AKHLAK ISLAM

7.1 Definisi Akhlak.

Menurut bahasa:
Perkataan akhlak berasal daripada perkataan (al-akhlaaku) iaitu kata jama daripada perkataan (al-khuluqu) bererti tabiat,kelakuan, perangai, tingkahlaku, matuah, adat kebiasaan, malah ia juga bereti agama itu sendiri. Perkataan (al-khulq) ini di dalam Al-Quran hanya terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya ialah:
Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. (Al-Qalam:4)

Menurut istilah:
Ibn Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.
Imam Ghazali radiAllahu anhu mengatakan: akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk


7.2 PEMBAHAGIAN AKHLAK

7.2.1 AKHLAK TERHADAP ALLAH.

Pada dasarnya, akhlak kepada Allah SWT itu ialah bahawa manusia hendaklah :

1. Beriman kepada Allah.
2. Beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah dengan tulus ikhlas.

Beriman kepada Allah ialah mengakui, mempercayai atau meyakini bahawa Allah itu ada dan bersifat dengan segala sifat yang baik dan Maha Suci dari segala sifat yang buruk. Tetapi beriman kepada Allah, tidak cukup hanya sekadar mempercayai akan adanya Allah sahaja, melainkan harus juga diikuti dengan beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah dalam kehidupan sehari-hari, mengamalkan segala perintah Allah dan dijauhinya segala larangan Allah. Semua ini dikerjakan dengan tulus ikhlas, semata-mata hanya kerana Allah sahaja. Akhlak juga boleh diterangkan seperti berikut:

A. Tidak Mempersekutukan Allah Dengan Apa Juga.

Mempersekutukan Allah maksudnya ialah mempertuhankan sesuatu yang bukan Tuhan, sehingga selain Tuhan yang sejati ( Allah ) dianggap ada lagi Tuhan yang lain. Perbuatan demikian disebut syirik, dan orang yang melakukannya dinamakan sebagai Musyrik.


Firman Allah SWT yang bermaksud:

“ Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain dari itu bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.” ( An-Nisaa’ : 116 )

B Takut Kepada Allah.

Agama Islam memang mengajar umatnya takut kepada Allah. Takut di sini bermakna taat dan patuh pada segala perintah dan larangan Allah SWT, bukan bermaksud lari daripada Allah.

Firman Allah SWT :




Maksudnya:
“ Orang yang patuh kepada Allah dan RasulNya, takut dan bertakwa kepadaNya, itulah orang-orang yang memperolehi kemenangan.” ( An-Nur : 52 )

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Ada tiga perkara yang dapat menyelamatkan manusia, iaitu:
1. Takut kepada Allah di tempat yang tersembunyi mahupun di tempat yang terang .
2. Berlaku adil pada waktu rela atau waktu marah.
3. Hidup sederhana pada waktu miskin mahupun pada waktu kaya.”

C. Cinta Kepada Allah.

Sebagai manusia, selain harus bertakwa dan takut kepada Allah, mereka harus cinta dan kasih kepadaNya.
Firman Allah SWT :








“Dan di antaranya manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah. Mereka menyintainya sebagaiman mereka menyintai Allah. Adapun orang-orang beriman sangat menyintai Allah.” ( Al-Baqarah : 165 )

Seseorang yang cinta kepada Allah, tentu ada tanda-tandanya. Siti Aisyah r.a. berkata yang bermaksud:
“Barang siapa cinta kepada Allah SWT, ia akan memperbanyakkan ingat (zikir) kepadaNya, dan sebagai ganjarannya Allah akan ingat pula kepadanya dengan rahmat dan ampunanNya, memasukkannya ke dalam syurga bersama Nabi-nabinya dan hamba-hamba kecintaanNya dan memberi kehormatan melihat keagunganNya. Dan barang siapa menyintai Nabi Muhammad SAW, ia akan memperbanyakkan bacaan selawat kepada baginda, dan sebagai ganjarannya orang itu akan memperolehi syafaat baginda dan menemani baginda di syurga.”

