Mesej Bergambar




KONSEP JAHILIYAH

6.0 PENGENALAN.

Dewasa ini kita lihat masyarakat sudah kembali ke zaman Jahiliyah, di mana segala tindak tanduk sebahagian daripada ahli masyarakat sudah lagi tidak berlandaskan agama atau nilai-nilai moral sejagat.

6.1 Definisi Jahiliyah.

Bahasa - Jahiliyah berasal daripada akar kata jahala dan kata terbitan jahlun atau jahlatun yang beerti bodoh dan sesat.

Jahiliyah menurut penjelasan (istilah) oleh al Qur’an ialah “Sikap menolak petunjuk Allah SWT, tidak mahu menerima, tidak mahu patuh dan tidak mahu tunduk
kepada hukum-hukum Allah.”

Firman Allah SWT :




Maksudnya :
“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki ? Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi yang yakin?” (Al-Ma’idah : 50)

Al Qur’an menjelaskan bahawa kejahilan orang-orang Arab Jahiliyah bukanlah kerana mereka tidak mengetahui ilmu-ilmu falak, kimia dan perubatan atau mereka tidak mengetahui politik atau tertinggal dalam bidang kebendaan atau mereka langsung tidak mempunyai nilai-nilai kemuliaan diri. Sebaliknya al Qur’an menyebut mereka itu kaum jahiliyah kerana mereka menghukumkan sesuatu mengikut hawa nafsu dan menolak hukum Allah. Oleh itu satu-satunya tukaran untuk jahiliyah ialah Islam. Itulah yang digunakan oleh al Qur’an untuk mengukur kehidupan manusia sebagai lawan jahiliyah, sama ada jahiliyah Arab atau jahiliyah lainnya dalam sejarah.

Sesungguhnya kitab suci al Qur’an telah banyak menceritakan peradaban umat-umat yang terdahulu seperti peradaban Roman, China dan lain-lain. Ternyatalah peradaban mereka lebih tinggi daripada peradaban bangsa Arab semasa datangnya Islam. Namun demikian Islam masih menganggap peradaban itu sebagai jahiliyah juga kerana ia tidak mengikut petunjuk Allah.

Maksud Firman Allah:
“Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperlihatkan bagaimana akibat (yang dideritai) oleh orang-orang sebelum mereka ? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka (sendiri). Dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkan lebih banyak daripada apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa bukti nyata (tetapi mereka mendustakannya, lalu Allah mengazab mereka). Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka akan tetapi mereka yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri.” (Ar-Rum : 9)

Balasan orang-orang yang mengerjakan kejahatan adalah azab yang lebih buruk kerana mereka mendustakan ayat-ayat Allah dan mereka selalu memperolok-oloknya.

6.2 CIRI-CIRI MASYARAKAT ARAB JAHILIYAH

Sosial
i. Masyarakat Arab yang tinggal di Bandar dikenali sebagai Arab Hadari dan di padang pasir Arab Badwi yang hidup secara berkabilah. Penyatuan masyarakat berkabilah berlandaskan pertalian darah dan keturunan (assabiyah).
ii. Selalu berlaku peperangan sesama sendiri. Tujuannya untuk mencari nama, kuasa, pengaruh dan harta benda sebagai lambang kemegahan kabilah. Contohnya Perang Basus antara kabilah Bakr dengan Rabi’ah.
iii. Kedudukan wanita tidak mendapat tempat yang sewajarnya sama ada dalam keluarga atau masyarakat. Mereka beranggapan bahawa anak perempuan apabila besar boleh menimbulkan masalah sosial dan ekonomi. Oleh itu masyarakat Arab sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup. Contoh Bani Tamin dan Asad. Mereka juga berkahwin sesuka hati tanpa had dan batas.

Ekonomi
i. Dari segi ekonomi ketidakstabilan politik membawa kepada masalah ekonomi masyarakat Arab. Keruntuhan masyarakat Maarib di Yaman membawa kepada kemerosotan ekonomi. Hasil pertanian merosot dengan teruk akibat tiada sistem pengairan yang baik.
ii. Di bahagian utara, kawasan diliputi padang pasir, oleh itu aktiviti perdagangan dijalankan di kota Mekah, Hirah dan Ghassan. Tetapi perdagangan kurang menguntungkan di sebabkan pertelagahan sesama kabilah.
iii. Puak Quraisy mengeksploitasi perdagangan dengan mengenakan tekanan kepada kaum Badwi yang tinggal di padang pasir. Sebagai reaksi puak Badwi bertindak balas dengan melakukan rompakan ke atas kafilah Quraisy.
iv. Kegiatan ekonomi kaum Badwi yang utama ialah menternak secara nomad seperti unta, kambing dan biri-biri. Mereka berpindah-randah untuk mencari kawasan rumput dan air bagi binatang ternakan. Amalan ekonomi mereka melambangkan kehidupan primitif.

Politik
i. Pada zaman Jahiliyah tidak terdapat sesebuah kerajaan yang mempunyai struktur pemerintahan yang teratur dan berkuasa. Politik tergugat akibat penjajahan. Di sebelah utara dikuasai kerajaan Rom dan Parsi sementara di selatan dikuasai kerajaan Habsyah. Kota Makkah menerima kesan buruk akibat penjajahan misalnya Peperangan al- Fijar.
ii. Keadaan politik di kawasan yang dijajah seperi Ghassan, Hirah dan Yaman lebih teruk. Masyarakat hidup secara berpuak-puak serta sering berperang sesama sendiri.
iii. Walaupun negeri tersebut mempunyai pentadbiran sendiri tetapi tidak boleh dianggap sebagai sebuah pemerintahan yang maju atau bertamadun kerana teletak di bawah kuasa penjajah.

Agama dan kepercaayaan
i. Kesesatan agama berlaku kerana ia mempunyai pertalian dengan zaman sifat gasar mereka itu. Penagaruh asing menjadi faktor pendorong kepada tersebarnya pelbagai agama di semenanjung Arab. Pihak Parsi menyebarkaan agama Majusi, Rom menyebarkan agama Nasrani.
ii. Kota Mekah kekal sebagai pusat agama menyembah berhala.
iii. Golongan beragama boleh dikategorikan kepada 5 bahagian iaitu Wathani, Nasrani, Majusi, Yahudi dan Hanif.
iv. Menyembah berhala merupakan agama dominan dikalangan orang Arab. Menurut Ibn Kalbi penyebaran agama menyembah berhala berpunca daipada Umar Bin Luai yang pergi ke Syam dan ternampak kaum Balqa’ menyembah berhala lalu beliau membawa agama itu ke Makkah.
v. Di antara berhala yang masyhur ialah al- Lat di Taif, Al- Uzza di Nakhlah, al- Manat di antara Mekah dan Madinah dan Hubal di kota Makkah. Di sekeliling Kaabah terdapat sebanyak 360 buah berhala.
vi. Agama Majusi tidak mengakui nabi yang diutuskan oleh Allah tetapi mereka mengikut nabi-nabi palsu. Agama Majusi terbahagi kepada 3 mazhab iaitu Zarwaniyah, Kayumarthiyah dan Zaradushtiyah. Kebanyakkan penganut tinggal di Yaman, Oman dan Bahrain.
vii. Agama Yahudi di bawa oleh Nabi Musa yang di utuskan Kitab Taurat dan penganut asal ialah Kaum Bani Israel. Tetapi mereka telah mengubah isi kandungan kitab Taurat.
ix. Sebahagian masyarakat Arab mengamalkan kepercayaan animisme seperti percaya roh, penunggu dan kuasa ghaib. Pemujaan matahari diamalkan oleh masyarakat Main. Ada yang menyembah pokok seperti masyarakat Najram.
x. Ada kepercayaan yang dianggap sebagai unsur karut dan tahyul seperti menilik nasib, melihat kearah burung terbang. Jika burung terbang disebelah kiri menandakan perjalanan tidak selamat begitulah sebaliknya.

Ilmu Pengetahuan
i. Tradisi ilmu pengetahuan hampir tiada kerana kebanyakkan orang Arab buta huruf. Menurut al-Baladhusi hanya terdapat 17 orang sahaja yang pandai membaca dan menulis. Justeru mereka dianggap sebagai masyarakat buta huruf. Disebabkan buta huruf, perkembangan ilmu hanya dalam bentuk lisan sahaja iaitu hafalan dan ingatan.


6.2.1 CONTOH AMALAN JAHILIYAH MASA KINI

6.3 ANCAMAN JAHILIYAH MASA KINI.

Ternyata amalan yang dilakukan oleh kaum jahiliyah amat sukar dikikis dan dihapuskan dalam masyarakat kita, sebaliknya kaum jahiliyah ini telah mengancam umat Islam masa kini. Ancaman-ancaman yang dilakukan oleh golongan jahiliyah terhadap umat Islam meliputi semua aspek kehidupan seperti:

6.3.1 Akidah.

Akidah jahiliyah adalah bertentangan dengan aqidah Islam, sama ada dari aspek kepercayaan, perkataan atau pun perbuatan. Akidah jahiliyah adalah karut iaitu tidak mahu menerima dan patuh dengan ajaran Islam serta mengingkari hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh al Qur’an dan al Sunnah. Contohnya mempercayai tilik nasib, bomoh dan juga tangkal azimat.

Firman Allah SWT :





Maksudnya :
“Allah telah mensyaria’atkan agama untukmu semua iaitu yang diwasiatkan kepada Nuh yang Kami wahyukan padamu, juga Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, hendaklah kamu semua menegakkan agama itu dan jangan berselisih di dalam melaksanakannya.”
(Asy-Syura : 13)

Hanya Allah yang wajib disembah dan tempat untuk meminta pertolongan. Umat Islam hendaklah menjauhi ancaman golongan jahiliyah yang cuba memesongkan aqidah mereka dengan kepercayaan yang karut seperti menyembah pokok, matahari, kubur dan sebagainya. Sebaliknya umat Islam diseru supaya sentiasa menegakkan agama Allah untuk kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat.


6.3.6 Ibadah.

Ancaman jahiliyah terhadap ibadah umat Islam hari ini adalah dengan mewujudkan pusat-pusat hiburan seperti pub, karaoke, cyber café dan sebagainya. Begitu juga media cetak dan media elektronik yang turut memaparkan pelbagai jenis hiburan yang ada sesetengahnya tidak sesuai untuk dibaca atau ditonton. Pusat-pusat hiburan ini akan memberi kesan kepada umat Islam, terutamanya golongan remaja dari mengerjakan ibadah. Mereka (umat Islam) akan sentiasa sibuk dengan hiburan sehinggakan tiada masa untuk mengerjakan ibadah seperti sembahyang berjamaah, bertadarus dan lain-lain lagi. Masjid dibiarkan kosong tanpa penghuni dan kalau ada pun hanyalah golongan tua yang tidak berdaya untuk mencari hiburan.

Untuk melawan ancaman ini, umat Islam harus kuat dan bersatu padu sama ada dengan cara memulaukan pusat-pusat hiburan ataupun pihak yang berwajib tidak mengeluarkan lesen untuk membina pusat-pusat hiburan secara berleluasa. Hanya amalan yang diredhai Allah sahaja yang menjadi penolong kita di akhirat.

6.3.6 Sosial.
Sistem sosial yang diamalkan oleh golongan jahiliyah ialah pilihan antara individu dan masyarakat. Sekiranya mereka memilih kehidupan individu, hak itu dianggap suci dan tidak boleh dicerobohi. Mereka memandang tinggi kedudukan individu sehingga mengabaikan hak masyarakat. Masyarakat tidak boleh mencampuri urusan peribadi, mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa batasan.

Di satu pihak lain, sekiranya sistem sosial mereka ditegakkan di atas kehidupan masyarakat, mereka akan menganggap masyarakat itu suci dan lebih berhak atas segalanya sehingga mengabaikan hak individu. Individu tidak berhak memikirkan sesuatu, menentukan fikiran, kepercayaan dan adat kebiasaannya sendiri. Individu harus tunduk kepada masyarakat.

Ancaman sosial jahiliyah hari ini begitu jelas dan nyata terhadap umat Islam, oleh itu untuk membanterasnya umat Islam tidak boleh memisahkan antara individu dan masyarakat. Sebaliknya individu dan masyarakat harus saling bergantungan untuk menegakkan agama Allah. Apabila masyarakat mengambil tahu hak individu dan individu mengambil tahu hak masyarakat, maka masalah sosial yang berlaku seperti buang bayi, sumbang mahram, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dapat dihapuskan.

