Kahwin masa belajar.....?



“Maaf, saya panggil Awin (bukan nama sebenar) ke sini sebagai menjalankan tanggungjawab sebagai Principal bagi membantu mana yang boleh. Awin pun mungkin dah tahu kenapa.” Saya memulakan bicara berhadapan dengan seorang anak gadis yang dilaporkan sudah agak tersasar dalam pergaulan dengan teman lelakinya.


Sebagai pengetua Mahallah (Asrama) Ameenah waktu itu, saya terpaksa menangani kes2 disiplin pelajar.


Awin hanya tunduk sambil menyapu air mata. Seorang pelajar tahun akhir IRK yang mengaku gambar seorang lelaki dan perempuan dalam keadaan yang sangat menjolok mata adalah gambarnya. Dia juga mengaku pernah tidur di rumah teman lelakinya.


“Saya tahu saya salah. Saya dah banyak buat dosa. Saya tak layak jadi budak IRK. Saya malu dengan keluarga. Saya malu dengan kawan2. Maafkan saya, puan. Saya tak tahu apa patut saya buat. Saya sayangkan dia tapi keluarga tak bagi kami kahwin sebab saya belum habis belajar. Dia tak ada degree dan keluarga pandang rendah kat dia. Keluarga saya minta hantaran sampai RM10 ribu. Kami tak mampu.” Dia menjawab dengan airmata yang semakin laju.


Awin hanyalah salah seorang pelajar dari ribuan pelajar IPT yang berada dalam persimpangan antara cinta dan keluarga. Ramai yang menjadi mangsa halangan keluarga untuk berkahwin semasa belajar sehingga akirnya terjerumus ke lembah dosa. Pengajian agama yang dihadapinya hari2 tidak mampu menghalang dirinya dari mengikut nafsu syahwat. Sebagai remaja yang datang dari kampung, perpindahannya ke kota menemukannya dengan pemuda yang longgar iman. Akhirnya dia tidak mampu lagi mempertahankan prinsip agama yang melarangnya dari mendekati zina.


Sebagai gadis yang biasa tunduk patuh kepada orang tua yang terlalu keras dengan pendapatnya, dia tidak mampu bersuara apalagi mendesak ibubapanya walaupun keadaan sudah sangat parah.


Beberapa fakta yang perlu diketahui oelh ibubapa
Peringkat kematangan setiap anak adalah berbeza-beza
Kerana budaya, anak tidak akan memberitahu ibubapa yang mereka sudah wajib kahwin. Adalah haram melarang nak yang sudah merasa wajib berkahwin.
Tugas kita menjaga dan mengawal anak-anak adakalanya perlu dilepaskan lebih awal dari yang kita jangkakan
Pandangan kita belum tentu semuanya benar dan pandangan mereka belum tentu semuanya salah.
Jangan kerana silap pengiraan, akhirnya anak yang kita sayangi selama ini hidup menderita sedangkan mereka tidak mampu bersuara.
Secalit marah kita kepada anak mungkin saja membawa bala kepada masa depan anak kita
Anak kita hanya ada satu ibu dan satu bapa dan kitalah sumber kebahagiaan mereka
Anak hanya akan bahagia apabila kita mampu mendengar luahan mereka dengan baik.
Kita sering tersilap dengan mendahulukan adat dari syariat dalam urusan perkahwinan anak
Berbanggalah dengan mahalnya nilai agama anak bukan nilai hantarannya.
Bersyukurlah dengan anak yang menyahut seruan agama untuk berkahwin secara sah. Betapa gusarnya kita sekiranya anak tidak mahu berkahwin malah lebih malang lagi kalau pasangan yg mengisi nafsunya adalah sejantina dengannya.


Beberapa fakta yang perlu diketahui oleh anak:
Tidak ada ibubapa yang normal tidak mahu anaknya bahagia. Jangan salahkan ibubapa apabila keputusannya tidak kita senangi kerana anak dan ibubapa mempunyai paradigma yang berbeza.
Paradigma ibubapa boleh saja diubah melalui teknik komunikasi berkesan dan doa yang ikhlas. Percanggahan pendapat dengan ibubapa kebanyakannya berpunca dari teknik berkomunikasi yang salah.
Ibubapa juga malu berbicara secara terus terang dengan anaknya hal-hal berkaitan perkahwinan sebagamana anak malu berbicara perkara yang sama denga ibubapanya.
Ibubapa juga punya ego yang sukar dilentur kecuali mereka yang punya ilmu agama, pengalaman dan informasi yang cukup mendepani anak yang sudah dewasa.
Tindakan kita tidak semestinya betul dan ibubapa tidak semestinya salah
Walaupun anak itu sudah besar, pada perasaan ibubapa anaknya masih anak yang dibawa bertatih yang sentiasa perlu dilindungi
Perkahwinan bukan semata2 untuk memenuhi nafsu kerana itu hanyalah perkara yang teramat kecil jika dibandingkan dengan tanggungjawab ketuhanan, kekeluargaan dan kemasyarakatan yang ada di hadapan nanti.
Mengawal nafsu sebenarnya lebih mudah dari mengelakkan diri dari menjadi anak derhaka
Peratus kegagalan rumahtangga mereka yang berkahwin semasa belajar adalah agak tinggi terutama mereka dalam aliran sains.
Kita hanya punya satu ibu dan satu bapa. Bahagiakanlah mereka dengan perkahwinan anak yang sempurna pada pandangan mata mereka. Sempurna dari segi masa, cara dan suasana yang membuat mereka merasa bangga dengan anak yang dididik selama ini.
Ibubapa tidak pernah lupa dari memikirkan kebahagian anak merka. Hadiahkan mereka dengan calon menantu yang baik, beragama dan bersopan-santun yang menambah keyakinan mereka bahawa anaknya akan hidup bahagia dan masa tua mereka tidak akan kita sia-siakan.
Mengalah sebentar dengan kehendak ibubapa mungkin saja membawa kejayaan yang lebih baik di depan nanti.
Allah sudah menjanjikan akan membalas segala kebaikan dan kejahatan yang kita lakukan terhadap ibubapa dan berhat-hatilah dengannya.
Melakukan puasa bagi menahan nafsu amat besar kesannya

dipetik dari http://martinellihashim.blogspot.com/2011/02/kahwin-masa-belajar.html

No comments:

Post a Comment