D. Redha dan Ikhlas Kepada Qadha’ dan Qadar Allah SWT.

Qadha’ dan Qadar (Takdir) apa pun yang telah ditentukan kepada kita wajib kita menerimanya dengan redha dan ikhlas, walaupun yang ditakdirkan untuk kita itu mungkin merugikan atau menyedihkan kita, sebab kita menerima (dengan baik) atau tidak, takdir Allah itu pasti terjadi juga dan tentu berlaku pada diri kita. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya besarnya pahala itu mengikuti besarnya cubaan. Dan sesungguhnya Allah apabila senang pada suatu golongan, dicubanya golongan itu (dengan sesuatu cubaan). Siapa yang redha terhadapnya, ia akan mendapat keredhaan Allah, dan siapa yang marah, ia juga akan memperolehi kemurkaan Allah.”

E. Bertaubat Kepada Allah SWT.

Erti taubat dari segi bahasa ialah: kembali.
Dari segi istilah: kembali taat kepada Allah setelah sebelumnya durhaka kepadaNya. Imam Al-Ghazali berkata, bahawa taubat itu ialah kembali mengikuti jalan yang benar dari jalan sesat yang telah ditempuhnya.

Firman Allah SWT :


Maksudnya:
“ Bertaubatlah kamu semua kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” ( An-Nur : 31 )

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Hai manusia bertaubatlah kepada Allah dan mintalah ampun kepadaNya. Sesungguhnya aku sendiri bertaubat dalam seharinya 100 kali.”

Abu Zakaria Muhyidin Yahya An-Nawawi di dalam bukunya “ Riyadhu-as-Salihin “ menerangkan, bahawa taubat itu hendaknya dilakukan dengan mengerjakan rukun-rukun taubat yang terdiri dari :
a. Berhenti dari maksiat.
b. Menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan.
c. Berjanji dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi berbuat dosa.
d. Dalam hal dosa itu ialah dosa kepada orang lain hendaklah ditambah dengan menyelesaikan persoalan dengan orang lain yang bersangkutan.

F. Bersyukur kepada Allah SWT.

Bersyukur adalah satu hal yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan RasulNya.
Firman Allah SWT :





Maksudnya:
“ Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman, iaitu: Bersyukurlah kepada Allah. Barangsiapa bersyukur (kepada Allah), sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri dan barangsiapa tidak bersyukur, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” ( Luqman : 12)

Syukur boleh diertikan sebagai mempergunakan nikmat atau pemberian yang ada di tangan kita, sesuai dengan yang dikehendaki oleh yang memberi kenikmatan itu. Syukur juga boleh diertikan seperti berikut:

• Merasa gembira atas sesuatu pemberian/kebaikan orang lain yang kita terima.
• Menyatakan kegembiraan itu dengan ucapan dan perbuatan.
• Memelihara pemberian/kebaikan itu dengan sebaik-baiknya dan mempergunakannya sesuai dengan yang dikehendaki oleh si pemberi kebaikan itu.
• Membalas pemberian / kebaikan itu. Membalas pemberian Allah ialah dengan mempergunakan kurnia Allah itu menurut yang diredhai oleh Allah, sedangkan membalas pemberian manusia ialah dengan membalas pemberian itu dengan pemberian pula, sekurang-kurangnya dengan doa.

7.2.2 AKHLAK TERHADAP RASUL.

Sebagai seorang nabi dan utusan Allah kepada sekalian umat manusia di dunia ini, maka setiap individu muslim perlu mempunyai akhlak yang perlu dipelihara sesuai dengan martabat baginda.

Antara akhlak yang perlu ada pada setiap individu muslim kepada nabi Muhammad SAW ialah :

A. Beriman Kepada Rasullullah SAW.

Seperti juga akhlak kepada Allah, maka akhlak manusia kepada Nabi Muhammad SAW yang pertama sekali ialah beriman kepada baginda SAW, iaitu percaya bahawa baginda adalah Nabi dan Rasul ( utusan ) Allah kepada seluruh manusia dan mempercayai segala ajaran yang disampaikan oleh baginda adalah merupakan wahyu Allah SWT yang benar. Kepercayaan yang sepenuh hati tanpa ada sedikit keraguan yang boleh menjejaskan keimanan seseorang muslim. Tanpa keimanan yang sepenuhnya kepada baginda SAW tidak mungkin seseorang itu menjadi muslim dan tidak sah serta terbatallah keislamannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Maksudnya:
“Katakanlah hai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semuanya, iaitu Tuhan yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Tiada Tuhan selain daripadaNya, yang menghidupkan dan mematikan. Sebab itu, hendaklah kamu beriman kepada Allah dan UtusanNya, Nabi yang ummi yang percaya kepada Allah dan perkataan-perkataanNya. Ikutilah ia supaya kamu mendapat petunjuk.” ( Al-A’raaf : 158 )