6.3.6 Akhlak.

Akhlak masyarakat jahiliyah sangat buruk di mana mereka boleh melakukan apa sahaja tanpa batasan. Mereka tidak ada sistem nilai seperti wajib, haram, sunat, harus dan makruh yang memberi balasan kepada pelakunya sama ada mendapat pahala ataupun dosa. Oleh sebab itu mereka boleh bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, melakukan zina, meminum arak, berjudi, hisap dadah, memakan pil estacy dan sebagainya. Tiada lagi adab sopan dan tatasusila sebagai seorang yang bergelar Islam. Ancaman ini menyebabkan manusia tunduk dengan hawa nafsu yang dipimpin oleh syaitan.
Sebagai seorang yang beragama Islam, marilah bersama-sama kita berusaha untuk mengembalikan semula akhlak Islamiyah ke dalam masyarakat agar mereka tidak terus terleka dengan keseronokan dunia.

Firman Allah:





Maksudnya :
Dan tidaklah (dinamakan) kehidupan dunia ini melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan.” (al-Ana’am : 32)

6.3.6 Pemikiran.

Jahiliyah sentiasa ingin merosakkan pemikiran umat Islam dari aspek hubungannya dengan tuhan, dengan alam dan kehidupan sesama manusia. Mereka menyelewengkan pemikiran manusia mengenai hakikat ketuhanan yang sebenar serta hubungan manusia dengan tuhan. Mereka menyeleweng dari tujuan asal mengapa manusia diciptakan sebagai khalifah Allah yang ditugaskan untuk menegakkan Islam dan menjaga keamanan di muka bumi. Sebaliknya jahiliyah mempunyai taghut yang menyebabkan kehidupan manusia terbahagi kepada dua :

• Cenderung kepada ketuhanan.

Walaupun Tuhan (Allah) masih tetap disembah, tetapi pemikiran mereka lebih dikuasai oleh ‘tuhan-tuhan’ yang tidak berhak disembah yang mereka sengaja ada-adakan.

• Cenderung kepada alam nyata / dunia. (Menjauhi agama Allah)

Yang cenderung untuk menjauhi agama Allah adalah lebih ramai yang akan menyebabkan rosaknya kehidupan di muka bumi. Mereka leka dengan keindahan di dunia yang melampaui batas seperti menceburkan diri ke lembah maksiat dengan berjudi, minum arak berzina dan sebagainya. Mereka lupa dengan kehidupan akhirat dan lalai dalam mengerjakan suruhan Allah.





6.3.6 Ekonomi.

Ekonomi jahiliyah lebih menguasai ekonomi Islam. Amalan riba semakin bertambah. Bagi orang-orang yang mengamalkan ekonomi jahiliyah riba’ telah menjadi nadi dalam kehidupan seharian.

Allah SWT berfirman:





Maksudnya :
“Padahal Allah telah menghalalkan jual beli(berniaga) dan mengharamkan riba”

(Al-Baqarah : 275)

Dari ayat di atas jelas kepada kita bahawa Allah telah mengharamkan riba’ dan menghalalkan jual beli. Ekonomi jahiliyah telah membolehkan riba’ yang amat bertentangan dengan ekonomi Islam. Ternyata riba’ telah memeras hak masyarakat Islam dan ekonomi jahiliyah lebih cenderung kepada ekonomi Kapitalisme, yang mana masyarakat sentiasa ditindas untuk keuntungan sebelah pihak.

Untuk mendapat keberkatan dari Allah, maka kita hendaklah menolak ekonomi jahiliyah dan mengamalkan sistem ekonomi Islam.

something..

only the true people know the true feel

(KONSEP SYAHADAH)

5.1 Pengertian Syahadah dan Tuntutannya.
Syahadah (شَهَادَةٌ) dalam bahasa Arab bermakna perkhabaran tentang apa yang telah dilihat dan pengakuan tentang perkara yang telah diketahui.
Dari segi penggunaannya dalam bahasa Arab, perkataan syahadah juga boleh digunakan untuk sijil atau apa-apa sahaja surat yang mengandungi keterangan-keterangan dan akuan. Perkataan 'Syahadah' juga mengandungi maksud: ikrar dan pengakuan serta keyakinan.
Syahadah yang akan kita bincangkan di sini adalah penyaksian, pengakuan dan keyakinan pada Dua Kalimah Syahadah yang menjadi syarat untuk seseorang itu memeluk agama Islam.
“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan ALLAH dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh ALLAH

5.1.1 Syahadah Kepada Allah SWT.

Syahadah ini bermaksud mentauhidkan Allah dengan tauhid Rububiyyah, tauhid Uluhiyyah, tauhid al Asma’, as Sifah wa al Af`al serta tidak menghadapkan sembahan kepada sesuatu yang lain selain dari Allah SWT.
Di dalam kalimah La Ilaha Illallah terdapat dua perkara rukun iaitu nafi (penafian) dan ithbat ( penegasan ). Nafi dapat diperhatikan pada kalimah ( La Ilaha ) yang bererti menolak sebarang bentuk pengabdian selain daripada Allah. Penegasannya dapat diperhatikan pada kalimah ( Illallah ) yang bererti menegaskan tentang hakikat ketuhanan Tuhan yang maha Esa lagi tunggal ( Allah ).

5.1.2 Syahadah Kepada Rasul SAW.

Syahadah ini bermaksud ikrar dan tasdiq dengan segala syariat yang dibawa oleh Nabi atau Rasulullah SAW dan segala pemberitahuan mengenai perkara ghaib semuanya datang dari Allah serta menerima semua akhlak dan sifat kerasulan seperti siddiq, amanah, tabligh dan fatanah.

Syahadah ini merupakan teras Islam yang kedua. Syahadah ini menuntut manusia mengetahui, membenar dan meyakini bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah serta membuktikannya dengan perkataan dan perbuatan secara sekaligus.

Pembuktian dengan perkataan ialah melafazkan kalimah syahadah itu dengan lidah. Manakala pembuktian dengan perbuatan ialah menegakkan tingkah laku dan seluruh tindak tanduk yang bersesuaian dengan ajaran Nabi Muhammad SAW serta menurut jejak langkah baginda.

Tugas Rasulullah SAW adalah untuk memberitahu kepada manusia bahawa Allah SWT adalah penciptanya yang layak disembah dan Dialah yang meletakkan manusia ke jalan yang lurus. Dengan keyakinan ini barulah manusia dapat sampai ke jalan kebahagiaan dan kesempurnaan sebenar.

Manusia sendiri tidak dapat mengetahui perkara-perkara ghaib mengenai Pencipta dan Sirat al-Mustaqim dengan menggunakan kudrat dan akalnya yang lemah dan terhad. Manusia sering kali melakukan kesilapan. Oleh itu pengutusan para rasul menunjukkan kebijaksanaanNya dan merupakan rahmat yang paling besar untuk umat manusia.

Sebagai kesimpulannya, adalah tidak sepatutnya manusia mengingkari rasul Allah . Firman Allah SWT :


Maksudnya :
“Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajarnya ketika mana mereka berkata : Allah tidak menurunkan sesuatu pun untuk manusia.” ( al-An’am : 91)

5.2 Tauhid Rububiyyah Dan Tauhid Uluhiyyah.

5.2.1. Tauhid Ar-Rububiyyah
Ar-Rububiyyah berasal dari kalimah ar-Rabb. Ar-Rabb (الرّبّ) bermaksud yang memiliki, yang menguasai dan yang mentadbir. Tauhid Rububiyyah bermaksud meyakini bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan Pencipta alam ini, yang memilikinya, yang mengatur perjalanannya, yang menghidup dan mematikan, yang menurunkan rezki kepada makhluk, yang berkuasa mendatangkan manfaat dan menimpakan mudharat, yang mengabulkan doa dan permintaan hamba tatkala mereka terdesak, yang berkuasa melaksanakan apa yang dikehendakinya, yang memberi dan menegah, di tanganNya segala kebaikan dan bagiNya penciptaan dan juga segala urusan,

Perkataan ‘Rabb’ ada mempunyai beberapa makna. Antaranya ialah :
1. Pencipta
2. Pemilik segalanya
3. Pemberi rezeki
4. Pentadbir
5. Penguasa
6. Pengabul doa-doa
7. Penjaga.

Firman Allah SWT :




Maksudnya :
“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka dialah yang maha berkuasa atas segala sesuatu.” ( al-An’am : 17)


Dengan itu, semua makhluk bergantung kepadaNya, memerlukan pertolonganNya serta berharap kepadaNya. Apa yang dimiliki makhluk hanya bersifat sementara dan pinjaman. Oleh itu jika manusia mempunyai sifat berkuasa dan memiliki, maka sifat itu hanya sementara kerana segala sesuatu di alam ini adalah kepunyaan Allah SWT.

Begitu juga dengan kepandaian dan kebijaksanaan yang dimiliki manusia, semuanya datang dari Allah SWT. Ini kerana hakikat sebenarnya ialah manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak mempunyai apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk serta gerak nafasnya datang dari Allah SWT. Dengan keyakinan itu, maka timbul kesan syahadah tauhid dalam diri seseorang muslim. Dia hanya takut kepada Allah SWT dan berani untuk bertindak melakukan sesuatu juga kerana keyakinannya kepada Allah.



5.2.1.1 Fitrah Manusia Mengakui Sifat Rububiyyah Allah SWT.

Hakikat ini dapat dibuktikan secara jelas dengan pengiktirafan orang-orang kafir Quraish semasa al Qur’an diturunkan dan menyeru mereka supaya menyembah Allah SWT. Mereka mengaku bahawa tidak layak bagi manusia lebih-lebih lagi patung dan berhala bersifat dengan salah satu sifat rububiyyah Allah SWT. Sebagai contoh berhala yang mereka sembah itu sendiri tidak mempunyai sifat penguasa yang mutlak dan pencipta yang mutlak kerana berhala-berhala tadi juga diciptakan oleh manusia. Allah SWT telah telah mengabadikan pengakuan mereka itu di dalam al Qur’an. Antaranya ialah Firman Allah SWT :

Maksudnya :
“Dan sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka”, nescaya mereka menjawab: “Allah”. ( az-Zukhruf: 87)
Firman Allah SWT lagi :



Maksudnya :
“Dan jika kanu bertanyakan mereka tentang : Siapakah pencipta langit dan bumi ? Nescaya mereka menjawab : Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui. ( az-Zukhruf : 9)

Berdasarkan kepada ayat di atas dapat disimpulkan bahawa tidak susah untuk membuktikan Rububiyyah Allah SWT. Ianya dapat dibuktikan melalui fitrah manusia itu sendiri. Manusia yang mensyirikkan Allah juga mengakui ketuhanan Allah Yang Maha Pencipta. Al Qur’an juga mengiktiraf adanya tauhid Rububiyyah di dalam jiwa manusia. Ini dapat diperhatikan pada firman Allah SWT :



Maksudnya :
“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) pada hal hati mereka meyakini (kebenaran)nya”. ( an-Naml : 14)

Keengganan dan kesombongan sebahagian manusia untuk mengakui kewujudan Allah sebagai Pencipta, sebenarnya didorong oleh perasaan sombong, degil dan keras hati. Hakikatnya, fitrah manusia tidak boleh kosong dari memiliki perasaan mendalam yang mengakui kewujudan Pencipta. Tabiat manusia apabila berada di saat genting dan kesusahan tidak akan terlintas sesuatu di dalam hatinya kecuali Allah sahaja. Di saat itu segenap perasaan dan fikirannya di pusatkan kepada Allah SWT sahaja. Ini dibuktikan melalui firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan keikhlasan kepadaNya, maka ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka tetap berada di jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari ayat-ayat kami selain golongan yang tidak setia lagi ingkar.” ( Luqman : 32)

5.2.2 Tauhid Uluhiyyah

Al-Uluhiyyah pula berasal dari kalimah al-Ilah. Al-Ilah bermaksud yang berhak disembah di mana kepadanya ditujukan segala ibadah (pengabdian diri). Jadi, Tauhid al-Uluhiyyah bermaksud mengesakan Allah sebagai Ilah, iaitu meyakini bahawa Allahlah satu-satunya Tuhan yang berhak disembah dan diqasadkan segala ibadah, tidak harus ditunaikan ibadah melainkan kepadaNya sahaja dan tidak harus mensyirikkanNya dengan sesuatu apapun di langit mahupun di bumi. Firman Allah SWT:



Maksudnya :
“Dan Kami tidak mengutuskan rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa tiada tuhan melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah menyembah Aku”. ( al-Anbiya’ : 25)

Firman Allah SWT :



Maksudnya :
“Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru) : Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.” ( an-Nahl : 36)

Makna Ilah ialah sesuatu yang dipuja dan disembah. Apa yang kita puja dan sembah ia adalah Ilah kita. Orang yang beriman dengan keimanan yang tuntas hanya menjadikan Allah sebagai Ilahnya kerana Allah sahaja yang layak disembah dan diberi ketaatan sepenuhnya. Itulah makna Tauhid al Uluhiyyah.

