkah laku para hamba dan amal perbuatan ini membezakan di antara muslim dan bukan muslim. Al Qur’an terlebih dahulu memperingatkan orang-orang musyrikin Quraisy agar mengakui Tauhid al Rububiyyah. Apabila mereka menerima Tauhid al Rububiyyah dan bersungguh-sungguh mengakuinya, maka terbinalah jambatan yang menghubungkan mereka dengan tauhid al Uluhiyyah. Firman Allah SWT :
Maksudnya :
“Hai manusia, telah dibuat perumpamaan maka dengarlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu serukan selain daripada Allah tidak dapat menciptakan sesekor lalat, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tidak mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah pula yang disembah.” ( al-Hajj :73)
Ayat di atas mengingatkan orang-orang musyrikin mengenai suatu hakikat yang nyata iaitu sembahan-sembahan mereka adalah lemah, malah tidak berkuasa untuk mencipta sesuatu walaupun seekor lalat. Jika lalat itu mengambil atau merampas sesuatu dari mereka, maka mereka tidak berkuasa untuk mendapatkannya kembali. Ini menandakan kelemahan mereka. Oleh itu akal yang sejahtera tidak boleh menerima penyembahan selain daripada Allah SWT.
5.3 PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH.
Perkara yang menyebabkan rosaknya iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga bahagian:
Pertama: Iktikad. Kepercayaan yang bertentangan dengan dasar Islam iaitu, contohnya:
1. Iktikad bahawa alam ini qadim, tidak ada pencipta atau alam ini kekal selama-lamanya.
2. Iktikad bahawa pencipta alam ini baru, atau menyerupai mana-mana jenis makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baru ataupun mempunyai anak isteri atau berbilang-bilang atau menerima mati.
3. Iktikad menafikan kebenaran apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Iktikad bahawa Rasulullah SAW sebenar ialah yang disebutkan sebagai Muhammad batin, bukan Muhammad yang zahir, atau iktikad bahawa kerasulan Nabi Muhammad SAW hanya untuk orang-orang Arab sahaja, atau iktikad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ialah hukum-hukum yang lapok dan tidak praktikal untuk digunakan pada zaman moden.
Kedua: Perkataan. Iaitu tiap-tiap yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek dan mempermain-mainkan nama Allah, sifatNya, malaikat-malaikatNya, rasul-rasulNya, kitab-kitabNya, ayat-ayatNya dan hukum-hukumNya serta hukum-hukum yang diterang oleh RasulNya. Juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulama’ mengistinbatkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.
Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:
1. Hukum apa ini ?
2. Hukum ini sudah lapok.
3. Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana menghalangi kemajuan.
Ketiga: Perbuatan. Iaitu:
1. Tiap-tiap perbuatan dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan mengagungkan Allah, seperti sujud kepada makhluk walaupun tidak dengan niat menghormatinya sama seperti Tuhan atau tunduk kepada mana-mana makhluk sehingga sampai kepada had sekurang-kurangnya rukuk sembahyang dengan tujuan menghormatinya seperti menghormati Allah.
2. Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.
3. Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain dari Allah.
Di antara contoh-contohnya perbuatan seperti yang dinyatakan di atas ialah menyembah berhala, bertenung nasib, murtad dan lain-lain lagi.
5.4.1 DUA PULUH PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH.
Sekiranya seseorang itu melakukan salah satu daripada 20 perkara berikut maka batallah iman (syahadah) mereka:-
Bil Per. yang membatalkan Contoh/Huraian
1 Bertawakkal dan bergantung kepada selain Allah Bergantung kepada sebab-sebab dan melupakan bahawa yang mengizinkan sebab itu berkesan adalah Allah, dikira maksiat. Bergantung kepada sebab dan yakin pula bahawa sebab-sebab itu tidak ada hubungan dengan Allah, maka dikira syirik dan merosakkan syahadah. Di dalam Al-Quran banyak disebutkan tentang masalah ini.
Firman Allah:
Maksudnya :“Dan tidak ada pertolongan melainkan dari pihak Allah yang Maha Gagah lagi Maha Bijaksana menyembuhkan.”(Ali-‘Imran: 126)
2 Mengingkari nikmat Allah, sama ada nikmat yang kelihatan atau tidak, mudah difikirkan atau memerlukan penelitian khusus.