B. Tunduk dan Patuh Kepada Rasullullah SAW.

Beriman kepada Nabi Muhammad membawa kepada tunduk dan patuh kepadanya. Ketaatan yang sepenuhnya kepada baginda adalah kewajipan yang perlu dibina dalam diri individu muslim. Tunduk dan patuh juga memberi makna menjadikan Rasulullah SAW sebagai manusia pertama yang perlu ditaati berbanding sekalian manusia dan makhluk yang wujud di muka bumi ini dan menerima segala apa yang disampaikan baginda dengan ketaatan yang sepenuhnya serta tidak membantah, mempertikaikan, menghina, mempersenda, memperolok-olokkan atau memperkecilkan walaupun satu daripada percakapan, sifat, tingkahlaku, pengakuan dan segala apa yang disampaikan oleh baginda di samping meninggalkan segala tegahan dan larangannya. Dalam erti kata lain meletakkan ketaatan kepada segala suruhan dan meninggalkan segala larangan baginda lebih utama berbanding yang lain selepas Allah dengan hati yang penuh ikhlas .

Firman Allah SWT :





Maksudnya:
“Apa yang dibawa oleh Rasul kepadamu hendaklah kamu terima, dan apa yang dilarangnya hendaklah kamu jauhi.” ( Al-Hasyr : 7 )

C. Cinta Kepada Rasulullah SAW.

Sebagai seorang Nabi dan Rasul Allah yang telah bersusah payah menyampaikan ajaran Allah yang membawa manusia kepada jalan yang benar dan kebahagian yang hakiki, maka setiap umat Muhammad SAW bukan sahaja perlu berterima kasih kepada baginda tetapi perlu menyayangi dan mencintai baginda. Seperti kecintaan kepada Allah SWT, kasih dan sayang umat kepada baginda hendaklah di tahap cinta yang tertinggi setelah rasa cinta kepada Allah SWT. Cinta kepada Allah SWT dan RasulNya tidak boleh dikalahkan oleh cinta kepada apa jua. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“ Tidak beriman salah seorang di antara kamu, sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada dirinya sendiri, orang tuanya, anaknya dan manusia semuanya.”

Cinta kepada Nabi Muhammad SAW tidak cukup sekadar dilahirkan dalam bentuk pengakuan kata-kata, tetapi perlu dibuktikan dalam bentuk perbuatan yang nyata, antara lain dengan:

1. Mengamal dan mematuhi agama Islam yang diajarkannya, baik yang terdapat dalam Al-Quran mahupun dalam hadis atau sunnahnya.

2. Berjuang menegakkan, mengembangkan dan membela ajaran-ajarannya, termasuk juga menjaga kemurniannya dari segala bid’ah dan khurafat.

3. Memuliakan Nabi Muhammad SAW dan memperbanyakkan berselawat kepadanya.

4. Memuliakan keluarga dan sahabat-sahabatnya.

5. Berselawat Kepada Rasullulah SAW.

‘Selawat’ adalah dari perkataan ‘solat’ yang mempunyai dua erti, iaitu doa dan keberkatan. ’Solat’ atau ’Selawat’ dalam erti doa ialah ibadat sembahyang, manakala dalam erti yang kedua (keberkatan) ialah nama permohonan keberkatan untuk Nabi Muhammad SAW. Kerana itu berselawat kepada Nabi ialah menyampaikan permohonan keberkatan kepada Allah untuk Rasulullah SAW. Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW merupakan penghormatan kepada baginda dan suatu perkara yang sangat penting dalam Islam. Setiap muslim yang mempunyai kesempatan untuk berselawat, diminta berselawat contohnya ketika menyebut nama Nabi Muhammad SAW atau ketika mendengar namanya disebut orang lain. Malah pada ketika tertentu berselawat ke atas baginda menjadi wajib seperti ketika sembahyang, berkhutbah dan sebagainya.