5.2.3 Tauhid Asma Wa Sifat
Tauhid asma wa sifat ialah beriman kepada nama-nama Allah dan sifat- sifat-Nya, sebagaimana yang diterangkan dalam Al-Qur'an dan Sunnah Rasul-Nya menurut apa yang sesuai bagi Allah s.w.t, tanpa ta'wil dan ta'thil(menafikan), tanpa takyif (mempersoalkan) dan tamtsil (menyerupakan). Boleh juga dikatakan bahawa tauhid ini adalah beriman bahwa Allah memiliki nama dan sifat baik (asma ul-husna) yang sesuai dengan keagungan-Nya.
Firman Allah
“Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (QS 42:11)
Kita beriman bahawa sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat tetapi kita mestilah meyakini bahawa pengdengaran dan penglihatan Allah SWT tidak sama seperti manusia dan makhluk-makhluk yang lain.

5.2.4. Hubungan Antara Tauhid Rububiyyah Dengan Tauhid Uluhiyyah.

Tauhid Rububiyyah akan melahirkan keimanan kepada tauhid Uluhiyyah. Tauhid Uluhiyyah pula mengesakan Allah dalam pengabdian berbentuk amal perbuatan dan tingkah laku para hamba dan amal perbuatan ini membezakan di antara muslim dan bukan muslim. Al Qur’an terlebih dahulu memperingatkan orang-orang musyrikin Quraisy agar mengakui Tauhid al Rububiyyah. Apabila mereka menerima Tauhid al Rububiyyah dan bersungguh-sungguh mengakuinya, maka terbinalah jambatan yang menghubungkan mereka dengan tauhid al Uluhiyyah. Firman Allah SWT :







Maksudnya :
“Hai manusia, telah dibuat perumpamaan maka dengarlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu serukan selain daripada Allah tidak dapat menciptakan sesekor lalat, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tidak mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah pula yang disembah.” ( al-Hajj :73)

Ayat di atas mengingatkan orang-orang musyrikin mengenai suatu hakikat yang nyata iaitu sembahan-sembahan mereka adalah lemah, malah tidak berkuasa untuk mencipta sesuatu walaupun seekor lalat. Jika lalat itu mengambil atau merampas sesuatu dari mereka, maka mereka tidak berkuasa untuk mendapatkannya kembali. Ini menandakan kelemahan mereka. Oleh itu akal yang sejahtera tidak boleh menerima penyembahan selain daripada Allah SWT.

5.3 PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH.

Perkara yang menyebabkan rosaknya iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga bahagian:
Pertama: Iktikad. Kepercayaan yang bertentangan dengan dasar Islam iaitu, contohnya:

1. Iktikad bahawa alam ini qadim, tidak ada pencipta atau alam ini kekal selama-lamanya.
2. Iktikad bahawa pencipta alam ini baru, atau menyerupai mana-mana jenis makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baru ataupun mempunyai anak isteri atau berbilang-bilang atau menerima mati.
3. Iktikad menafikan kebenaran apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Iktikad bahawa Rasulullah SAW sebenar ialah yang disebutkan sebagai Muhammad batin, bukan Muhammad yang zahir, atau iktikad bahawa kerasulan Nabi Muhammad SAW hanya untuk orang-orang Arab sahaja, atau iktikad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ialah hukum-hukum yang lapok dan tidak praktikal untuk digunakan pada zaman moden.

Kedua: Perkataan. Iaitu tiap-tiap yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek dan mempermain-mainkan nama Allah, sifatNya, malaikat-malaikatNya, rasul-rasulNya, kitab-kitabNya, ayat-ayatNya dan hukum-hukumNya serta hukum-hukum yang diterang oleh RasulNya. Juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulama’ mengistinbatkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.

Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:
1. Hukum apa ini ?
2. Hukum ini sudah lapok.
3. Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana menghalangi kemajuan.

Ketiga: Perbuatan. Iaitu:

1. Tiap-tiap perbuatan dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan mengagungkan Allah, seperti sujud kepada makhluk walaupun tidak dengan niat menghormatinya sama seperti Tuhan atau tunduk kepada mana-mana makhluk sehingga sampai kepada had sekurang-kurangnya rukuk sembahyang dengan tujuan menghormatinya seperti menghormati Allah.
2. Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.
3. Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain dari Allah.

Di antara contoh-contohnya perbuatan seperti yang dinyatakan di atas ialah menyembah berhala, bertenung nasib, murtad dan lain-lain lagi.

5.4.1 DUA PULUH PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH.

Sekiranya seseorang itu melakukan salah satu daripada 20 perkara berikut maka batallah iman (syahadah) mereka:-

Bil Per. yang membatalkan Contoh/Huraian
1 Bertawakkal dan bergantung kepada selain Allah Bergantung kepada sebab-sebab dan melupakan bahawa yang mengizinkan sebab itu berkesan adalah Allah, dikira maksiat. Bergantung kepada sebab dan yakin pula bahawa sebab-sebab itu tidak ada hubungan dengan Allah, maka dikira syirik dan merosakkan syahadah. Di dalam Al-Quran banyak disebutkan tentang masalah ini.
Firman Allah:
Maksudnya :“Dan tidak ada pertolongan melainkan dari pihak Allah yang Maha Gagah lagi Maha Bijaksana menyembuhkan.”(Ali-‘Imran: 126)
2 Mengingkari nikmat Allah, sama ada nikmat yang kelihatan atau tidak, mudah difikirkan atau memerlukan penelitian khusus.
Firman Allah:
Maksudnya:“Dia memberikan kamu daripada setiap apa yang kamu minta, dan jika kamu menghitung nikmatNya, kamu tidak akan mampu menghitungNya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim lagi kufur.”
(Ibrahim: 34)

Maksudnya :“Sesuatu bahaya tidak akan menimpa kecuali dengan izin Allah. Sesiapa yang beriman kepada Allah nescaya Allah memimpinnya. Dan Allah mengetahui tiap-tiap sesuatu.
(At-Taghaabun: 11)


3 Bekerja atau berkhidmat dengan tujuan selain Allah. Hal ini sangat dimurkai oleh Allah.
Firman Allah:
Maksudnya :“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekelian alam.” (Al-An’aam: 162)
Berdasarkan ayat tersebut, ditegaskan dengan penuh yakin bahawa tidak ada ibadat atau perhambaan yang ditujukan kecuali kepada Allah.

4 Membuat undang-undang menurut kemahuan manusia, bukan menurut kehendak dan ketentuan yang telah digariskan oleh Allah.

Perbuatan seperti ini dikira melawan Allah, kerana Allahlah yang mempunyai hak menentukan undang-undang bagi kehidupan manusia, sama ada halal atau haram, kehakiman atau segala bentuk perintah dan larangan.

Firman Allah:
Maksudnya :“Bukankah semua ciptaan dan kekuasaan itu kepunyaanNya ? Maha Tinggi Allah Pengurus sekalian alan.” (Al-A’raf: 54)

Maksudnya: “Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum, ia menerangkan kebenaran, dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan.”
(Al-An’aam: 57)

Termasuk dalam kategori perbuatan yang merosakkan syahadah ialah orang yang tidak mahu menerima tugas yang diperintahkan oleh Allah kepadanya. Tugas itu ialah melaksanakan hukum Allah di bumi ini sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.

5 Mentaati selain Allah tanpa keredhaanNya Antara lain bermakna syahadah ialah “Tidak ada yang layak dipatuhi melainkan Allah.” Taat yang dibenarkan dan dikehendaki oleh Allah ialah taat kepada RasulNya. Ini disebabkan mentaati Rasul bermakna mentaati Allah.
Firman Allah:
Maksudnya:“Sesiapa yang mentaati Rasul, maka ia mentaati Allah.” (An-Nisa’: 80)

Taat kepada pemimpin atau pemerintah hanya dibenarkan selagi mereka tetap mematuhi dan melaksanakan Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah. Jika mereka telah keluar dari keduanya, maka tidak boleh taat kepada mereka. Mereka ketika itu telah melakukan maksiat sama ada mereka itu ulamak atau bukan ulamak.

Sabda Nabi S.A.W. :
Maksudnya :“Tidak ada bentuk ketaatan kepada makhluk di dalam hal durhaka dan maksiat kepada Allah.” (Riwayat Ahmad dan Hakim)

6 Menjalankan hukum selain daripada hukum Allah atau tidak menggunakan hukum Allah sebagai rujukan dalam semua masalah.

Firman Allah:
Maksudnya :“Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum-hukum yang telah diturunkan Allah maka mereka itu adalah orang-orang kafir.” (Al-Maidah: 44)

Maksudnya :“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelummu ? Mereka ingin berhakim kepada taghut padahal mereka telah diperintahkan untuk mengingkari taghut. Syaitan bermaksud menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya. Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah kamu tunduk kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul, kamu lihat orang-orang munafik menghalangi manusia dengan sekuat-kuatnya darimu.” (An-Nisa’: 60-61)

7 Benci kepada salah satu dari ajaran Islam atau keseluruhannya Firman Allah:
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong Allah nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu. Dan orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menyesatkan amalan-amalan mereka. Yang demikian itu kerana mereka membenci apa yang diturunkan oleh Allah, maka Allah menggugurkan amalan mereka.” (Muhammad: 7-8)

Termasuk di dalam kategori ini ialah membenci atau tidak bersetuju terhadap salah satu daripada hukum Islam sama ada ibadat, muamalat, politik, undang-undang ketika aman mahupun darurat. Begitu juga terhadap akhlak, cara bermasyarakat dan adab berilmu. Apa sahaja bentuk kebencian atau penentangan terhadap sesuatu yang terkandung di dalam Al Qur’an atau al Sunnah sama ada kata-kata, perbuatan, pengakuan atau sifat baginda, adalah terkeluar dari Islam.
8 Mencintai kehidupan dunia melebihi kecintaan terhadap akhirat atau menjadikan dunia sebagai tujuan utamanya.
Firman Allah:
Maksudnya : “Dialah Allah yang memiliki segala apa yang ada di langit dan di bumi. Dan celakalah bagi orang-orang kafir kerana seksaan yang amat pedih, iaitu orang yang lebih menyukai kehidupan dunia dari kehidupan akhirat dan menghalang manusia dari jalan Allah, mereka menginginkan agar jalan Allah itu bengkok. Mereka itu berada di dalam kesesatan yang jauh.” (Ibrahim: 2-3)

Maksudnya : “Sesiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka itu di dunia tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.” (Hud: 15-16
9 Menghina salah satu dari ajaran Al Qur’an atau al Sunnah, mempersendakan orang-orang alim atau orang-orang yang memperjuangkan Islam atau memperolok hukum-hukum Allah.
Firman Allah:
Maksudnya : “Orang-orang munafik ini takut akan diturunkan terhadap mereka sesuatu surah yang menerangkan apa yang tersembunyi dalam hati mereka. Katakanlah kepada mereka, teruskanlah ejekan-ejekan (terhadap Allah dan RasulNya). Sesungguhnya Allah akan menyatakan apa yang kamu takutkan itu. Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab; Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja. Katakanlah ; Apakah dengan Allah, ayat-ayatNya dan RasulNya kamu selalu berolok-olok ? Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir setelah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka bertaubat) nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa.” (At-Taubat: 64-66)
10
Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkanNya.

Firman Allah:
Maksudnya : “Sesungguhnya yang mengadakan kebohongan, hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itulah orang-orang yang berdusta.” (An-Nahl: 105)
Di antara dusta yang paling besar ialah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah.

