( Aku tinggalkan kamu 2 perkara, apabila kamu berpegang kepada kedua-duanya pasti kamu tak akan sesat selama-lamanya, Al-Quran dan Sunnah Rasulullah : Bukhari wa Muslim)
Pakaian Perempuan Ketika Sembahyang
Pakaian Perempuan Ketika Sembahyang
Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullah dalam kitab al-Muhazzab, adalah disunatkan bagi perempuan yang merdeka dan khuntsa bersembahyang dengan memakai pakaian yang terdiri daripada baju yang labuh, panjang dan menutupi seluruh badan hingga kedua kaki, memakai penutup kepala dan leher dari kain yang tebal dan menggunakan telekung (satu kain tebal yang lain yang menyelimuti pakaian tadi).
Disunatkan juga telekung atau pakaian yang di sebelah luar sekali itu tebal, agar tidak membayangkan anggotanya. Juga telekung atau pakaian yang di sebelah luar tadi dijauhkan atau direnggangkan dari badan seseorang perempuan itu apabila dia rukuk atau sujud, supaya tidak membayangkan pakaiannya yang di sebelah dalam.
Khatib asy-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj mensyaratkan pakaian (satir) yang digunakan untuk menutup aurat samada dalam sembahyang atau luar sembahyang ialah tebal yang boleh menutup anggota aurat. Bahkan ia hendaklah melindungi atau menutup warna kulit daripada dilihat dengan pandangan biasa. Dengan perkataan lain tidak menampakkan atau membayangkan bentuk badan.
Kebanyakkan ulama Syafie mensyaratkan hendaklah pakaian itu menutup dan menyelubungi seluruh anggota aurat.
Berdasarkan syarat-syarat yang dijelaskan, maka berikut adalah beberapa contoh-contoh pakaian yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas:
1. Baju atau pakaian yang berlubang-lubang
Aurat yang boleh dilihat melalui pakaian yang berlubang-lubang, contohnya pakaian yang ditenun dengan jarang, walaupun tebal, masih tidak memenuhi syarat satir, iaitu menyelubungi dan menutup keseluruhan aurat.
2. Pakaian yang jarang atau nipis
Adapun maksud dari pakaian yang nipis atau jarang itu ialah pakaian yang boleh menampakkan warna kulit apabila memakainya. Untuk jelasnya adalah tidak tercapai maksud as-satir dengan memakai pakaian berikut dalam sembahyang:
a)Sekiranya di dalam sembahyang dia memakai pakaian yang nipis atau jarang untuk menutup keseluruhan auratnya tanpa dilapis dengan pakaian lain seperti telekung dan seumpamanya, maka pakaian seperti ini tidak memenuhi syarat satir kerana tidak tercapai maksud dan pengertian tebal dan tidak pula menyembunyikan warna kulit. Ini disandarkan kepada hadis Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam:
Maksudnya: “Dari Aisyah Radiallahu anha sesungguhnya Asma' binti Abi Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam dan dia memakai pakaian yang nipis. Lalu Nabi Shallallahu alaihi wasallam berpaling daripadanya.
Baginda bersabda: “Wahai Asma' sesungguhnya orang perempuan apabila meningkat umur haidh (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini dan ini... Lalu Baginda Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam pun menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda. (Hadis riwayat Abu Daud)
Hadis di atas dengan jelas melarang memakai pakaian yang jarang atau nipis di luar sembahyang, demikian jua dalam sembahyang.
As-Sayyid al-Bakri kemudian menyebutkan, sesuatu kain atau pakaian meskipun berwarna atau yang dicelup jika ianya jarang dan nipis juga tidak memenuhi syarat as-satir.
b) Begitu juga sekiranya dalam sembahyang dia memakai pakaian yang jarang atau nipis untuk menutup keseluruhan auratnya kemudian dia menutup atau melapis lagi pakaian tadi dengan telekung atau yang seumpamanya dan warna kulit masih kelihatan, maka samalah juga hukumnya seperti (a) di atas.