Firman Allah SWT :



Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu dan sampaikan salam kepadanya dengan sepenuh penghormatan.” ( Al-Ahzab : 56 )

7.2.3 AKHLAK TERHADAP SESAMA MANUSIA.

A. Ibubapa.

Ibubapa adalah insan yang wajib ditaati selepas Allah SWT dan RasulNya. Tidak ada seorang pun yang menyamai kedudukan ibubapa yang sangat terhormat ini, apa lagi menandinginya. Jasa ibubapa yang sangat besar kepada kita iaitu menghamilkan, melahirkan, membesarkan, mendidik dan dicukupi segala keperluan hidup dengan penuh kasih sayang, tanggung jawab dan keikhlasan yang mana semua jasa mereka ini tidak akan dapat terbalas. Demikian keistimewaan dan terhormatnya kedudukan ibubapa sehingga Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” ( Riwayat Tirmidzi )

Wajib berbuat baik atau berbakti kepada ibubapa hendaklah diberi keutamaan yang pertama daripada berbuat baik kepada manusia lain selain Nabi Muhammad SAW. Berbuat baik ini meliputi apa sahaja pekerjaan yang dapat disebut ‘baik’ yang berupa perkataan, perbuatan dan lain-lain. Contohnya berkata dengan sopan dan hormat, merendahkan diri dengan kasih sayang, berdoa kebaikan untuk kedua-duanya, mengikuti dan taat segala perintah dan larangannya selagi mana tidak bercanggah dengan syariat Islam dan sebagainya.

Firman Allah SWT :






Maksudnya:

“Kami perintahkan kepada kamu jangan menyembah selain Dia dan supaya kamu berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya ada dekat denganmu (dalam pemeliharaanmu) hingga berumur lanjut, sekali-kali janganlah kamu berkata kepada keduanya “ah” jangan pula kamu bentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang hormat Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan katakanlah “ Wahai Tuhanku, kasihanilah keduanya, sebagaimana keduanya mengasihani aku ketika aku masih kecil”. ( Al-Isra’ : 23-24 )

Berbuat baik tidak sahaja ketika mereka masih hidup tetapi juga setelah mereka meninggal dunia. Antara perkara yang boleh dilakukan kepada ibubapa yang telah meninggal dunia ialah :

1. Mengerjakan solat jenazah.
2. Berdoa untuk al-marhum, memohon keampunan kepada Allah atas segala dosa-dosanya.
3. Melaksanakan dan menyempurnakan hutang, janji, nazar dan segala perkara yang tidak dapat disempurnakan oleh al-marhum.
4. Memuliakan dan meneruskan silaturrahim dengan sahabat-sahabat baik al-marhum.
5. Memberi pertolongan kepada mereka yang hidupnya bergantung kepada al-marhum.

Kewajiban berbuat baik kepada mereka berdua adalah sangat ditekankan dalam Islam dan menduduki tempat kedua sesudah kewajiban untuk mentaati Allah dan RasulNya. Sesuai dengan itu, pelanggaran atas kewajiban tersebut membawa kedurhakaan kepada mereka yang membawa akibat bukan sahaja balasan buruk di akhirat tetapi juga di dunia. Antara akibat penderhakaan kepada ibubapa :


1. Merupakan dosa besar yang menyebabkan mendapat azab seksaan di neraka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Sebesar-besar dosa besar itu ialah menyekutukan Allah, membunuh orang, durhaka kepada ibubapa dan berkata dusta ( menjadi saksi palsu ). ( Riwayat Bukhari )

2. Semua amal menjadi sia-sia dan tidak bermanfaat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Tiga perkara yang menyebabkan segala amal tidak bermanfaat lagi ialah menyekutukan Allah, durhaka kepada ibubapa dan lari dari medan perang.”
( Riwayat Thabrani dalam Al-Kabir )

3. Akan disegerakan pembalasannya oleh Allah SWT di dunia di samping kemungkinan masih ada pembalasannya lagi di akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Dua kejahatan akan disegerakan pembalasannya di dunia ini juga, iaitu zina dan derhaka kepada ibubapa.” ( Riwayat Thabrani )

B. Guru.

Guru ialah orang yang memberi pengajaran dan pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal. Sesuai dengan pengertian ini, pelajar merupakan orang yang memperolehi pendidikan dan pengajaran dari orang lain baik formal mahupun tidak formal. Islam mengajar umatnya agar memelihara akhlak bersama guru dengan menghormati dan memuliakan mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Muliakanlah orang yang kamu belajar daripadanya.”
( Riwayat Abul Hasan Al-Mawardi )

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud :

“Muliakanlah guru-guru agama, kerana barang siapa memuliakan mereka, bererti ia memuliakan aku.” ( Riwayat Abul Hasan Al-Mawardi )

Penekanan akhlak seorang pelajar kepada gurunya diambil perhatian dalam Islam agar ilmu yang diperolehi akan mendapat keberkatan dan seterusnya membimbing pelajar tersebut kepada jalan yang benar dan mendapat kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Seorang pelajar perlu memelihara adab dalam tingkah laku, percakapan, pergaulan dan sebagainya sama ada di hadapan mahupun di belakang gurunya. Di samping itu, anjuran Islam agar seorang murid menghormati gurunya adalah kerana :

1. Guru adalah orang yang sangat mulia.

Kemuliaan guru adalah kerana pekerjaan mengajar atau mendidik. Selain itu kemuliaan guru disebabkan juga kerana kealiman dan kepandaiannya. Rasulullah SAW dalam hadith-hadithnya menerangkan bahawa orang alim adalah pewaris para nabi. Kelebihan orang alim atas orang yang beribadah seperti bulan purnama di antara sekalian bintang-bintang. Dan bahawa matinya satu kabilah dipandangnya lebih ringan daripada meninggalnya seorang yang berilmu pengetahuan. Memelihara akhlak dan menghormati guru mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Barang siapa memuliakan orang alim, bererti memuliakan Tuhannya.”
( Riwayat Abul Hasan Al-Mawardi )

2. Guru adalah orang yang sangat besar jasanya.

Pekerjaan guru adalah menyampaikan ilmu, sedangkan ilmu adalah satu mekanisma yang sangat penting dalam kehidupan manusia, bahkan juga membezakan manusia dari haiwan. Dengan ilmu pengetahuan, kehidupan manusia di dunia akan maju, mempunyai peradaban yang tinggi dan pelbagai kesulitan yang mengancam hidupnya dapat diatasi. Seterusnya dengan ilmu manusia dapat menduduki berbagai kedudukan yang mulia dan terhormat. Bahkan nasib kehidupan manusia di akhirat nanti antara lain juga ditentukan oleh ilmu pengetahuan. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“ Siapa menghendaki dunia, wajib ia mempunyai ilmu. Siapa menghendaki akhirat, wajib mempunyai ilmu. Dan siapa menghendaki dunia dan akhirat kedua-duanya, wajib juga ia mempunyai ilmu.”

C. Rakan.

Pergaulan yang baik bersama rakan-rakan merupakan hasil daripada kemurniaan budi pekerti dan ia dapat memenuhi tuntutan jiwa manusia untuk melengkapkan hidupnya, kerana sebagai manusia kita tidak dapat hidup tanpa pertolongan orang lain.

Sifat yang harus diperhatikan dalam memilih kawan: Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah kamu memerhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan)”

Rakan-rakan yang dipilih hendaklah memiliki beberapa sifat seperti waras fikiran, baik budi pekerti, tidak fasik dan tidak mementingkan hal-hal keduniaan.

Abu Sulaiman Ad-Darani rahimahullah berkata: Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan dengan salah seorang dari dua orang berikut:

1. Orang yang engkau merasa senang dengannya dalam menguruskan hal-ehwal keduniaanmu.
2. Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfaat dalam hal-ehwal keakhiratanmu.

Adab bersama rakan:
Di antara adab pergaulan bersama rakan ialah:

1. Mengamalkan sikap tolong menolong.

Kita hendaklah memenuhi hajat dan keperluan rakan bila ia meminta dan hendaklah memberi dengan muka yang manis dan rasa senang, serta melahirkan tanda kegembiraan, kerana kawan itu sanggup menerima bantuannya.

Al-Atha’ berkata : Perhatikanlah sahabat-sahabatmu itu di dalam tiga persoalannya iaitu :

a. Jika mereka sakit, hendaklah segera menziarahi mereka.
b. Jika mereka terlalu sibuk dengan urusan-urusan maka berilah bantuan.
c. Jika mereka terlupa maka hendaklah mengingatkan mereka.

Kita juga hendaklah menjadikan hajat dan keperluan kawan seperti hajat dan keperluan sendiri dan menunjukkan perasaan simpati dan hormat-menghormati dan kasih-mengasihi antara sesama rakan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Tidak beriman seseorang itu sehingga ia menyintai saudaranya seperti ia menyintai dirinya sendiri.”

2. Memelihara lidah.

Di dalam pergaulan bersama rakan kita hendaklah memelihara lidah dari menyebut keburukkan kawan, mencela atau membocorkan rahsia kawan kepada orang lain.

Al-Abbas, bapa saudara nabi pernah berpesan kepada puteranya Abdullah : maka peliharalah nasihatku yang lima:

a. Janganlah engkau bocorkan rahsianya sama sekali.
b. Janganlah engkau mencaci orang lain di hadapannya.
c. Janganlah engkau membiasakan bohong kepadanya .
d. Janganlah engkau melanggar perintahnya.
e. Janganlah sampai ia melihat sesuatu pengkhianatan berlaku daripadamu.

3. Memaafkan kesalahan.

Sekiranya terdapat keterlanjuran daripada rakan hendaklah kamu memaafkannya atau menanggung dengan sedaya upaya keterlanjurannya, malah harus dibalas dengan cara yang baik.
Firman Allah SWT :



Maksudnya:
“ Moga-moga Allah akan menukarkan keadaan kamu bermusuhan itu dengan kasih sayang.” ( Al- Mumtahinah : 7 )




4. Mendoakan rakan.

Sewajarnya, seorang rakan mendoakan rakannya dengan doa yang baik-baik, bagi diri sahabat itu dan ahli keluarganya sebagaimana dia mendoakan bagi dirinya sendiri; sama ada sahabat itu masih hidup atau sudah mati.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“ Bila seseorang mendoakan bagi diri sahabatnya sedang ia tidak ada bersamanya, maka Malaikat akan berkata:Dan engkau juga akan menerima sepertinya juga.”

Abu Darda’ berkata: Aku sentiasa mendoakan untuk 70 orang dari sahabatku ketika aku dalam keadaan sujud terhadap Allah, aku sebutkan nama mereka satu-satu.
Setengah para salaf mengatakan bahawa: Mendoakan orang-orang yang sudah mati itu, samalah seperti mengirimkan hadiah-hadiah kepada orang-orang hidup.

5. Ikhlas dalam menjalinkan persahabatan

Dalam menjalinkan hubungan sesama rakan, hendaklah disertai dengan niat kerana Allah Taa’la di mana apabila seseorang itu berkasih sayang pada jalan Allah, jangan biarkan kasih sayang itu bercampur aduk dengan dengki dan hasad, baik dalam perkara agama ataupun dunia.

Firman Allah SWT :






Maksudnya:
“ Mereka tiada menyimpan keinginan dalam hati, terhadap apa yang diberikan kepada mereka, dan mereka mengutamakan orang lain dari diri sendiri.”
( Al-Hasyr : 9 )

Ikhlas juga bermaksud, kita tidak menyetujui rakan kita menjejaki jalan kebatilan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama, malah hendaklah kita menentangnya serta menasihatinya kerana Allah.
Antara tanda keikhlasan lagi ialah, ia tidak mengendahkan celaan orang lain terhadap kawannya, ataupun berkawan dengan musuh kawannya.

7.3 ISU-ISU BERKAITAN AKHLAK.

7.3.1 Tidak Menghormati Orang Tua.

Tidak menghormati orang yang lebih tua sama ada ibu bapa sendiri, guru ataupun orang yang lebih tua dari segi umur adalah bercanggah dengan prinsip akhlak Islam. Malah menghormati golongan ini adalah menjadi tuntutan kepada setiap individu muslim. Islam menggalakan umatnya menjaga hubungan dengan orang tua, mengambil berat, berbuat baik dan membantu mereka walaupun tidak mempunyai hubungan tali persaudaraan. Nabi Muhammad SAW mengingatkan bahawa bukanlah seseorang itu dari golongannya apabila tidak menghormati orang tua. Sabda rasulullah SAW yang bermaksud :

“Bukanlah dari golongan kami, siapa yang tiada menghormati orang tua kami dan tiada pula mengasihi anak kecil kami.”

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“Hak saudara yang tua ke atas saudara yang muda, adalah seperti seorang ayah ke atas anak-anaknya.”

7.3.2 Menipu.

Menipu sama ada perkara besar mahupun kecil adalah dilarang sama sekali dalam Islam. Menipu atau berdusta adalah haram dan pelakunya akan mendapat dosa dan dikeji oleh Allah SWT. Menipu membawa bahaya dan kezaliman ke atas orang yang ditipu atau ke atas orang lain dan membawa ketegangan di dalam masyarakat Islam. Banyak hadith Nabi yang mengingatkan agar menjauhi sifat ini malah dusta merupakan salah satu sifat-sifat munafik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Jagalah dirimu dari sifat dusta, sebab dusta itu setingkat dengan kecurangan, dan kedua sifat ini akan dihumbankan ke dalam neraka.”