Firman Allah:
Maksudnay : “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebutkan oleh lidahmu secara dusta. Ini halal dan ini haram untuk mengadakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidaklah beruntung. (Itu adalah) kesenangan yang sedikit dan bagi mereka azab yang amat pedih.” (An-Nahl: 116-117)

Mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah adalah termasuk perbuatan kufur. Sikap mudah menghalalkan sesuatu atau sebaliknya memberi akibat ynag buruk kepada kalimah syahadah yang telah diucapkan. Orang Islam tidak boleh mendahulukan akal fikirannya sehingga mengatasi Allah dan RasulNya.

11
Tidak beriman sepenuhnya kepada sumber hukum iaitu Al Qur’an dan al Sunnah.


Firman Allah:
Maksudnya : “Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain. Tiada balasan bagi orang yang berbuat demikian melainkan kerugian di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah: 85)
12
Mengangkat orang-orang kafir dan munafiq sebagai pemimpin serta tidak mencintai orang-orang Islam dan orang-orang mukmin.

Firman Allah:
Maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin (kamu), sebahagian mereka adalah ketua sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya (orang-orang munafiq) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata; Kami takut akan mendapat bencana. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya), atau sesuatu keputusan dari sisiNya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahsiakan dalam diri mereka. Dan orang-orang yang beriman akan mengatakan: Inilah orang-orang yang bersumpah sungguh-sungguh dengan nama Allah, bahawasanya mereka benar-benar bersertamu ? Rosak binasalah segala amalan mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang rugi.” (Al-Maidah: 51-53)
13 Tidak beradab dalam bergaul dengan Rasulullah S.A.W.

Firman Allah:
Maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suara kamu lebih dari suara Nabi dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain supaya tidak terhapus (pahala) amalan kamu sedang kamu tidak menyedarinya. (Al-Hujarat: 2)

14 Rasa takut dan lemah hati dalam menegakkan tauhid dan merasa senang dan terbuka di dalam menegakkan syirik.
Firman Allah:
Maksudnya : “Dan apabila hanya nama Allah sahaja yang disebut, kesallah hati orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat dan apabila nama sembahan selain Allah disebut, tiba-tiba mereka bergirang hati.” (Az-Zumar: 45)

15 Menyatakan bahawa Al Qur’an terdapat pertentangan antara ayat yang zahir dengan isi yang terkandung di dalamnya.

Jika seseorang berpendapat seperti di atas, maka syahadahnya terbatal. Begitu juga sekiranya beliau berpendapat makna yang tersirat di dalam sesuatu ayat hanya boleh difahami oleh golongan tertentu melalui ilham.
FirmanNya:
Maksudnya : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan berupa Al-Quran dengan bahasa Arab agar kamu memahaminya.” (Yusof: 2)

16 Tidak mengetahui makrifat Allah dengan pengenalan yang benar dan jelas, serta mengingkari sifat-sifat ketuhananNya atau mengingkari nama-namaNya.

Firman Allah:
Maksudnya : “Allah mempunyai nama-nama yang baik, maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut nama-namaNya itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka lakukan.” (Al-A’raaf: 180)


17 Tidak mengetahui Rasulullah secara benar atau menafikan adanya sifat-sifat yang terpuji yang diberikan oleh Allah kepadanya atau menghina sifat-sifat yang terpuji tersebut atau tidak meyakini bahawa Rasulullah SAW adalah contoh tauladan yang baik bagi seluruh umat manusia.
Firman Allah:
Maksudnya : “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah.” (Al-Ahzaab: 21)

18 Mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah, tidak mahu mengkafirkan orang yang telah ingkar syahadah dan tidak menghalalkan perang dengan mereka.
Di dalam satu kaedah ada menyatakan : Sesiapa yang mengkafirkan seseorang mukmin, maka ia kafir. Sebaliknya orang yang tidak mengkafirkan orang kafir, ia menjadi kafir. Begitu juga ia ragu terhadap kekafiran seorang kafir atau seorang mukmin yang telah murtad ia juga dikira kafir.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
Janganlah berlaku sesudahku nanti kekafiran yang memukul sebahagian dari kamu terhadap sebahagian yang lain.” (Al-Bukhari & Muslim)
19 Mengerjakan sesuatu ibadat bukan kerana Allah seperti menyembelih bukan kerana Allah, sujud atau ruku’ bukan kepada kepada Allah atau tawaf di sekeliling sesuatu yang lain dari Ka’bah dengan niat mendekatkan diri kepada Allah. Firman Allah:
Maksudnya :“Katakanlah sesungguhnya Solatku dan ibadahku dan hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan bagi sekelian alam, tidak ada sekutu baginya dan begitulah sebagaimana aku diperintahkan.” (Al-An’aam: 162)

20 Berperasaan riya’.

Terdapat bermacam-macam jenis syirik di dalam amalan seharian. Ada di antaranya dinamakan syirik kecil. Sebagai contoh, mengerjakan solat kerana Allah di samping ingin dipuji. Bersedekah kerana sungutan orang atau mahukan orang mengelilinginya memohon itu dan ini. Atau berjihad agar dikenang sepanjang zaman. Syirik seperti ini jika datang dalam bentuk was-was atau secara tidak langsung yang bukannya tujuan sebenarnya beramal, maka ia tidak membatalkan syahadah. Masalah ini dapat dihilangkan dengan berdoa atau memohon ampun kepada Allah. Tetapi kalau itulah tujuan atau cita-cita sebenar, maka batallah syahadahnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

“Allah telah berfirman yang maksudnya: Akulah yang paling tidak memerlukan kepada sekutu-sekutunya, sesiapa yang melakukan amalan yang menyekutukan Aku dengan yang lain, Aku akan membiarkan dia dengan benda yang disekutukannya itu.” (Riwayat Muslim)

( KONSEP AKIDAH )

4.0 Memahami Konsep Akidah

Aqidah merupakan simpulan yang kukuh yang tertanam di dalam jiwa. Simpulan tali aqidah dalam jiwa ini, tiada siapa pun yang dapat merungkaikan atau memutuskan dari jiwanya selain dari dirinya sendiri dan Allah yang mencipta dan memiliki jiwa hambanya. Sejarah para sahabat telah membuktikan hakikat ini.

4.1 TAKRIF AQIDAH DAN IMAN.

4.1.1 Takrif Aqidah.

Bahasa : berasal daripada ‘aqada’yang bermakna ‘menyimpulkan’ atau dari perkataan ýa’qidu’yang bermakna ‘mempercayai’. Manakala perkataan ‘aqidah’ ialah mufrad dan jamaknya (plural) ialah áqaid’ yang membawa maksud simpulan.

Istilah: Aqidah Islam dapat ditakrifkan sebagai kepercayaan atau keimanan kepada hakikat-hakikat dan nilai-nilai yang mutlak, yang tetap dan kekal, yang pasti dan hakiki lagi kudus dan suci seperti yang diwajibkan oleh Islam, iaitu kepercayaan yang tersimpul dengan teguh dalam jiwa yang tidak mungkin terurai dalam apa jua keadaan dan suasana.

4.1.2 Takrif Iman.

Bahasa : kepercayaan atau tasdiq.

Istilah: boleh dimengertikan melalui sabda Rasulullah SAW. dalam hadits baginda yang menegaskan:
“Membenarkan dengan hati, diucapkan dengan lidah dan diamalkan dengan jasad (anggota lahir).”

4.1.3 Penghayatan Rukun Iman.

Rukun-rukun iman ialah:
1. Beriman kepada Allah SWT. 4. Beriman kepada para Rasul.
2. Beriman kepada Malaikat. 5. Beriman kepada hari Akhirat.
3. Beriman kepada kitab-kitab Allah. 6. Beriman kepada Qadar dan Qada’

Keimanan bukanlah ucapan yang keluar dari bibir semata-mata, tetapi keimanan yang sebenar adalah merupakan suatu akidah atau kepercayaan yang memenuhi seluruh isi hati.

Dari situ akan muncullah kesan-kesannya, antaranya:
• Allah dan RasulNya lebih dicintai dari segala suatu yang ada
• Merasa takut dan malu terhadap Allah jika melakukan laranganNya
• Menjadi asas semua amalan yang soleh dan pendinding dari maksiat dan kederhakaan.

4.2 HURAIAN RUKUN IMAN.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Umar Ibni Al-Khattab RA bahawa di dalam pertemuan malaikat Jibril dengan Rasulullah SAW di dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh ramai dari sahabat-sahabat Rasulullah SAW, maka Jibril telah mengemukakan pertanyaan kepada Rasulullah yang bermaksud:

“Jibril telah berkata kepada Rasulullah: kamu terang kepadaku mengenai iman, maka jawab Rasulullah : Iman itu ialah bahawa kamu beriman kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul-rasul, kepada hari kemudian dan kamu beriman bahawa habuan dan peruntukan bagi kamu sama ada yang baik atau buruk adalah semua daripada Allah. Maka Jibril pun berkata: Kamu telah berkata benar.”

4.2.1 Percaya Kepada Allah.
Percaya kepada Allah adalah perkara asas dalam akidah Islam dan syariatnya. Erti beriman dengan Allah Ta’ala itu ialah mengetahui, percaya dan beriktikad dengan perkara-perkara yang wajib, perkara-perkara mustahil dan perkara yang harus bagi Allah Ta’ala.

Beriman dengan Allah juga bermaksud:
a) Membenarkan dengan yakin akan adanya Allah.
b) Membenarkan dengan yakin akan keesaan Allah, baik dalam perbuatanNya menjadikan alam dan makhluk seluruhnya mahupun dalam menerima ibadat setiap makhluk.
c) Membenarkan dengan yakin bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, suci dari segala kekurangan dan suci juga dari menyerupai segala yang baharu.

Apabila manusia itu mengenali Tuhan yang Maha Besar yang menjadikannya dan berhubung dengannya maka dia tahu bahawa dia adalah milik Tuhannya sahaja dan dengan itu bebaslah ia dari segala kuasa selain dari kuasa Allah SWT.

Firman Allah SWT :



Maksudnya:
“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.” (al-Baqarah : 21)

Ertinya bahawa Allah itu adalah pencipta setiap benda yang ada di alam ini termasuk bumi, langit dan planet-planet lain, yang dapat dilihat atau tidak, semuanya adalah kepunyaan Allah SWT. Dengan demikian semua manusia yang ada di muka bumi ini walau apa bangsa sekalipun dan di negara mana sekalipun adalah tertakluk kepada perintah Allah. Mereka dikehendaki menganuti agama Allah dan agama Allah yang terakhir sekali iaitu agama Islam .

Percaya kepada Allah ini adalah pokok kepada kepercayaan atau rukun-rukun iman yang lain, kerana dengan adanya Allah maka adanya yang lain-lain itu.

4.2.2 Percaya Kepada Malaikat.

Ertinya ialah bahawa Allah telah menjadikan sejenis makhluk halus yang keadaan asalnya tidak boleh dilihat, bukan lelaki dan bukan perempuan. Bilangannya tidak diketahui. Hidup mereka sentiasa taat kepada perintah Allah tanpa sekali-kali menderhakainya. Malaikat dijadikan oleh Allah daripada cahaya, sabda Rasulullah S.A.W ( Terjemahannya ) :
“Malaikat itu dijadikan daripada cahaya, jin dijadikan daripada api yang tidak berasap dan dijadikan nabi Allah Adam sebagaimana yang diterangkan iaitu daripada tanah.” ( Hadith riwayat muslim )
Di antara nama-nama malaikat dan tugas-tugasnya ialah :

Malaikat Tugas
Jibril: Menyampaikan wahyu dan perintah Allah kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya untuk disampaikan kepada manusia.
Mikail:
Mengawal cakerawala termasuk matahari , bulan , bintang-bintang, keadaan hujan dan panas dan lain mengikut yang dikehendaki oleh Allah.

Izrail:
Mengambil nyawa seluruh makhluk yang bernyawa apabila sudah sampai waktu yang dikehendaki oleh Allah
Israfil: Meniup serunai sangkakala apabila tiba masanya.
Raqib: Mencatit amalan baik yang dilakukan oleh manusia
Atid: Mencatit amalan jahat yang dilakukan oleh manusia.
Mungkar: Menyoal manusia di dalam kubur
Nakir: Menyoal manusia di dalam kubur.
Ridhwan Mengawal syurga.
Malik: Mengawal neraka.

4.2.2.1 Hikmat Beriman Kepada Malaikat.

Antara lain dapatlah dikatakan :
a) Apabila seseorang itu menyedari bahawa dia sentiasa diawasi oleh malaikat maka dia akan sentiasa menjaga tingkah lakunya, sentiasa berkelakuan baik, menjaga tutur katanya walau di mana dia berada.

b) Jika dia terlanjur melakukan sesuatu kesalahan dan kesilapan, dia akan segera insaf dan bertaubat kembali, tidak akan mengulangi lagi kesalahan tersebut, kerana menyedari setiap tutur katanya, gerak lakunya sama ada buruk atau baik akan tetap tidak terlepas daripada catitan Malaikat Raqib dan Atid.

c) Apabila seseorang muslim itu mengetahui apabila dia mati, dia akan ditanya dan diseksa oleh malaikat dalam kuburnya maka semasa hidup di dunia ini dia akan mengerjakan apa yang disuruh dan menghindar apa yang dilarang Allah. Jadi, apabila menyedari keadaan ini tentu dia akan sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga supaya suruhan Allah akan sentiasa dipatuhi dan dia akan selamat di alam kubur nanti.

4.2.3 Percaya Kepada Kitab.
Orang-orang Islam wajib percaya bahawa Allah SWT telah menurunkan beberapa buah kitab kepada rasul-rasulNya. Isi pengajaran kitab-kitab itu adalah mengandungi ajaran-ajaran mengenai amal ibadat untuk akhirat dan juga petunjuk-petunjuk untuk memperbaiki kehidupan manusia di dunia.

Kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah yang wajib diketahui oleh setiap orang Islam itu ialah:

1. Zabur : Nabi Daud (dalam bahasa Qibti).
2. Taurat : Nabi Musa (dalam bahasa Ibrani).
3. Injil : Nabi Isa (dalam bahasa Suryani).
4. Al-Quran : Nabi Muhammad S.A.W. (dalam bahasa Arab).

Setiap rasul yang diutus oleh Allah kepada manusia dilengkapi dengan kitab yang menjadi pedoman, pembimbing dan undang-undang kepada manusia yang dipimpinnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Pada mulanya manusia itu adalah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu tetapi akhirnya mereka telah berselisih faham), maka Allah telah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada yang engkar dengan balasan azab neraka azab neraka), dan Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang mempunyai keterangan-keterangan benar untuk menjalankan hukuman di antara manusia mengenai apa yang mereka pertikaikan.” ( Al-Baqarah : 213)

Al Qur’an merupakan kitab terakhir sekali diturunkan oleh Allah dan penutup kepada segala kitab-kitab yang terdahulu. Allah SWT berfirman:










Maksudnya:
“ Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia, yang tetap hidup, yang kekal selamanya mentadbirkan (sekelian makhluk). Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci (al-Quran) dengan (mengandungi) kebenaran, yang mengesahkan isi kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan ia juga yang menurunkan kitab-kitab Taurat dan Injil, sebelum (al-Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan ia juga menurunkan al-Furqan (yang membezakan antara yang benar dan yang salah). ( Al-Imran:2-4 )

4.2.4 Percaya Kepada Rasul.

Seseorang Islam diwajibkan beriman bahawa Allah telah mengutuskan beberapa orang rasul yang dipilihNya daripada jenis manusia yang cukup sempurna. Mereka menerima wahyu yang mengandungi hukum-hukum syarak untuk mengajar dan membimbing manusia kepada kehidupan yang membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat.


Sifat-sifat yang wajib bagi Rasul ada empat iaitu:

1. Siddiq - Benar pada segala percakapan, perkhabaran dan perbuatan.
2. Amanah - Jujur dan tidak membuat kesalahan.
3. Tabligh - Menyampaikan semua perintah Allah kepada manusia.
4. Fathonah - Bijaksana.

Erti Rasul dari segi bahasa ialah : Utusan yang menyampaikan sesuatu perutusan seseorang kepada orang lain. Manakala dari segi istilah : Rasul ialah lelaki utusan Allah yang menerima wahyu Allah untuk dirinya dan wajib disampaikan kepada umat manusia agar mereka dapat melalui jalan yang lurus dan diredhai Allah.

Terdapat 25 orang rasul yang wajib diketahui, iaitu Adam, Idris, Nuh, Hud, Salleh, Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yaakub, Yusuf, Ayub, Syuib, Musa, Harun, Zulkifli, Daud, Sulaiman, Ilyas, Iliasa’, Yunus, Zakaria, Yahya, Isa dan Muhammad s.a.w. Semua rasul-rasul diutuskan oleh Allah kepada kaum masing-masing, kecuali Nabi Muhammad (SAW) diutuskan kepada seluruh umat manusia. Firman Allah SWT :




Maksudnya:
“Tidaklah Kami (Allah) utuskan engkau (Muhammad) kecuali untuk umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan juga berita menakutkan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui hakikatnya.” (As-Saba’:28)



Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:

“Bahawa Nabi Muhammad itu bukanlah bapa kepada seorang lelaki daripada kamu Zaid bin Harisah,(anak angkat Rasulullah), malah adalah Rasul (utusan) Allah dan penyudah segala nabi (yang terdahulu) dan adalah Allah itu mengetahui segalanya.” (Al-Ahzaab: 40)

4.2.5 Percaya Kepada Hari Akhirat.

Beriman kepada hari Akhirat merupakan masalah yang paling berat dari segala macam akidah dan kepercayaan manusia. Sejak zaman sebelum Islam sampailah sekarang manusia telah memperkatakan masalah ini. Para ahli fikir selalu menempatkan persoalan ini sebagai inti penyelidikannya, sebab beriman kepada hari akhirat akan membawa manusia kepada keyakinan adanya satu kehidupan duniawi dan penciptaan manusia. Demikianlah pentingnya masalah ini hingga turunnya ayat-ayat Allah menerangkan kedudukan hari Akhirat ini.


4.2.5.1 Pola beriman kepada hari Akhirat itu terbahagi kepada lima fasa:

1. Tahap kehancuran segala makhluk yang ada di muka bumi. Dalam proses kehancuran ini akan terjadilah gempa bumi, di mana gunung-gunung menjadi debu berterbangan, air laut mendidih meluap-luap, bintang-bintang berguguran, langit bergulungan, sedang manusia semua mabuk dan pitam. Kemudian musnahlah segala makhluk sama ada yang bernyawa mahupun tidak, hanya Allah tetap kekal.
Firman Allah SWT :



Maksudnya:
“Semua yang ada di alam ini binasa. Hanya Zat Tuhan yang memiliki kebesaran dan kemuliaan tetap kekal.” (Ar-Rahman: 26-27)

2. Hari kebangkitan di mana manusia akan dibangkitkan dari kubur dan dikumpulkan di padang Mahsyar.

3. Diperlihatkan seluruh amal perbuatan di dunia dahulu. Tidak ada yang tersembunyi sama ada yang jahat mahupun yang baik, sekalipun sebesar zarah (atom).

Firman Allah SWT :





Maksudnya:
“Pada hari itu, manusia keluar dari kuburnya dalam bermacam-macam keadaan, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Barang siapa yang mengerjakan seberat timbangan zarah kebaikan, tentu akan dilihatnya. Dan barang siapa yang mengerjakan seberat timbangan zarah kejahatan nescaya akan dilihatnya pula.” (Al-Zalzalah: 6-8)

4. Hari menghisab di depan mahkamah keadilan Allah, di mana manusia akan memperolehi keputusan yang paling adil tanpa ada penganiyaan.

5. Hari keputusan di mana manusia akan menerima ganjaran yang setimpal dengan amalannya. Di sini saat yang dijanjikan akan dipenuhi sebagai tujuan penciptaan manusia. Mereka yang banyak amal kebajikan akan ditempatkan di syurga dan yang banyak amalan kejahatan akan ditempatkan di neraka yang penuh azab sengsara.

Dari fasa-fasa di atas, fasa kelima mempunyai nilai yang paling tinggi bagi kehidupan manusia. Ia menunjukkan kehidupan di dunia ada ertinya, bukan hidup sekadar makan dan minum sahaja tanpa ada kelanjutan dari segala usaha yang dilakukan di dunia ini. Apa yang kita kerjakan sekarang merupakan bentuk keinginan untuk kehidupan yang mendatang. Jelas didapati bahawa berbagai corak kehidupan yang dialami manusia seluruhnya, sedangkan akhirat tempat kekal dari amalan yang pernah dilakukan di dunia.
Beriman kepada hari Akhirat membawa kesan positif kepada manusia kerana ia mengajar manusia beramal soleh. Manusia soleh akan banyak memberi manfaat sesama insan, kebaikan yang dibuat bukan untuk mencari populariti diri dan bukan mengharapkan balasan material, malah mencari keredhaan Allah semata-mata. Maka akan lahirlah manusia bertaqwa dan sanggup menghadapi segala rintangan hidup sebagai ujian Allah kepada mereka.

Jika dalam menegakkan kalimah Allah mereka sanggup menggadaikan harta dan nyawa, maka sesungguhnya mereka adalah benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Sikap optimis yang mereka miliki, dengan pandangan yang tajam dan merupakan hasil dari keyakinan mereka kepada hari akhirat di mana di sanalah mereka akan diberi kemenangan yang abadi.

Akibat dari keimanan kepada hari akhirat wujudlah manusia yang benar-benar cintakan Allah hingga segala amalan perbuatan dalam kehidupannya adalah untuk Allah. Jika sikap yang demikian itu dipunyai setiap muslim, maka sudah tentu ancaman dari luar yang ingin menghancurkan Islam dapat dihapuskan, malah Insya Allah kesucian Islam dapat dipertahankan dan menjadi ikutan serta anutan seluruh manusia.

4.3 PERINGKAT-PERINGKAT IMAN.

Para ulamak membahagikan iman kepada beberapa peringkat:

1. Iman Taqlid : Iaitu iman ikut-ikutan, hanya semata-mata mengikut pendapat orang lain.
2. Iman Ilmu : Iaitu beriman semata-mata kerana berilmu dan berdasarkan pada fikiran tidak terletak di hati.
3. Iman A’yan : Iaitu iman yang terletak di dalam hati. Iman ini dimiliki oleh orang-orang soleh.
4. Iman Hak : Iaitu iman sebenar yang terlepas dari nafsu syaitan. Iman ini dimiliki oleh golongan muqarrabin, iaitu orang yang hampir kepada Allah.
5. Iman Hakikat : Iaitu iman peringkat tertinggi yang boleh dicapai oleh manusia. Iman ini hidup semata-mata untuk Allah dan Rasul serta hari akhirat seperti para sahabat nabi.

Setiap manusia harus memiliki sekurang-kurangnya iman A’yan untuk memperoleh ketenangan, kesejahteraan dan kekuatan jiwa serta semangat pengorbanan untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.


4.3.1 IMAN BERTAMBAH DAN BERKURANG.

Iman seorang manusia sentiasa bertambah dan berkurang mengikut amalan mereka. Untuk mencapai iman yang teguh kita hendaklah melakukan perkara-perkara berikut :
• Melawan hawa nafsu.
• Mengosongkan hati daripada sifat-sifat tercela seperti ujub, angkuh, sombong, tamak, riya’ dan sebagainya.
• Membiasakan diri dengan sifat-sifat terpuji.
• Melahirkan keikhlasan berbakti dan berkorban semata-mata kerana Allah.
• Memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti solat sunat, bersedekah, puasa sunat dan sebagainya.
• Bertafakur, iaitu memerhatikan tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah.

4.3.2 HUBUNGAN ANTARA IMAN, ISLAM DAN IHSAN.

Hubungan antara Iman, Islam dan Ihsan boleh diibaratkan seperti sebatang pokok. Bahagian akarnya ibarat iman, di mana ia tidak kelihatan. Akar di dalam tanah dan iman di dalam hati. Sekiranya akarnya baik tanpa sebarang cacat dan tidak ada penyakit, suburlah batang dan daun-daunnya. Begitu juga iman yang sihat akan melahirkan amalan yang baik.

Batang dan daun-daun yang subur itu ibarat Islam. Batang ialah bahagian yang nampak dilihat dari bahagian pokok tersebut. Begitu juga Islam dapat dilihat melalui amalan-amalan zahir. Amalan yang bersungguh adalah hasil dari iman yang kuat dan kukuh.

Ihsan ibarat buah dari pokok. Pokok yang akar dan batang yang sihat akan menghasilkan buah yang juga baik. Ihsan adalah hasil dari iman dan amalan Islam yang bersungguh di mana akan terpancarlah akhlak baik yang dikagumi oleh kawan dan lawan.

Kesimpulannya, antara Iman, Islam dan Ihsan mempunyai hubungan yang rapat yang tidak dapat dipisahkan. Pengakuan beriman tanpa ada amalan Islam adalah dusta. Amalan Islam tanpa iman adalah munafik. Begitu juga Ihsan tidak akan wujud tanpa Iman dan Islam.

4.4 PEMBAHAGIAN MANUSIA.

Menurut Al-Quran Al-Karim ,manusia dapat dikategorikan kepada beberapa bahagian iaitu

1. Manusia Muslim

Bahasa = orang Islam
Istilah = Golongan manusia yang mengucap dua kalimah syahadah, yang mengaku bahawa tiada tuhan selain Allah SWT dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah SWT. Sentiasa berusaha menjalankan perintah Allah SWT dan menjauhi larangann-Nya.

Ciri-ciri muslim sejati

Aqidah yang Sejahtera Bermujahadah melawan hawa nafsu
Ibadah yang sahih Berdikari
Akhlak yang mantap Tersusun didalam urusan
Berpengetahuan Luas Menepati masa
Memiliki tubuh badan yang sihat Bermanfaat untuk orang lain

2. Manusia Mukmin.

Bahasa = Orang yang beriman

Istilah = Manusia mukmin ialah mereka yang beriman kepada Allah SWT dan beriman kepada rukun-rukun Iman yang enam. Beriman dengan sebenar-benarnya dengan perbuatan dan amalan sekali.

Sifat-sifat Manusia mukmin.
• Bertakwa
• Menerima dan patuh kepada hukum Allah SWT.
• Cintakan Allah.
• Sembahyang dengan khusyuk.
• Berjihad di jalan Allah.
• Dakwah kepada kebaikan.

Janji-Janji Allah Kepada Orang Mukmin.

Di dalam al Qur’an banyak terdapat ayat-ayat yang menunjukkan Allah memberi jaminan kepada mukmin dengan kehidupan yang sempurna di alam akhirat. Allah SWT tidak sekali-kali memungkiri janjiNya.
Di antara firman Allah SWT :




Maksudnya:
“ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin dirinya dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” (At-Taubah: 111)

Dari ayat di atas, dapatlah disimpulkan bahawa:

1. Allah SWT memberi jaminan sepenuhnya bahawa orang-orang
mukmin diberi pembalasan yang baik dengan dimasukkan ke dalam syurga.
2. Penghuni-penghuni syurga akan kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Sebagai ganjaran pahala dari Allah ke atas amalan- amalan yang mereka lakukan di dunia.
3. Orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan kelihatan bercahaya-cahaya lantaran berita gembira yang mereka terima, iaitu syurga abadi

Oleh itu, janganlah merasa hina dan rendah diri lantaran beramal dengan amalan Islam dan terimalah seruan Allah SWT.

3. Manusia Fasiq

Bahasa = putus, cerai

Istilah = Golongan yang tahu tentang ajaran Islam tetapi tidak mahu mengamalkannya. Sebagai contoh, mereka tahu bahawa solat 5 waktu sehari semalam itu WAJIB tetapi tidak mahu menunaikannya.

4. Manusia Munafik.

Bahasa = berpaling
Istilah = orang yang mengaku beriman kepada Allah SWT dengan lidak tapi hakikatnya hati mereka menafikan pengakuan tersebut. Merka menyembunyikan sifat kekafiran mereka dan berpura-pura sebagai orang Islam.

Manusia munafik terbahagi kepada dua :

• Munafik Iktiqadi :
Iaitu iktikadnya terhadap pokok persoalan iman denagn bersikap dan bersifat nifak. Golongan ini akan kekal di dalam neraka, sekiranya mati tanpa bertaubat kepada Allah dan memperbetulkan semula iktikadnya.

• Munafik Amali :
Iaitu amalan-amalan dalam ibadatnya bersifat dan bersikap nifak, seperti seseorang itu beramal kerana selain dari Allah. Maka golongan ini melakukan dosa yang memerlukannya bertaubat kepada Allah. Mereka akan dimasukkan ke dalam syurga sesudah dimasukkan ke dalam neraka.

Sifat-sifat orang Munafik :
• Penyakit hati.
• Berbuat kerosakan di bumi.
• Menuduh orang beriman sebagai bodoh.
• Mengambil orang kafir sebagai pemimpin orang mukmin.
• Menipu, riya’, malas dalam mengerjakan ibadat.
Menyuruh yang mungkar dan melarang perkara makruf.

5. Manusia Kafir.(Kufur)

Bahasa : Kufur bererti tutupan atau penutup.
Istilah : Kufur bererti tidak beriman kepada keesaan Allah atau kenabianNabi Muhammad SAW serta syariat yang disampaikan baginda.

Para ulama telah membahagikan kufur kepada beberapa bahagian, antaranya :
• Kufur tauhid kepada Allah, seperti firman Allah SWT :



Maksudnya :
“Sesungguhnya orang-kafir sama sahaja bagi mereka , kamu beri peringatan atau tidak , mereka tidak juga beriman.” (al-Baqarah : 6)

• Kufur dengan makna juhud (menentang) Allah. Firman Allah SWT :







Maksudnya :
“ Apabila datang kepada mereka apa yang mereka tahu , mereka kufur dengannya. Maka laknat Allah ke atas orang-orang kafir.” Al-Baqarah:89 )

• Kufur nikmat (tidak berterima kasih kepada Allah). Firman Allah SWT:


Maksudnya :
“ Syukur kepadaKu dan janganlah kufur ‘ (Al-Baqarah:152 )

Sifat Orang kafir :
• Tidak yakin akan adanya hari kebangkitan dan alam akhirat.
• Memperolokkan al Qur’an dan orang yang beriman.
• Menghalang manusia lain dari mengikut jalan Allah.
• Menjadi hamba kepada kebendaan.
• Merasa iri hati terhadap orang Islam yang menyeru kepada kebenaran.
Memperolokan agama Allah, membenci dan menentang apa saja yang berkaitan dengan Islam.

4.5. Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama’ah

Kesemua aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berlandaskan al-Qur’an, al-Hadith serta ijma‘ ulama. Ahli Sunnah menyifatkan Allah dengan sifat-sifat yang telah dinyatakan oleh Allah Ta‘ala sendiri di dalam al-Qur’an dan apa yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis.
Mazhab yang empat (Syafi’e, Hanbali, Maliki dan Hanafi) juga termasuk dalam golongan Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Ancaman terhadap Ahli Sunnah datang dari pelbagai sudut, sama ada dari golongan yang meng-izhar-kan mereka bukan Islam seperti Yahudi dan Kristian mahupun golongan yang mendakwa sebagai Islam seperti puak Syi‘ah, Wahhabiyyah, Hizb al-Tahrir, Ikhwanjiyyah (Khawarij), Islam Liberal, Sisters In Islam dan banyak lagi. Ini merupakan ujian Allah terhadap mereka yang berpegang dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jama‘ah di zaman kini supaya memperjuangkan sunnah (aqidah dan syari‘at) bagi mendapat ganjaran syahid dalam peperangan.

(TASAWWUR ISLAM)


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


3.1 PENGERTIAN ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP.

3.1.1 Definisi Tasawwur Islam.

Tasawwur = suatu gambaran atau tanggapan akal atau pemikiran seseorang terhadap sesuatu perkara.

Islam 1. Bahasa = sejahtera, suci, aman, taat, dan berserah diri.
2. Istilah = patuh, tunduk, dan menyerah diri kepada Allah SWT dengan ikhlas bagi memperoleh kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.

Kepatuhan kepada syariat Allah SWT merangkumi ketiga-tiga aspek, iaitu akidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga aspek ini tidak boleh dipisahkan dalam menjalani kehidupan harian kerana memisahkan satu daripadanya akan merosakkan kesucian ajaran Islam. Islam adalah agama yang membawa kesejahteraan kepada penganutnya yang mematuhi segala ajarannya.
Islam adalah agama penutup bagi agama-agama Samawi (agama yang turun dari langit). Oleh sebab itu segala ajaran Islam adalah lengkap, merangkumi hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan di dunia dan di akhirat.
Keunggulan agama Islam dapat dilihat daripada beberapa aspek, misalnya:

• Ajarannya lengkap untuk keperluan dan kesejahteraan hidup manusia.
• Ajarannya sesuai di amalkan oleh semua bangsa di dunia.
• Ajarannya sesuai diamalkan pada setiap masa dan semua tempat di dunia ini.
• Allah SWT yang menjadikan manusia dan mengetahui segala keperluan makhlukNya, maka syariat Islam dapat memenuhi keperluan-keperluan tersebut.

Info tambahan
Perbezaan pengguaan ‘agama’ dan ‘ad-deen’

Agama adalah suatu anutan tetapi ad-deen lebih dari itu. Ad-deen ialah suatu kepercayaan yang hakiki dan suatu cara hidup yang sempurna. Ad-deen merangkumi aspek akidah, ibadah, perundangan dan akhlak Ad-deen yang merangkumi keempat-empat ciri yang tersebut itulah yang diistilahkan ISLAM



Maksudnya: “Sesungguhnya agama (cara hidup) yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam.”

3.2 CIRI-CIRI KESEMPURNAAN ISLAM.
Islam merupakan satu cara hidup yang mempunyai sifat keistimewaannya tersendiri berbanding dengan agama-agama yang lain di atas muka bumi ini. Islam mempunyai ciri-ciri asas yang unggul lagi istimewa. Menurut Abdullah Nasih Ulwan, ciri-ciri Islam adalah seperti berikut :
3.2.1 Ketuhanan ( Rabbaniyah ).
Islam bukan agama ciptaan manusia. Setiap ciptaan manusia mempunyai kelemahan, keterbatasan dan terpengaruh oleh faktor-faktor tempat, masa, budaya, warisan, watak dan hawa nafsu. Maksud Rabbaniyyah ialah bahawa seluruh alam, peraturan serta sistem yang terkandung di dalam Islam merupakan ciptaan Allah dan digubal olehNya. Allah sebagai pencipta, pentadbir dan pemilik alam dan seluruh makhluk. Tidak ada satupun sistem Islam ini direka atau digubal oleh manusia. Penerimaan manusia akan hakikat Rabbaniyyah ini akan mendorongnya melaksanakan seluruh tuntutan Islam ini dengan penuh gembira, senang, redha, jujur dan ikhlas. Dorongan ini berlaku kerana :

i. Benar-benar mengetahui dan yakin bahawa Allah Maha Berkuasa dan berhak berbuat mengikut kehendakNya dan manusia hanya berhak patuh kepadaNya. Firman Allah SWT :



Maksudnya :
Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha suci Allah dan Maha Tinggi daripada apa yang mereka persekutukan ( Surah al Qasas : 68 )

ii. Meyakini bahawa Allah Maha Mengetahui atas seluruh kejadianNya. Maka itu Dia berkuasa menyusun aturan kehidupan untuk makhluknya.
iii. Meyakini bahawa dengan kebijaksanaan dan keadilan Allah, Dia menciptakan aturan hidup ini dengan sebaik-baiknya untuk kebaikan makhlukNya atas rahmat dan keadilannya.
iv. Meyakini bahawa manusia tetap lemah dan tidak berupaya untuk sampai ketahap kesempurnaan walau setinggi manapun ilmu pengetahuannya.

Atas dasar Rabbaniyah inilah, seorang muslim tidak mempunyai alternatif lain kerana menerima aturan hidup Islam ini adalah tuntutan keimanan dan bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia.

3.2.2 Kesejagatan ( Alamiyah ).
Pelaksanaan sistem Islam dan misinya tidak terhad pada sempadan benua dan rupa bentuk muka bumi. Begitu juga manusia menurut pandangan Islam adalah sama, tidak ada batas pemisah di antara mereka. Kesesuaiannya meliputi setiap ruang dan makhluk yang wujud di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT :


Maksudnya :
Dan tidaklah kami mengutus kamu,melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam ( Surah al-Anbiya’ :107 )

Pendekatan Islam adalah bersifat universal dan tidak menyukai adanya batas-batas berasaskan warna kulit, bangsa, darah atau daerah, sebaliknya Islam mahu menyatukan keseluruhannya. Sifat kesejagatan ini juga tidak terbatas kepada waktu-waktu tertentu atau generasi tertentu sahaja.
3.2.3 Waqi’iyah ( Realiti ).
Islam adalah agama yang realistik kerana Islam diturunkan untuk dipraktikkan disemua tempat dan masa yang memang berlaku dalam kehidupan manusia seperti kehidupan berkeluarga, perhubungan sesama manusia, ekonomi dan seumpamanya.

3.2.4 Islam agama semua zaman dan tempat.
Islam adalah agama Allah yang sesuai untuk setiap zaman dan semua tempat. Allah SWT sebagai Rabb bagi alam ini sangat mengetahui tentang masa dan tempat kerana semuanya adalah di bawah kawalan Allah SWT. Adalah terlalu bodoh dan dangkal sesiapa yang mengatakan Islam hanya sesuai di zaman Nabi Muhammad SAW sahaja. Dalam ajaran Islam ada perkara-perkara yang tetap dan boleh berubah-ubah. Perkara yang menjadi prinsip seperti persoalan akidah sama sekali tidak boleh berubah dan tidak perlu kepada perubahan. Demikian juga perkara dasar dalam syariah. Manakala perkara-perkara yang bersifat rantingan atau perkara-perkara kecil yang berbentuk penditilan maka dibolehkan untuk berubah bahkan perlu kepada perubahan.

3.2.5 Islam agama Agong
Islam adalah agama paling tinggi lagi agung. Ia milik Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Sejarah telah membuktikan bahawa Rasulallah SAW dan sahabat-sahabat Baginda telah mempersaksikan keagungan Islam. Pada masa itu umat Islam telah dapat mengalahkan kerajaan-kerajaan taghut Rom dan Parsi. Umat Islam hari ini lemah adalah kerana mereka tidak memperjuangkan Islam dan tidak menghayatinya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulallah SAW.

3.2.6 Kamil dan Syamil
Kamil bererti lengkap dan sempurna manakala syamil bermaksud menyeluruh. Ini menunjukkan kepada kita bahawa Islam adalah agama yang sempurna. Kesempurnaan ini adalah kerana ianya datang daripada Allah SWT .

Firman Allah SWT :



Maksud nya :
Hari ini telah Kusempurnakan bagi kamu dan telah Aku selesaikan nikmatKu ke atas kamu dan Aku rela Islam sebagai deen kamu ( Surah al Maidah : 3 )

Islam juga bersifat syumul iaitu menyeluruh, mencakupi semua aspek hidup manusia. Allah SWT telah memerintahkan orang-orang yang beriman supaya mengambil Islam dalam semua aktiviti dan bidang kehidupan.

Firman Allah SWT :


Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh…….. (Al-Baqarah: 208)

3.2.7 Islam agama fitrah.
Islam adalah risalah untuk manusia seluruhnya, iaitu dipandang dari sudut manusia itu keseluruhannya. Ia bukanlah risalah bagi akal tanpa roh, bukan rohani tanpa jasmani, bukan fikiran tanpa perasaan dan bukan sebaliknya. Ia adalah risalah insan seutuhnya iaitu rohnya, jasmaninya, hati nuraninya, kemahuannya dan perasaannya.

Sesungguhnya Islam tidak membahagikan manusia kepada dua bahagian sebagaimana dilakukan oleh agama-agama yang lain iaitu :
i. Bahagian rohani yang dikendalikan oleh agama dan diarahkan ke tempat ibadat. Bahagian ini menjadi hak golongan agama dan tempat permainan bagi para paderi dan pendita bagi mengarahkan manusia mengikut arahannya.
ii. Terdiri daripada benda yang tidak ada kekuasaan bagi agama ke atasnya, malah tidak ada medan bagi Allah SWT padanya. Bahagian ini menjadi medan bagi kehidupan bagi kehidupan dunia, politik, masyarakat dan negara. Dan inilah bahagian yang terbesar dari kehidupan manusia.

3.3. STRUKTUR ISLAM SEBAGAI AD DIN.

Islam mempunyai konsep yang amat luas yang merupakan cara hidup yang lengkap. Ianya merangkumi perkara-perkara penting dalam pengertian Din itu sendiri. Di dalamnya terkandung TIGA perkara besar iaitu aqidah, syariah dan akhlak.


2.3.1 Aqidah (Iman).
Aqidah merupakan perkara asas dan dasar kepada Islam. Ia diumpamakan seperti akar tunjang bagi sepohon pokok. Aqidah juga merupakan titik permulaan menjadi seorang muslim serta merupakan asas keyakinan dan pegangan hidup manusia. Aqidah Islam adalah kepercayaan dan keyakinan kita kepada Allah SWT sebagai Rabb dan Ilah Yang Maha Esa manakala Muhammad SAW adalah Rasulnya. Di samping itu menerima elemen-elemen yang enam dengan penuh keyakinan tanpa keraguan dan prasangka. Sabda Rasulullah SAW ( Terjemahannya ) :

“Berkata Rasulullah SAW : Sesungguhnya iman itu ialah engkau beriman dengan Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari akhirat dan engkau beriman dengan takdir baik dan buruk. (Riwayat Muslim)

2.3.2 Syariah (Islam)
Syariah ialah bidang Din Islam yang berkaitan dengan undang-undang, hukum hakam ketentuan Allah untuk dilaksanakan bagi menjamin kemaslahatan umat manusia. Syariah Allah meliputi segala aspek. Bermula dari pembentukan peribadi muslim, keluarga, masyarakat, negara dan seterusnya dunia keseluruhannya yang diamanahkan oleh Allah kepada manusia agar ditegakkan dengan syariah Islam.

Oleh itu, di dalam Islam Allah SWT telah mensyariatkan sembahyang, puasa, zakat, haji sebagai asas-asas penting dalam syariah Islam. Di atas asas-asas inilah manusia juga hendaklah melaksanakan segala aktiviti kehidupan mereka berdasarkan undang-undang Allah seperti dalam bidang kehidupan mereka berlandaskan undang-undang Allah seperti dalam bidang perundangan, aktiviti ekonomi, sosial, moral dan lain-lain. Ini semua mestilah berpandukan syariat yang telah diturunkan oleh Allah SWT.

2.3.3 Akhlak (Ehsan)
Menurut Imam al Ghazali di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin, akhlak ialah sifat yang tertaman dalam jiwa seseorang, yang dengannya lahir perbuatan hasil dari pancaran hati sanubari dalamannya. Akhlak yang mulia merupakan matlamat yang asasi bagi risalah Islam. Ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud :

“Sesungguhnya aku diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Malik)

Akhlak juga merupakan natijah dan tanda dari aqidah yang betul. Tidak ada nilai bagi aqidah atau iman yang tidak disertai oleh akhlaq yang mulia. Akhlaq juga merupakan amalan yang paling berat yang akan diletakkan di dalam neraca hamba pada hari kiamat kelak. Maka barang siapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Di dalam Islam akhlak merupakan intipati bagi segala ibadat. Tanpa akhlak hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai apa-apa nilai. Firman Allah SWT :


Maksudnya :
“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar” (Surah al-Ankabut : 45)

Ayat tersebut menerangkan bahawa seseorang yang mendirikan solat sudah tentulah tidak melakukan perkara-perkara fasad dan mungkar kerana dia memahami erti Din Islam yang sebenarnya.

3.3.4 Hubungan Di Antara Aqidah, Syariah Dan Akhlak.

Syariah dan aqidah laksana hubungan batang pokok dan akarnya. Sebagaimana pohon kayu tak dapat tumbuh tanpa akar, demikian pula mustahil bagi seseorang yang tidak memiliki aqidah atau iman untuk memulakan dirinya menjadi seorang muslim.

Aqidah adalah dasar dalam Islam, ia menjadi titik permulaan untuk mengamalkan segala tuntutan Islam, atau menjadi tapak tegaknya aktiviti keislaman (syariah) dalam hidup dan kehidupan individu. Dengan adanya aktiviti keislaman yang dilakukan oleh seseorang individu menjadi bukti ia memiliki aqidah atau nilai keimanan yang dimilikinya.

Manusia hidup di atas dasar aqidahnya. Tinggi rendah nilai kepercayaan memberikan corak kepada kehidupannya. Oleh itu, kehidupan dalam Islam mesti dimulai dengan Iman. Sistem atau manhaj ini dapat dilihat daripada sirah Rasulullah SAW yang mana pada permulaan awal Islam para sahabat baginda dididik dengan asuhan iman terlebih dahulu sebagai persediaan awal untuk ke arah cara hidup Islam yang sebenar.

Hubungan aqidah (iman), Islam (syariah) dan ehsan (akhlak) dapat dilihat dalam sesuatu amal ibadah seperti sembahyang dianggap sah serta diterima Allah sekiranya dilaksanakan dengan penuh ehsan iaitu apabila niat asal mendirikannya kerana Allah dan bukan kerana yang lain. Inilah yang dinamakan ikhlas.

3.4. ISLAM DAN CABARAN SEKULARISME.
Sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan kehidupan dunia dengan agama. Ini bermakna agama hanya menjadi milik orang yang percaya kepada konsep ketuhanan sahaja, manakala satu golongan lagi tidak berpegang atau hidup tanpa berpandu kepada agama dalam apa saja lapangan kehidupan.

3.4.1 Suatu perkembangan yang membahayakan umat.

Suatu pengaruh dan fahaman yang merosakkan umat Islam ialah menularnya fahaman Sekular di tengah-tengah masyarakat Islam. Pengaruh Sekularisme ini telah merebak ke negara-negara Islam. Dikatakan bermula dari abad ke 18M hinggalah pengaruh ini akhirnya berakar umbi di dalam diri masyarakat Islam di abad ini. Suatu contoh yang jelas di zaman moden ini ialah apa yang telah berlaku kepada Daulah Othmaniyah Turki, di mana telah diadakan pembaharuan undang-undang dengan memasukkan undang-undang yang bukan daripada al Qur’an dan al Sunnah. Undang-undang ini datangnya dari kod orang Barat semenjak zaman Renaissance. Ia telah menjayakan Sekularisasi. Pengaruh tersebut semakin lama semakin menyeluruh dan berakar umbi memasuki semua bidang hidup hingga menyebabkan soal-soal kehidupan harian terpisah dari dasar-dasar kerohanian Islam. Pengaruh Barat ini diterima dengan mudah dengan alasan untuk menjalankan pemodenan, pembangunan serta kemajuan. Melalui fahaman Sekular ini Deen Islam bukan lagi menjadi satu sistem untuk mengatur kehidupan manusia tetapi hanya menjadi amalan peribadi sahaja.


3.4.2 Pendewaan nilai Barat.

Sebahagian masyarakat kini juga sedang menghadapi bahaya kerana mendewakan idea-idea Barat buatan manusia. Hal ini amat membimbangkan kerana dikhuatiri mereka akan termasuk ke dalam golongan yang disifatkan Allah dalam FirmanNya :


Maksudnya :
Mereka ( ahli kitab ) mengambil bijak pandai dan pendita-pendita mereka sebagi tuhan-tuhan mereka selain dari Allah ( At-Taubah : 31 )

Mujahid Sa’id Hawwa telah menjelaskan di dalam kitabnya, Jundu Allah Thaqafatan Wa Akhlaqan, bahawa Imam Tirmizi meriwayatkan bahawa “Adi bin Hatim at-Ta’l datang berjumpa Rasulullah SAW sedang baginda membaca ayat tersebut. “Adi berkata kepada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Ahli-ahli Kitab itu tidak pernah menyembah pendita-pendita mereka”. Maka Rasulullah SAW berkata kepada ‘Adi : “Ya !, sesungguhnya mereka mengharamkan ke atas ahli kitab sesuatu yang halal serta menghalalkan sesuatu yang haram dan mereka ahli kitab mematuhinya, maka itulah bentuk penyembahan kepada mereka (pendita-pendita) tersebut.”

Mujahid Sa’id Hawwa menjelaskan lagi bahawa jika dilihat kepada realiti masyarakat Islam kini ternyata bahawa mereka sedang melaksanakan hukum-hukum selain daripada hukum Allah SWT.

Di kalangan orang ramai terdapat berbagai sikap dan pandangan. Ada yang berterus terang mengajak kepada pelaksanaan hukum lain selain hukum Allah SWT. Ada yang bertindak sedemikian secara bersembunyi. Ada yang berpendapat bahawa hukum-hukum Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan pada masa kini kerana dikatakan ianya adalah sistem yang kuno dan ketinggalan zaman. Ada yang berpuas hati dengan sistem kufur yang berjalan hingga jika diajak untuk mengubahnya mereka enggan. Ada yang mempersendakan dan mengejek apabila diajak kembali kepada al Qur’an dan as Sunnah. Tidak kurang juga ada yang menyatakan bahawa kerja-kerja untuk melaksanakan hukum-hukum Islam itu telah ketinggalan zaman serta tidak bertamadun lagi. Sikap-sikap sedemikian amat berbahaya serta dibimbangi akan termasuk ke dalam golongan yang difirmankan Allah SWT :



Maksudnya :
“Tidakkah kamu melihat mereka yang menyangka mereka itu beriman dengan apa yang ditanzilkan kepada engkau (Muhammad) dan apa yang telah ditanzilkan sebelum engkau, mereka mahu berhukum kepada taghut (sistem selain Islam) sedangkan mereka diperintahkan menolak taghut, dan syaitan itu mahu menyesatkan mereka sesesat-sesatnya.” (An-Nisa’: 60)

3.4.3 Kejahilan Masyarakat Tentang Hakikat Islam.

Menurut asy-Syahid Dr.Abdul Kadir Audah di dalam bukunya, Al-Islam Wa Audha’una as-Siyasiyah, bahawa semua orang Islam di dunia ini mengaku beragama Islam dan kebanyakan mereka berbangga dengan nama tersebut. Tetapi dukacita sekali kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya. Islam tidak ada hubungan dengan hati mereka meskipun ada hubungan dengan tutur kata mereka.

Kejahilan terhadap Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam kerana mereka telah didoktrinkan dengan prinsip-prinsip Sekularisma. Mereka menolak hukum-hukumnya yang menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri. Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah SWT.

Allah SWT sama sekali tidak menerima sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Islam. Hal ini telah diterangkan oleh Allah SWT dalam Firmannya :





Maksudnya :
“Sesiapa yang mencari selain dari Islam sebagai Deen (cara hidup), maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak terdiri daripada golongan orang yang rugi.” (Ali-‘Imran: 85)

Jika demikian sifat Islam maka mengapa masih kedapatan ramai yang masih mencari-cari sistem yang lain daripada sistem Islam ? Sesungguhnya mereka yang menolak sistem Islam yang merupakan jalan menuju Allah SWT, menolak al Qur’an dan menukar gantinya dengan ideologi-ideologi Sekularisma yang lain, maka mereka sebenarnya telah diselaputi dengan kegelapan dan kesesatan. Mereka jahil terhadap hakikat Islam itu sendiri.

Kejahilan itu membawa mereka yakin terhadap ideologi-ideologi Demokrasi, Kapitalisme, Komunisme, Liberalisasi dan Sosialisme, meskipun mereka mengaku dan percaya kepada Allah dari sudut tauhid Rububiyyah tetapi tidak pada sudut UluhiyyahNya. Kejahilan menyebabkan ada yang menyatukan Islam dengan ideologi-ideologi lain seperti melaungkan demokrasi Islam dan sosialis Islam dengan harapan supaya diterima oleh masyarakat. Sebenarnya penamaan tersebut bererti menzalimi Islam, sedangkan Islam bersih daripada penamaan-penamaan tersebut. Islam adalah Islam. Tidak ada sistem tiruan dan cedokan daripada mana-mana sistem lain. Ia tidak boleh sama sekali disamakan dengan mana-mana sistem kerana ia ditanzilkan oleh Allah SWT.

3.5 Konsep Jihad dalam Islam
3.5.1. Definisi Jihad
Bahasa = berasal dari perkataan arab yang bermaksud kesukaran
Istilah = mengerahkan segala usaha dan tenaga bagi menghadapi orang yang menentang agama Allah (Kuffar), dan dimasukkan juga menetang hawa nafsu, syaitan juga fasik.
Dalam Islam, erti kata Jihad ialah berjuang dengan bersungguh-sungguh. Mereka yang berjihad digelar Mujahid.Jihad dilaksanakan untuk menjalankan misi utama manusia yaitu menegakkan Din (agama) Allah atau menjaga Din tetap tegak, dengan cara-cara sesuai dengan garis perjuangan para Rasul dan al-Quran. Jihad yang dilaksanakan Rasul adalah berdakwah agar manusia meninggalkan kemusyrikan dan kembali kepada aturan Allah, menyucikan hati, memberikan pengajaran kepada umat dan mendidik manusia agar sesuai dengan tujuan penciptaan mereka yaitu menjadi khalifah Allah di bumi.

3.5.2. Pembahagian Jihad

1. Jihad kecil iaitu jihad menentang musuh-musuh Islam sehinggalah mereka mengucap dua kalimah syahadah.

2. Jihad besar iaitu jihad menentang nafsu termasuklah nafsu malas, nafsu makan, nafsu syahwat dan sebagainya.

Konsep Ilmu

( KONSEP ILMU )

2.1 KONSEP ILMU DAN PEMBAHAGIAN ILMU.

2.1.1 Takrif Ilmu.

Ilmu berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘alima (mengetahui). Kamus Dewan pula mendefinisikan ilmu sebagai kepandaian @ pengetahuan.

Ibn Manzur di dalam Lisan al ‘Arab, memberi empat huraian terhadap kata dasar al ‘ilm:
• Merujuk kepada sifat Allah yang Maha Mengetahui.
• Berlawanan dengan sifat al jahl (tidak tahu atau dungu).
• Mengetahui sesuatu atau mengenalinya atau ‘arafa.
• Dengan pengertian al a’lam yang bermakna tanda atau alamat.

Al Qannuji mentakrif ilmu sebagai al-idrak dan al-tasdiq (pengetahuan dan kebenaran).

Menurut Imam al Ghazali, ilmu adalah hakikat atau kebenaran semua perkara. Ilmu juga merupakan keupayaan membuat generalisasi, kefahaman terhadap idea-idea abstrak dan kebolehan untuk memperolehi kebenaran. Menurut beliau juga, kebenaran sebenar adalah yang disandarkan kepada Allah SWT.

2.1.2 Pembahagian Ilmu.

Dari aspek kewajipan hukum ke atas setiap muslim, ilmu dibahagikan kepada dua: ilmu Fardhu Ain dan ilmu Fardhu Kifayah.

2.1.2.1 Ilmu Fardhu Ain

Ilmu yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim yang telah akil baligh untuk mempelajari dan mengamalkannya, merangkumi ilmu akidah seperti perkara yang berkaitan dengan solat, puasa dan sebagainya. Juga merangkumi ilmu akhlak seperti adab dengan ibubapa dan seumpamanya. Kesemua ilmu ini adalah untuk pembentukan peribadi muslim. Peribadi muslim hanya akan sempurna apabila tercapainya kesempurnaan akidah, syariah, dan akhlak.

2.1.2.2 Ilmu Fardhu Kifayah

Ilmu-ilmu yang dipelajari oleh masyarakat secara kolektif dan bukannya sebagai kewajipan ke atas individu, kecuali sekiranya hanya seorang sahaja yang berkeahlian di dalam bidang tertentu dan tidak ada orang lain yang mempunyai kemahiran tersebut dengan sendirinya ia akan menjadi Fardu Ain. Ilmu Fardu Kifayah yang diwajibkan itu ialah ilmu yang diperlukan untuk kepentingan kehidupan masyarakat Islam di dalam bidang kebendaan dan lain-lain yang bertujuan untuk mencapai keselesaan, kestabilan dan keamanan dalam masyarakat, contohnya seperti ilmu perubatan, ilmu matematik dan sebagainya.
2.2 KEWAJIPAN MENUNTUT ILMU.

Menuntut ilmu adalah wajib kepada semua individu muslim. Ini berdasarkan hadis Rasulallah SAW ( Terjemahannya ) :
“ Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim”

Berdasarkan hadis di atas, kewajipan menuntut ilmu bukan sahaja kepada kaum lelaki muslim sahaja, tetapi juga kepada perempuan muslim. Malah tuntutan ini berterusan sejak dari buaian hinggalah ke liang lahad. Kewajipan ini adalah bertambah besar kepada individu yang jahil sedangkan dia berkemampuan dan berpeluang untuk mempelajarinya.

2.3 KELEBIHAN ILMU DAN ILMUAN.

Allah SWT mengangkat darjat orang-orang yang berilmu. Persiapan keilmuan dilihat sebagai persiapan yang asasi dalam amanah kerasulan Nabi Muhammad SAW berdasarkan surah al alaq 1-5. Perlantikan Nabi Adam AS sebagai khalifah Allah di muka bumi serta tunduknya para malaikat adalah kerana kelebihan Nabi Adam dari segi ilmu dan bukan kerana asal kejadiannya. Saidina Ali menegaskan ilmu itu lebih baik dari harta, ilmu menjaga manakala harta dijaga. Ilmu menghukum manakala harta terhukum. Harta berkurang apabila dibelanjakan manakala ilmu pula bertambah apabila diberikan.

2.3.1 Ilmuan.

Ilmuan merupakan golongan yang mendapat kemuliaan dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan seluruh makhluk. Islam menyatakan dengan jelas tidak sama kedudukan orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu. Mereka yang takut kepada Allah adalah dari kalangan ulamak. Tidak sama di antara orang yang alim dengan orang yang jahil kerana yang ingat kepada Allah hanyalah orang-orang berilmu. Para ulamak juga diiktiraf sebagai pewaris Nabi yang meneruskan tugas dan amanah kepada masyarakat sekelilingnya. Rasulallah SAW memberi amaran keselamatan dan keruntuhan sesebuah masyarakat bergantung kepada dua kelompok manusia iaitu para pemimpin dan ilmuan.

2.3.2 Matlamat Ilmu.

Antara matlamat ilmu Islam ialah :
• Ilmu sebagai pelita yang mampu memberi cahaya kepada manusia dalam kehidupan mereka. Ilmu dalam Islam hendaklah digunakan hanya untuk mencari keredaan Allah dan memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk faedah diri dan kepentingan masyarakat manusia dan alam seluruhnya.
• Untuk melahirkan insan yang kamil ( insan yang baik lagi sempurna ) yang dapat mempertahankan kedudukan sebagai manusia yang sebenarnya menurut ajaran Islam.
• Melahirkan insan yang bertakwa ( takut kepada Allah ) .


2.3.3 Sumber Ilmu.

• Al Qur’an

Al Qur’an merupakan sumber ilmu yang pertama dan wajib diterima secara qarti’e oleh setiap umat Islam. Sumber ilmu Islam berasaskan kepada Al Qur’an mempunyai kemutlakan autoriti yang tidak boleh disangkal. Al Qur’an ialah kalam Allah SWT yang bermukjizat, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang termaktub di dalam mashaf, dipetik dari riwayat yang mutawatir, membacanya dikira ibadah, diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur dengan lafaz dan makna dari Allah SWT dalam bahasa arab.

• Al Sunnah.

Merupakan sumber ilmu yang kedua selepas al Qu’ran. Al Sunnah ialah sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW sama ada perkataan, perbuatan atau pengakuan ( persetujuan ) ataupun sifat-sifat kejadian, akhlak dan sirahnya sebelum atau sesudah dilantik sebagai Rasul. Berperanan sebagai penjelas, penghurai, penguat kepada al Qur’an.

• Sumber-sumber Lain.

Sumber lain berdasarkan kajian dan orientasi yang benar diterima asalkan tidak bercanggah dengan prinsip Islam, misalnya akal fikiran, psikologi manusia, sejarah dan sebagainya. Sumber tambahan ini perlulah selaras dan tidak bertentangan dengan isi kandungan al Qur’an dan al Sunnah. Sumber ini merupakan ruang lingkup yang membuka peluang untuk manusia melakukan ijtihad.


p/s: bermula ngan unit 2 sebab unit 1 masih dalam proses penulisan...tak banyak beza ngan modul yg dulu cumanya dikemaskan lagi penulisannya dan dimasukkan beberapa topik baru seperti Pemakanan Halalan Thoyyiba pada unit ke7, topik Halalan Thoyyiba antara topik yang aku minat