Firman Allah:
Maksudnya:“Dia memberikan kamu daripada setiap apa yang kamu minta, dan jika kamu menghitung nikmatNya, kamu tidak akan mampu menghitungNya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim lagi kufur.”
(Ibrahim: 34)
Maksudnya :“Sesuatu bahaya tidak akan menimpa kecuali dengan izin Allah. Sesiapa yang beriman kepada Allah nescaya Allah memimpinnya. Dan Allah mengetahui tiap-tiap sesuatu.
(At-Taghaabun: 11)
3 Bekerja atau berkhidmat dengan tujuan selain Allah. Hal ini sangat dimurkai oleh Allah.
Firman Allah:
Maksudnya :“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekelian alam.” (Al-An’aam: 162)
Berdasarkan ayat tersebut, ditegaskan dengan penuh yakin bahawa tidak ada ibadat atau perhambaan yang ditujukan kecuali kepada Allah.
4 Membuat undang-undang menurut kemahuan manusia, bukan menurut kehendak dan ketentuan yang telah digariskan oleh Allah.
Perbuatan seperti ini dikira melawan Allah, kerana Allahlah yang mempunyai hak menentukan undang-undang bagi kehidupan manusia, sama ada halal atau haram, kehakiman atau segala bentuk perintah dan larangan.
Firman Allah:
Maksudnya :“Bukankah semua ciptaan dan kekuasaan itu kepunyaanNya ? Maha Tinggi Allah Pengurus sekalian alan.” (Al-A’raf: 54)
Maksudnya: “Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum, ia menerangkan kebenaran, dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan.”
(Al-An’aam: 57)
Termasuk dalam kategori perbuatan yang merosakkan syahadah ialah orang yang tidak mahu menerima tugas yang diperintahkan oleh Allah kepadanya. Tugas itu ialah melaksanakan hukum Allah di bumi ini sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.
5 Mentaati selain Allah tanpa keredhaanNya Antara lain bermakna syahadah ialah “Tidak ada yang layak dipatuhi melainkan Allah.” Taat yang dibenarkan dan dikehendaki oleh Allah ialah taat kepada RasulNya. Ini disebabkan mentaati Rasul bermakna mentaati Allah.
Firman Allah:
Maksudnya:“Sesiapa yang mentaati Rasul, maka ia mentaati Allah.” (An-Nisa’: 80)
Taat kepada pemimpin atau pemerintah hanya dibenarkan selagi mereka tetap mematuhi dan melaksanakan Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah. Jika mereka telah keluar dari keduanya, maka tidak boleh taat kepada mereka. Mereka ketika itu telah melakukan maksiat sama ada mereka itu ulamak atau bukan ulamak.
Sabda Nabi S.A.W. :
Maksudnya :“Tidak ada bentuk ketaatan kepada makhluk di dalam hal durhaka dan maksiat kepada Allah.” (Riwayat Ahmad dan Hakim)
6 Menjalankan hukum selain daripada hukum Allah atau tidak menggunakan hukum Allah sebagai rujukan dalam semua masalah.
Firman Allah:
Maksudnya :“Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum-hukum yang telah diturunkan Allah maka mereka itu adalah orang-orang kafir.” (Al-Maidah: 44)
Maksudnya :“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelummu ? Mereka ingin berhakim kepada taghut padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari taghut. Syaitan bermaksud menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya. Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu tunduk kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul, kamu lihat orang-orang munafik menghalangi manusia dengan sekuat-kuatnya darimu.” (An-Nisa’: 60-61)
7 Benci kepada salah satu dari ajaran Islam atau keseluruhannya Firman Allah:
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu. Dan orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menyesatkan amalan-amalan mereka. Yang demikian itu kerana mereka membenci apa yang diturunkan oleh Allah, maka Allah menggugurkan amalan mereka.” (Muhammad: 7-8)
Termasuk di dalam kategori ini ialah membenci atau tidak bersetuju terhadap salah satu daripada hukum Islam sama ada ibadat, muamalat, politik, undang-undang ketika aman mahupun darurat. Begitu juga terhadap akhlak, cara bermasyarakat dan adab berilmu. Apa sahaja bentuk kebencian atau penentangan terhadap sesuatu yang terkandung di dalam Al Qur’an atau al Sunnah sama ada kata-kata, perbuatan, pengakuan atau sifat baginda, adalah terkeluar dari Islam.
8 Mencintai kehidupan dunia melebihi kecintaan terhadap akhirat atau menjadikan dunia sebagai tujuan utamanya.
Firman Allah:
Maksudnya : “Dialah Allah yang memiliki segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan celakalah bagi orang-orang kafir kerana seksaan yang amat pedih, iaitu orang yang lebih menyukai kehidupan dunia dari kehidupan akhirat dan menghalang manusia dari jalan Allah, mereka menginginkan agar jalan Allah itu bengkok. Mereka itu berada di dalam kesesatan yang jauh.” (Ibrahim: 2-3)
Maksudnya : “Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka itu di dunia tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.” (Hud: 15-16
9 Menghina salah satu dari ajaran Al Qur’an atau al Sunnah, mempersendakan orang-orang alim atau orang-orang yang memperjuangkan Islam atau memperolok hukum-hukum Allah.
Firman Allah:
Maksudnya : “Orang-orang munafik ini takut akan diturunkan terhadap mereka sesuatu surah yang menerangkan apa yang tersembunyi dalam hati mereka. Katakanlah kepada mereka, teruskanlah ejekan-ejekan (terhadap Allah dan RasulNya). Sesungguhnya Allah akan menyatakan apa yang kamu takutkan itu. Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab; Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja. Katakanlah ; Apakah dengan Allah, ayat-ayatNya dan RasulNya kamu selalu berolok-olok ? Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir setelah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka bertaubat) nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa.” (At-Taubat: 64-66)
10
Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkanNya.
Firman Allah:
Maksudnya : “Sesungguhnya yang mengadakan kebohongan, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itulah orang-orang yang berdusta.” (An-Nahl: 105)
Di antara dusta yang paling besar ialah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah.
Firman Allah:
Maksudnay : “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebutkan oleh lidahmu secara dusta. Ini halal dan ini haram untuk mengadakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidaklah beruntung. (Itu adalah) kesenangan yang sedikit dan bagi mereka azab yang amat pedih.” (An-Nahl: 116-117)
Mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah adalah termasuk perbuatan kufur. Sikap mudah menghalalkan sesuatu atau sebaliknya memberi akibat ynag buruk kepada kalimah syahadah yang telah diucapkan. Orang Islam tidak boleh mendahulukan akal fikirannya sehingga mengatasi Allah dan RasulNya.
11
Tidak beriman sepenuhnya kepada sumber hukum iaitu Al Qur’an dan al Sunnah.
Firman Allah:
Maksudnya : “Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain. Tiada balasan bagi orang yang berbuat demikian melainkan kerugian di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah: 85)
12
Mengangkat orang-orang kafir dan munafiq sebagai pemimpin serta tidak mencintai orang-orang Islam dan orang-orang mukmin.
Firman Allah:
Maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin (kamu), sebahagian mereka adalah ketua sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya (orang-orang munafiq) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata; Kami takut akan mendapat bencana. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya), atau sesuatu keputusan dari sisiNya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahsiakan dalam diri mereka. Dan orang-orang yang beriman akan mengatakan: Inilah orang-orang yang bersumpah sungguh-sungguh dengan nama Allah, bahawasanya mereka benar-benar bersertamu ? Rosak binasalah segala amalan mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang rugi.” (Al-Maidah: 51-53)
13 Tidak beradab dalam bergaul dengan Rasulullah S.A.W.
Firman Allah:
Maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suara kamu lebih dari suara Nabi dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain supaya tidak terhapus (pahala) amalan kamu sedang kamu tidak menyedarinya. (Al-Hujarat: 2)
14 Rasa takut dan lemah hati dalam menegakkan tauhid dan merasa senang dan terbuka di dalam menegakkan syirik.
Firman Allah:
Maksudnya : “Dan apabila hanya nama Allah sahaja yang disebut, kesallah hati orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat dan apabila nama sembahan selain Allah disebut, tiba-tiba mereka bergirang hati.” (Az-Zumar: 45)
15 Menyatakan bahawa Al Qur’an terdapat pertentangan antara ayat yang zahir dengan isi yang terkandung di dalamnya.
Jika seseorang berpendapat seperti di atas, maka syahadahnya terbatal. Begitu juga sekiranya beliau berpendapat makna yang tersirat di dalam sesuatu ayat hanya boleh difahami oleh golongan tertentu melalui ilham.
FirmanNya:
Maksudnya : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan berupa Al-Quran dengan bahasa Arab agar kamu memahaminya.” (Yusof: 2)
16 Tidak mengetahui makrifat Allah dengan pengenalan yang benar dan jelas, serta mengingkari sifat-sifat ketuhananNya atau mengingkari nama-namaNya.
Firman Allah:
Maksudnya : “Allah mempunyai nama-nama yang baik, maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut nama-namaNya itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan.” (Al-A’raaf: 180)
17 Tidak mengetahui Rasulullah secara benar atau menafikan adanya sifat-sifat yang terpuji yang diberikan oleh Allah kepadanya atau menghina sifat-sifat yang terpuji tersebut atau tidak meyakini bahawa Rasulullah SAW adalah contoh tauladan yang baik bagi seluruh umat manusia.
Firman Allah:
Maksudnya : “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah.” (Al-Ahzaab: 21)
18 Mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah, tidak mahu mengkafirkan orang yang telah ingkar syahadah dan tidak menghalalkan perang dengan mereka.
Di dalam satu kaedah ada menyatakan : Sesiapa yang mengkafirkan seseorang mukmin, maka ia kafir. Sebaliknya orang yang tidak mengkafirkan orang kafir, ia menjadi kafir. Begitu juga ia ragu terhadap kekafiran seorang kafir atau seorang mukmin yang telah murtad ia juga dikira kafir.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
Janganlah berlaku sesudahku nanti kekafiran yang memukul sebahagian dari kamu terhadap sebahagian yang lain.” (Al-Bukhari & Muslim)
19 Mengerjakan sesuatu ibadat bukan kerana Allah seperti menyembelih bukan kerana Allah, sujud atau ruku’ bukan kepada kepada Allah atau tawaf di sekeliling sesuatu yang lain dari Ka’bah dengan niat mendekatkan diri kepada Allah. Firman Allah:
Maksudnya :“Katakanlah sesungguhnya Solatku dan ibadahku dan hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan bagi sekelian alam, tidak ada sekutu baginya dan begitulah sebagaimana aku diperintahkan.” (Al-An’aam: 162)
20 Berperasaan riya’.
Terdapat bermacam-macam jenis syirik di dalam amalan seharian. Ada di antaranya dinamakan syirik kecil. Sebagai contoh, mengerjakan solat kerana Allah di samping ingin dipuji. Bersedekah kerana sungutan orang atau mahukan orang mengelilinginya memohon itu dan ini. Atau berjihad agar dikenang sepanjang zaman. Syirik seperti ini jika datang dalam bentuk was-was atau secara tidak langsung yang bukannya tujuan sebenarnya beramal, maka ia tidak membatalkan syahadah. Masalah ini dapat dihilangkan dengan berdoa atau memohon ampun kepada Allah. Tetapi kalau itulah tujuan atau cita-cita sebenar, maka batallah syahadahnya.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
“Allah telah berfirman yang maksudnya: Akulah yang paling tidak memerlukan kepada sekutu-sekutunya, sesiapa yang melakukan amalan yang menyekutukan Aku dengan yang lain, Aku akan membiarkan dia dengan benda yang disekutukannya itu.” (Riwayat Muslim)
ade sumber rujukan x??
ReplyDeletetolong senaraikan buku rujukan.terima kasih
ReplyDeleteape contoh aqidah islam nie ?? masih tak faham lah .... confuse nye arhhhhh....
ReplyDeleteCHOI !!!!