Selain daripada jenis-jenis pakaian yang telah disebutkan di atas, harus bagi golongan wanita bersembahyang dengan memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas (lapik sembahyang) ketika sembahyang. Manakala memakai pakaian yang mempunyai gambar atau menjadikannya alas (sembahyang di atasnya) atau menghadap ke arahnya, hukumnya makruh.
Ternampak Aurat Sendiri Semasa Sembahyang
Ketika hendak mengerjakan sembahyang pakaian hendaklah diberi perhatian, iaitu menutup seluruh anggota aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut oleh syarak'. Ini kerana apabila dia melihat aurat sendiri atau dilihat oleh orang lain semasa sedang sembahyang kerana kecuaian menutupnya, maka hukum sembahyangnya tidak sah.
Sebagai contoh jika seseorang perempuan yang bersembahyang, sekalipun dengan memakai telekung, sedangkan di bahagian leher terbuka luas atau besar sehingga dia boleh nampak auratnya sendiri atau dilihat oleh orang lain ketika dia rukuk atau sujud, maka batal sembahyangnya. Oleh itu hendaklah dirapikan, dikancing atau diikat terlebih dahulu dengan sempurna bahagian leher yang terbuka tadi, kemudian barulah mengerjakan sembahyang.
Sekiranya dia mendapati pada pakaian yang digunakannya untuk bersembahyang berlubang atau koyak yang menampakkan auratnya, maka wajib dia mengulangi sembahyangnya tadi. Samada dia mengetahui tentang koyak tersebut kemudian dia terlupa mengenainya, ataupun dia langsung tidak mengetahuinya. Akan tetapi jika dia menyangka bahawa koyak itu terjadi selepas memberi salam, maka tidak perlu dia mengulangi sembahyang tadi tanpa khilaf.
Terbuka Aurat Dengan Tiba-Tiba
Berbeza hukumnya dengan aurat yang terbuka secara tiba-tiba dan tidak senghaja, maka sembahyang tetap sah dengan syarat hendaklah ditutup dengan segera. Yang dimaksudkan dengan tidak sengaja, seperti ditiup angin atau terbuka oleh haiwan atau kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana dia tidak mempunyai niat atau maksud di sebalik perbuatannya itu. Sebaliknya jika aurat itu terbuka oleh kanak-kanak yang sudah mumayyiz, maka batal sembahyangnya.
Sembahyang Di Dalam Gelap
Terdapat andaian apakah kegelapan atau ketiadaan cahaya boleh diistilahkan sebagai satir kerana ia menutupi dan melindungi warna kulit dan aurat dari pandangan mata? Menurut Ibnu Hajar al-Haitami, kegelapan tidak boleh diertikan sebagai satir. Oleh yang demikian, adalah tidak sah sembahyang seseorang yang tidak menutup aurat sekalipun dalam gelap.
Kesimpulan
Adalah menjadi kebiasaan memakai telekung putih ketika sembahyang dan ini menepati ciri-ciri yang digambarkan sebagai pakaian yang sempurna dan digalakkan di dalam Islam. Maka hendaklah dipastikan bahawa telekung yang dipakai janganlah nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau anggota aurat. Di samping menggunakan telekung, hendaklah juga memakai pakaian yang sempurna menutup aurat di bahagian sebelah dalam sebagai langkah berjaga-jaga.
Dari penjelasan di atas, nyatalah bahawa rambut, leher, lengan, dua kaki dan tapak kaki adalah aurat bagi perempuan ketika bersembahyang. Maka wajiblah kesemua anggota ini ditutup dan dijaga semasa sembahyang kerana rambut yang terjuntai, lengan yang tidak berlapik, kaki yang terdedah dengan sengaja boleh membatalkan sembahyang.
Di samping menutup aurat, menjaga kebersihan pakaian yang dipakai dan tempat bersembahyang daripada najis merupakan di antara syarat sah sembahyang. Maka hendaklah kita mengambil perhatian yang sewajarnya dan meneliti dengan sempurna perkara-perkara yang bersangkutan dengan syarat sah sembahyang agar ibadat yang dilaksanakan akan diterima dan mendapat ganjaran sebagaimana yang dijanjikan Allah Subhanahu Wa Ta'ala hendaknya.
DI SUNTING DARI: LAMAN MUFTI BRUNEI
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment