(KONSEP IBADAH)

9.0 KONSEP IBADAH

Ibadat dalam Islam mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang berbeza sama sekali daripada konsep ibadah di dalam agama dan kepercayaan yang lain. Antara ciri-ciri tersebut ialah tidak ada sebarang perantaraan di antara Allah dan manusia, dan ibadat dalam Islam tidak terikat dengan sesuatu tempat atau masa yang tertentu. Rasulullah SAW bersabda. ( Terjemahannya ):

“Seluruh muka bumi ini adalah masjid untukku; Suci dan bersih”.

Ibadat itu terdiri daripada berbagai bentuk, bukan satu macam sahaja sehingga manusia merasa tidak jemu dalam menunaikan ibadatnya. Peningkatan ibadat itu pula berbeza dan beraneka rupa sesuai dengan perangai, kecenderungan dan minat manusia itu sendiri

Ibadat di dalam Islam merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohaniah dan jasmaniah. Tiap-tiap seorang muslim boleh mencampurkan urusan dunia dan akhirat, inilah kombinasi yang indah di dalam Islam yang tidak terdapat di dalam agama-agama lain.

Pintu untuk membuat ibadat adalah terbuka di semua penjuru. Semua aktiviti manusia sehingga makan dan minum pun boleh menjadi ibadat jika ia berniat untuk mengumpulkan tenaga bagi memperjuangkan perkara-perkara yang baik seperti yang disuruh oleh Islam.

9.1 RUANG LINGKUP IBADAH
Islam amat istimewa hingga menjadikan seluruh kegiatan manusia sebagai ibadah apabila diniatkan dengan penuh ikhlas kerana Allah demi mencapai keredhaanNya serta dikerjakan menurut cara-cara yang disyariatkan olehNya.
Islam tidak membataskan ruang lingkup ibadah kepada sudut-sudut tertentu sahaja. Seluruh kehidupan manusia adalah medan amal dan persediaan bekalan bagi para mukmin sebelum mereka kembali bertemu Allah di hari pembalasan nanti.
Hakikat ini ditegaskan oleh Allah di dalam Al-Quran:
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (Al-Mulk:2)
Oleh itu ruang lingkup ibadah dalam Islam sangat luas. Ia adalah seluas tempoh hayat seseorang Muslim dan kesanggupan serta kekuatannya untuk melakukan apa saja amal yang diredhai oleh Allah dalam tempoh tersebut

9.1.1 PENGERTIAN IBADAH

Abu Al-Ala Al-Maududi telah mentarifkan ibadah daripada segi bahasa dan istilah di dalam bukunya Asas-asas Islam seperti berikut:

Bahasa: Merendah diri, tunduk, patuh dan taat

Istilah : Taat, tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah. Jelasnya, ibadah ialah pengabdian dir sepenuhnya kepada Allah subhaanahu wa taaala.

Al-Quran menjelaskan bahawa ibadah sebagai ubudiyyah dan ketaatan. Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (Al-Baqarah:1-2)

Sementara itu banyak terdapat ayat al Qur’an dan al Hadis yang mewajibkan supaya beribadat. Di antaranya:




Maksudnya :
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(Az-Zaariyat : 56)

Firman Allah SWT lagi:






Maksudnya :
“Wahai sekalian manusia beribadahlah kepada Tuhan kau yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”
(Al-Baqarah : 21)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Apakah dia Ihsan ? Jawab baginda: Ihsan bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, maka jika kamu tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat kamu.”

Daripada ayat dan hadis di atas boleh dibuat kesimpulan berikut:

1. Allah SWT menciptakan umat manusia dan memerintah mereka supaya melakukan ibadat serta menjunjung perintahNya dan meninggalkan larangan-laranganNya.

2. Tujuan sebenar Allah SWT menciptakan manusia ialah untuk beribadat. Manusia diwajibkan beribadat kepada Allah SWT serta mengemukakan ibadah-ibadahnya, hanya kepada Allah tanpa menyekutui Allah dengan sesuatu makhluk.

3. Mewajibkan dan tugas beribadat sentiasa dituntut hingga sampai menemui Allah, seseorang itu tidak akan terlepas daripada tugas tersebut walaupun jiwanya telah meningkat tinggi dan sentiasa dalam perhubungan yang kuat dengan tuhannya.

4. Setiap peribadatan hendaklah berdasarkan keikhlasan yang lahir daripada hati yang redha, sebagai mengabdikan diri kepada Allah SWT.

9.1.2 SYARAT-SYARAT BAGI SESUATU AMALAN (ADAT) MENJADI IBADAH.

Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Ibadah Dalam Islam telah memberikan syarat-syarat supaya sesuatu itu mendapat status ibadah:

 Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.
 Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik atau kerana Allah.
 Amalan tersebut mestilah dilakukan dengan seelok-eloknya bagi menepati oleh Rasulullah:
Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya. (Muslim)
 Ketika membuat amalan tersebut, hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syara dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain dan merampas hak-hak orang.
 Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, dan sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum.

9.1.2.1 Ibadat Bergantung Kepada Niat.

Antara fungsi niat yang terpenting ialah:

• Membezakan antara ibadah dengan adat. Contohnya mandi pada pagi Hari Raya, akan jadi ibadah jika ada niat mandi sunat Hari Raya. Jika tiada niat akan jadi amalan bangun pagi mandi mencuci diri.

• Membezakan antara sesuatu ibadat dengan ibadat lain. Contohnya, niat puasa untuk ibadah puasa dan niat solat untuk ibadah solat.

• Membezakan antara fardhu dengan sunat dalam ibadah yang sama jenis. Contohnya, niat menentukan sama ada hendak solat fardhu atau sunat kerana cara perlaksanaannya adalah sama.

• Membezakan antara fardhu dengan fardhu itu sendiri. Contohnya, jika seseorang itu menanggung kewajipan berpuasa sebab qadha, nazar dan kifarah, niatnyalah yang menentukan kewajipan mana yang hendak dilaksanakan.

• Niat juga boleh menentukan sama ada boleh mendapat ganjaran pahala daripada perbuatannya ataupun lagha sahaja, seperti duduk di dalam masjid dengan niat iktikaf dan masuk masjid untuk berehat sahaja, maka yang niat iktikaf dapat pahala sedangkan yang tidak berniat tidak mendapat apa-apa pahala.

• Niat juga dapat menentukan sesuatu perbuatan yang dilaksanakan oleh seseorang sama ada haram atau harus seperti seorang perempuan yang meninggalkan perhiasan dan bauan kerana kematian seorang lelaki yang bukan suaminya lebih daripada tiga hari. Jika ia berbuat demikian bukannya kerana berkabung di atas kematian itu maka perbuatan itu adalah harus.

• Niat juga dapat menjadi neraca atau penilaian di dalam menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu mendapat pahala atau mendapat seksa seperti seorang yang menyimpan al Qur’an di rumahnya, sedangkan ia tidak membacanya, jika niat untuk kebaikan akan mendapat pahala, tetapi jika ia menyimpan kerana perhiasan semata-mata tidaklah mendapat apa-apa pahala. Begitu juga seorang yang makan hingga kenyang, jika ia berniat mengikut nafsu adalah berdosa, tetapi jika dengan niat bertaqwa., beribadat maka ia mendapat pahala.

• Niat juga menjadi penentu kepada sesuatu perkara sama ada ia sabit hukum atau tidak. Contohnya, membunuh dengan niat (sengaja membunuh) lebih berat daripada membunuh tanpa niat (tidak sengaja).

Ketika Rasulullah SAW berserta sahabat pergi berperang ke Tabuk baginda bersabda (terjemahannya):

“Sesungguhnya ada beberapa kaum yang kita tinggalkan di Madinah, tiada menempuh kita sekalian akan sesuatu lereng ataupun lembah, melainkan mereka itu bersama-sama dengan kita juga. Jadi memperolehi pahala seperti yang berangkat untuk berperang itu. Mereka itu terhalang oleh sesuatu keuzuran.”

Yang dimaksudkan dengan ‘mereka bersama-sama’ kita di atas itu ialah kebaikan niat mereka, yakni andai kata ada bekalan pasti mereka mengikutnya.

Sabda Rasulullah lagi (terjemahannya):

“Setiap hamba itu akan dibangkitkan menurut keadaan yang ia berniat mati untuknya.”

9.1.3 PEMBAHAGIAN IBADAH .

Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:

1. Ibadah khusus
Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.

Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:
Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang.
(Sahih Bukhari)

2. Ibadah umum
Segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.

Ibadah umum dalam bentuk mengatur cara kehidupan seharian daripada pengurusan keperluan peribadi sehinggalah kepada cara membina negara, perhubungan antara bangsa, cara melaksanakan hukum dalam masa perang dan damai. Semuanya ada peraturan-peraturan akhlak yang mulia daripada perspektif Islam yang boleh membuat amalan-amalan kita itu menjadi ibadah.

9.1.4 MATLAMAT DAN KEPENTINGAN IBADAH DALAM PEMBENTUKAN JATI DIRI MUSLIM

Tiang-tiang ibadah mengembangkan kebaikannya kepada seluruh ruang lingkup kehidupan manusia sehingga manusia dibanjiri dengan kebaikan dan kemanfaatan melaluinya. Solat yang benar-benar khusyu akan mempengaruhi seluruh kehidupan seseorang itu sehingga ia merasakan jijik untuk dan benci untuk melakukan sebarang kejahatan dan kemungkaran. Sebagaimana firman Allah:
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Al-Ankabut:45)
Ruh yang dibawa oleh sistem zakat pula mengembangkan daya kerja yang tinggi di kalangan orang-orang beriman. Orang yang benar-benar beriman menganggap bekerja dan menambah rezeki adalah dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah dengan mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan yang diperolehi ke jalan Allah iaitu dengan memberikan sedekah dan membayar zakat dan jihad fisabilillah.
Tujuan utama puasa pula ialah untuk mewujudkan taqwa kepada para mukmin. Puasa yang mengukuhkan sifat taqwa di dalam jiwa mukmin akan menjadikan seseorang itu ikhlas dengan sepenuh hatinya dalm melaksanakan segala perintah Allah, sanggup melakukan tugas-tugas yang berat dalam mentaati Allah dan lebih mengutamakan kepentingan ummat Islam daripada kepentingan peribadinya.
Manfaat haji yang besar adalah dorongan bagi seluruh ummat Islam mengukuhkan kesatuan Muslim. Kesatuan ummat Islam merupakan tunjang kekuatan yang paling utama yang dapat memimpin ummat manusia.
Kesimpulannya, setiap ibadah itu jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan dapat melahirkan ummah yang kuat, bersatu dan diredhai oleh Allah subhaanahu wa taala.









9.2. MEMAHAMI IBADAH DALAM ASPEK PEMAKANAN
(HALALAN THOYYIBA)




9.2.1. Konsep Makanan Halalan Thoyyiba

Halal - Bahasa : dibenarkan atau dibolehkan
- Istilah : segala sesuatu yang boleh dikerjakan atau dimakan atau dibenarkan oleh syarak. Sesuatu yang tidak ditegah oleh syarak.

Thoyyiba : Bermaksud baik, bermutu dan berkualiti.

Makanan halalan thoyyiba bermaksud makanan yang halal lagi baik dan suci. Baik itu juga bermakna bermutu, berkualiti dan lebih menekankan kepada kebersihan semasa pengendalian dan pemprosesan.

Maksud Firman Allah SWT : “Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu, dan bersyukurlah nikmat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah” An-Nahl : 114





9.2.2 Ciri-Ciri Thoyyiba

1. Halal
2. Disembelih kerana Allah SWT (bagi haiwan darat kecuali belalang)
3. Mempunyai zat dan nutrien secukupnya unutk badan
4. Dimasak sehingga matang
5. Cara pengendalian dan pemprosesan yang bersih
6. Disimpan, Dihidang/dibungkus dengan baik
7. Kawasan persekitaran yang bersih dan tidak tercemar

9.2.3 Binatang yang haram dimakan
1. Daging babi, anjing dan keturunannya
2. Arak, alkohol, tuak dan segala yang memabukkan
3. Darah kecuali hati dan limpa
4. Binatang karnivor( makan daging)
5. Binatang yang disembelih bukan kerana Allah SWT
6. Binatang yang makan sampah seperti burung gagak
7. Sesuatu yang datang dari manusia seperti uri.
8. Sesuatu yang memudharatkan dan beracun jika dimakan.








Kenapa babi HARAM dimakan?
Terdapat kuman dan parasit yang merbahaya kepada kesihatan manusia seperti kuman taenia solium, faciolopis buski, paragonimus, cloronorchis senesis, erysipelothorix rhnsiphatiae, cacing pita, cacing gelang dan cacing kerawit. Penyakit yang mungkin dihadapi sekiranya seseorang makan babi ialah:
1. Sering kekejangan urat
2. Kehilangan tumpuan
3. Kulit jadi kasar dan kemerahan ketika tua
4. Penyakit membunuh H1N1
5. Penyakit Japanese Encephalitis akibat gigitan nyamuk culex

Kenapa arak HARAM diminum?
Arak mengandungi alkohol yang boleh memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal fikiran. Kesan yang mungkin dihadapai oleh seseorang yang minum arak ialah:
1. Lemah jantung
2. Darah tinggi
3. Gangguan pelbagai komplikasi urat saraf
4. Rumahtangga retak dan hancur
5. Dibuang kerja/ ulang semester bagi pelajar kerana cuai dan tidak datang ke kelas

9.2.4. Hikmah Pemakanan Halalan Thoyyiba
 Supaya doa mudah dimakbulkan oleh Allah SWT
 Solat diterima oleh Allah SWT
 Selamat dari api neraka
 Membezakan orang beriman dengan yang lain
 Membentuk akhlak yang mulia
 Melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah
 Menghindari pelbagai penyakit yang berbahaya
 Menyucikan diri dari makanan yang kotor dan tidak suci

No comments:

Post a Comment