Sabda Nabi Muhammad lagi yang bermaksud:

“Adalah suatu pengkhianatan yang besar, iaitu apabila anda menyampaikan sesuatu berita kepada saudaramu, sedang ia mempercayai kata-katamu itu, manakala anda membohonginya.”

Sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Tiga perkara, barang siapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang muslim, iaitu: Bila berbicara ia berbohong, bila berjanji ia mungkiri dan bila menerima amanat ia khianat.”

7.3.3 Mengumpat.

Mengumpat bererti menikam peribadi seseorang dengan memburukkan dan melukai hati. Ia termasuklah menyebut sesuatu yang boleh menimbulkan kebencian atau kemarahan orang yang dikata apabila dia mendengarnya, sama ada yang disebut perkara-perkara berkaitan dengan kekurangan anggota badan, perkataannya, keturunannya, bentuk kejadiannya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, perkara dunianya, pakaiannya, rumahnya atau kenderaannya. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Ghibah (mengumpat ) itu adalah anda menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu yang dibencinya.”

Mengumpat sama seperti seseorang yang melanggar perintah atau larangan Allah SWT yang membawa kepada dosa dan akan mendedahkan diri kepada kemurkaan Allah SWT. Di dalam Al-Qu’ran Allah SWT telah menaskan celaan kepada orang yang suka mengumpat dan menyamakan orang tersebut dengan orang yang memakan daging saudaranya yang telah mati.

Firman Allah SWT :





Maksudnya :
“Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya.” ( Al-Hujurat : 12 )

Firman Allah SWT:

Maksudnya:
“Celakalah untuk setiap pengumpat, pendusta.” ( Al-Humazah : 1 )


7.3.4 Pergaulan Bebas.

Pergaulan bebas merujuk kepada gaya pergaulan tanpa batas dan peraturan diantara lelaki dan perempuan yang menimbulkan banyak masalah sosial dan keruntuhan akhlak. Ia juga merupakan segala bentuk perlakuan manusia yang bertentangan dengan kehendak syariat Islam dan akal murni kemanusiaan.

Pergaulan yang baik adalah amat dituntut oleh Islam. Malah ia merupakan kemurnian budi pekerti yang menjadi pokok pengajaran agama Islam kepada manusia. Walau bagaimanapun dalam pergaulan sesama manusia, Islam telah menggariskan peraturan-peraturan yang bertujuan untuk menjamin akhlak, kehormatan dan kemuliaan manusia khasnya kepada umat Islam yang menjadi umat contoh kepada sekalian manusia.


Setiap pergaulan perlulah sejajar dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bercanggah dengan syariat Islam serta nilai akhlak dan adap kesopanan. Manusia perlu sentiasa mengawal nafsu dan berhati-hati terhadap syaitan dan iblis yang akan sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan manusia dan tidak akan melepaskan peluang menggoda dan menyesatkan manusia yang lalai.

Pergaulan yang melampaui batas-batas yang telah ditetapkan mengundang perkara-perkara yang tidak baik atau maksiat yang seterusnya mendedahkan kepada kemurkaan Allah SWT. Berdasarkan kajian di Malaysia, menunjukkan pergaulan bebas merupakan penyebab utama kepada pelbagai bentuk keruntuhan akhlak dan masalah sosial yang terjadi dalam masyarakat seperti fenomena kehamilan dan kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi, pelacuran, bohsia, bohjan, lesbian, gay dan sebagainya. Islam menegah pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan yang ajnabi seperti berbonceng motosikal, berkhalwat, bersentuhan dan sebagainya sama ada berdua-duaan sahaja atau di tempat umum. Ini kerana perlakuan-perlakuan sumbang ini akan mendorong individu tersebut melakukan perkara yang bertentangan dengan akhlak Islam, maksiat dan boleh terjerumus kepada melakukan zina. Allah SWT dengan tegas melarang manusia melakukan zina dan perkara-perkara yang boleh mendorong ke arah tersebut. Larangan ini adalah untuk memelihara keimanan, ketaqwaan, kemurniaan akhlak dan peribadi manusia dan seterusnya menjamin kesucian keturunan manusia di muka bumi agar hidup dalam batas-batas keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT :


Maksudnya :
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” ( Al-Israa’ : 32 )

1 comment: