Akhlak

Salam..Alhamdulillah Walhamdulillah Summalhamdulillah..

dah lama sangat rasanya aku tak menulis dalam blog aku..macam2 perkara dah berlaku yang akau rasa nak kongsi dalam blog ni tapi masa tak mengizinkan..masa berlalu dan aku pun dah lupa tentang cerita yang aku nak kongsikan tu...

arini ari Selasa dan aku masih berada di ofis di kuching..Hari Jumaat ini insyAllah raya...esok malam baru aku nak naik 'belon' untuk bertemu ayahanda ibunda yang dah lama tak jumpa..

aku bukan nak cerita pasal raya ke apa ke..tapi aku nak tulis tentang apa yang aku rasa nak tulis..

1)Akhlak..ya aku nak bercerita pasal akhlak..Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Nabi SAW yang bermaksud "Diriwayatkan bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW, 'Ya Rasulullah, apakah agama itu? Beliau menjawab: 'Agama adalah akhlak yang baik." begitulah pentingnya akhlak dalam agama

Realiti hari ini ramai kita lihat mereka mengaku mereka beragama Islam tetapi akhlak mereka tidak menunjukkan mereka beragama Islam..lihat sajalah suratkhabar hari, pasti banyak kes jenayah yang berlaku, dilakukan oleh mereka yang muslim..dari kes buang bayi-zina, lumba haram, membunuh, bunuh diri, halau mak ayah, merompak dan macam2 lagi la..itu dilakukan oleh orang biasa..pernah juga aku nampak orang 'agama' tidak berakhlak tapi dalam senario yang berlainan..mengumpat, mengata orang sana-sini, menceritakan keburukan orang, berpura-pura baik dihadapan tapi memburukkan orang tu di belakang...nauzubillah..

bukankah Nabi SAW telah bersabda : "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia" (Riwayat Bukhari)
Jadi kita sebagai muslim hendaklah sentiasa berusaha membaiki akhlak kita sesuai dengan ajaran agama..praktikkanlah sifat-sifat mahmudah...

2) Baru-baru ni kecoh dengan isu yang rusuhan dan membakar Jalur Gemilang oleh segolongan manusia di Indonesia..mereka berkumpul di depan kedutaan Malaysia lalu membaling bom dan najis(lagi kes takde akhlak)..bagi aku, aku bukanlah nak mengutuk sesiapa dalam hal ini tapi aku cuba memahami dari satu sudut yang berbeza..Kita lihat sejarah..perang saudara antara Iran dan Iraq telah berlaku(dua2negara Islam)dan mengakibatkan kedua2 negara menalami kerugian yang besar..setelah dikaji,rupanya peperangan bersaudara ini telah dirancang oleh pihak Yahudi dan hal ini telah didedahkan oleh Nylos, 1905..maklumat perancangan Yahudi ini telh diterjemahkan ke bahasa Jerman dan mengakibatkan orang2 Jerman marah pada msa itu(perancangan mereka bukan sekadar peperangan bersaudara tapi banyak lagi)..

berbalik pada peperangan tadi, semasa peperangan banyak duit nak guna nak beli senjata, jadi negara terpaksa pinjam duit ngan badan2kewangan yang lain..habis peperangan negara jadi rugi sebab tanggung hutang..rakyat dan tentera banyak yang terkorban, harta-benda musnah..

jadi dikesempatan ini,aku nak semua berfikir,adakah kita nak perkara yang sama berlaku dengan negara kita.kalau tak nak, kita kene sama berusaha tingkatkan akhlak kita,kalau ada perkara yang xpuas hati,berbincang, bermusyawarah seperti yang dianjurkan Islam..cari jalan penyelesaian sama2..ingat lagi yang kita ni serumpun..negara kita kecik aje,buat ape nak gadoh2..

p/s:masih belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan..pintu taubat masih terbuka..jangan bila ruh dah sampai di tengkuk baru teringat nak bertaubat..

Sekian sahaja, oh ye..tahniah dari aku buat kawan2 yang baru mendirikan rumahtangga dan ada yang baru melahirkan anak..tahniah lagi sekali..

Pelajarku

Mengajar di dalam kelas bukan sekadar mejadi pensyarah dengan pelajar tapi aku lebih suka menjadi daie pada mad'uu yg ingin belajar...bukan sekadar membaca buku modul tapi menghayati intipati pelajaran serta diselitkan beberapa kisah yang menyentuh hati-hati yang masih muda...

natijahnya..

"kenapa ustaz tak ajar kami tamadun islam semester ni?" satu pertanyaan dari aida dan shahril,pelajar DAT yang menjadi muridku ketika mereka semester 1 tahun lepas..

"boleh tak ustaz amik kelas kami sem ni, tukar dengan Us. F...?" kata Aliff,palajar SPK yang mejadi pelajarku sem lepas..

inilah natijah apabila kita menggunakan pendekatan yang berbeza dengan anak murid, melayani mereka seperti mad'uu menjadikan mereka lebih mesra...dalam kemesraan inilah aku mengajak mereka supaya membanyakkan membaca buku..dengan membaca ilmu pengetahuan akan bertmbah..

kepada para pelajar yang dikasihi,
bukan diri ini tidak mahu mengajar kalian tetapi biarlah kalian belajar dengan pensyarah yang lain agar kalian mengerti bahwa setiap pensyarah ada kelebihan masing-masing..biarpun cara yang berbeza tapi kalian hendaklah menghormati pensyarah yang lain sebagaimana seorang menghormati gurunya sewajarnya..

Selamat Menuntut Ilmu..

Bersarang

Emm.. sudah lama aku tak 'up-date' blog,hinggakan bersarang jadinya..

kerana hambatan masa yang menghimpit dan faktor idea yang kering menjadikan aku tak sempat nak update blog aku ( cakap je la malas..)

seorang muslim itu di nilai dari 3 sudut iaitu akidah,syariat dan akhlak...ketiga-tiganya hendaklah tidak boleh dipisahkan kerana andai dipisahkan maka rosaklah jati dirinya sebagai seorang muslim sejati..

kita andaikan akidah@iman ibarat akar, syariat@undang-undang ibarat batang pokok dan akhlak@sikap ibarat daun-daun dan buah-buah yang keluar dari batang pokok tersebut...akar yang kuat akan melahirkan batang pokok yang teguh seterusnya menghasilkan daun-daun yang menghijau dan buah-buah yang lebat...akidah yang kuat akan melahirkan muslim yang berpegang teguh pada undang-undang Islam dan seterusnya menghasilkan muslim yang memiliki akhlak yang hebat lagi terpuji...

ramai kita pada hari yang bergelar "ahli agama" mempunyai akidah yang kukuh..ya! mereka patuh pada perintah Allah SWT, tidak meninggalkan solat, bahkan sering solat sunat dan berpuasa sunat tetapi malangnya apabila membicarakan tentang akhlak mereka,sedikit mengecewakan...mengutuk orang sana-sini, memandang rendang pada orang itu, menyuruh orang buat camtu tapi tapi diri sendiri buat yang sebaliknya, paksa orang buat macam-macam tapi diri sendiri pun tidak macam itu dan sebagainya...

inilah yang patut kita sedari...ya, memang tidak salah kita suruh orang camtu dan camni tapi tegoklah keadaan diri sendiri, ada tak kita buat yang macam kita suruh tu..bukankah Allah SWT telah berfirman dalam surah As-Saaf : 2 yang bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman!kenapa kamu berkata (menyuruh) sedangkn kamu tidak melakukan.sungguh besar kemurkaan Allah SWT jika kamu mengatakan sedang kamu tidak melakukan"

Inilah yang kita perlu perbaiki..akhlak kita..termasuklah mulut kita yang suka mengata keburukan orang lain, hati yang berhasad dengki, suka buruk sangka dan lain-lain lagi..(peringatan khusus buat diri ini)

akhirnya,bila setiap muslim dapat memiliki akidah yang teguh,patuh pada syariat Islam, dan memiliki akhlah mahmudah..maka terbinalah sebuah Tamadun Islam yang gemilang...

Sekian, Allahua'lam

(KONSEP IBADAH)

9.0 KONSEP IBADAH

Ibadat dalam Islam mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang berbeza sama sekali daripada konsep ibadah di dalam agama dan kepercayaan yang lain. Antara ciri-ciri tersebut ialah tidak ada sebarang perantaraan di antara Allah dan manusia, dan ibadat dalam Islam tidak terikat dengan sesuatu tempat atau masa yang tertentu. Rasulullah SAW bersabda. ( Terjemahannya ):

“Seluruh muka bumi ini adalah masjid untukku; Suci dan bersih”.

Ibadat itu terdiri daripada berbagai bentuk, bukan satu macam sahaja sehingga manusia merasa tidak jemu dalam menunaikan ibadatnya. Peningkatan ibadat itu pula berbeza dan beraneka rupa sesuai dengan perangai, kecenderungan dan minat manusia itu sendiri

Ibadat di dalam Islam merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohaniah dan jasmaniah. Tiap-tiap seorang muslim boleh mencampurkan urusan dunia dan akhirat, inilah kombinasi yang indah di dalam Islam yang tidak terdapat di dalam agama-agama lain.

Pintu untuk membuat ibadat adalah terbuka di semua penjuru. Semua aktiviti manusia sehingga makan dan minum pun boleh menjadi ibadat jika ia berniat untuk mengumpulkan tenaga bagi memperjuangkan perkara-perkara yang baik seperti yang disuruh oleh Islam.

9.1 RUANG LINGKUP IBADAH
Islam amat istimewa hingga menjadikan seluruh kegiatan manusia sebagai ibadah apabila diniatkan dengan penuh ikhlas kerana Allah demi mencapai keredhaanNya serta dikerjakan menurut cara-cara yang disyariatkan olehNya.
Islam tidak membataskan ruang lingkup ibadah kepada sudut-sudut tertentu sahaja. Seluruh kehidupan manusia adalah medan amal dan persediaan bekalan bagi para mukmin sebelum mereka kembali bertemu Allah di hari pembalasan nanti.
Hakikat ini ditegaskan oleh Allah di dalam Al-Quran:
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat). (Al-Mulk:2)
Oleh itu ruang lingkup ibadah dalam Islam sangat luas. Ia adalah seluas tempoh hayat seseorang Muslim dan kesanggupan serta kekuatannya untuk melakukan apa saja amal yang diredhai oleh Allah dalam tempoh tersebut

9.1.1 PENGERTIAN IBADAH

Abu Al-Ala Al-Maududi telah mentarifkan ibadah daripada segi bahasa dan istilah di dalam bukunya Asas-asas Islam seperti berikut:

Bahasa: Merendah diri, tunduk, patuh dan taat

Istilah : Taat, tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah. Jelasnya, ibadah ialah pengabdian dir sepenuhnya kepada Allah subhaanahu wa taaala.

Al-Quran menjelaskan bahawa ibadah sebagai ubudiyyah dan ketaatan. Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya. (Al-Baqarah:1-2)

Sementara itu banyak terdapat ayat al Qur’an dan al Hadis yang mewajibkan supaya beribadat. Di antaranya:




Maksudnya :
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
(Az-Zaariyat : 56)

Firman Allah SWT lagi:






Maksudnya :
“Wahai sekalian manusia beribadahlah kepada Tuhan kau yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”
(Al-Baqarah : 21)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Apakah dia Ihsan ? Jawab baginda: Ihsan bahawa kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, maka jika kamu tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat kamu.”

Daripada ayat dan hadis di atas boleh dibuat kesimpulan berikut:

1. Allah SWT menciptakan umat manusia dan memerintah mereka supaya melakukan ibadat serta menjunjung perintahNya dan meninggalkan larangan-laranganNya.

2. Tujuan sebenar Allah SWT menciptakan manusia ialah untuk beribadat. Manusia diwajibkan beribadat kepada Allah SWT serta mengemukakan ibadah-ibadahnya, hanya kepada Allah tanpa menyekutui Allah dengan sesuatu makhluk.

3. Mewajibkan dan tugas beribadat sentiasa dituntut hingga sampai menemui Allah, seseorang itu tidak akan terlepas daripada tugas tersebut walaupun jiwanya telah meningkat tinggi dan sentiasa dalam perhubungan yang kuat dengan tuhannya.

4. Setiap peribadatan hendaklah berdasarkan keikhlasan yang lahir daripada hati yang redha, sebagai mengabdikan diri kepada Allah SWT.

9.1.2 SYARAT-SYARAT BAGI SESUATU AMALAN (ADAT) MENJADI IBADAH.

Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Ibadah Dalam Islam telah memberikan syarat-syarat supaya sesuatu itu mendapat status ibadah:

 Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.
 Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik atau kerana Allah.
 Amalan tersebut mestilah dilakukan dengan seelok-eloknya bagi menepati oleh Rasulullah:
Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya. (Muslim)
 Ketika membuat amalan tersebut, hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syara dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain dan merampas hak-hak orang.
 Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, dan sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum.

9.1.2.1 Ibadat Bergantung Kepada Niat.

Antara fungsi niat yang terpenting ialah:

• Membezakan antara ibadah dengan adat. Contohnya mandi pada pagi Hari Raya, akan jadi ibadah jika ada niat mandi sunat Hari Raya. Jika tiada niat akan jadi amalan bangun pagi mandi mencuci diri.

• Membezakan antara sesuatu ibadat dengan ibadat lain. Contohnya, niat puasa untuk ibadah puasa dan niat solat untuk ibadah solat.

• Membezakan antara fardhu dengan sunat dalam ibadah yang sama jenis. Contohnya, niat menentukan sama ada hendak solat fardhu atau sunat kerana cara perlaksanaannya adalah sama.

• Membezakan antara fardhu dengan fardhu itu sendiri. Contohnya, jika seseorang itu menanggung kewajipan berpuasa sebab qadha, nazar dan kifarah, niatnyalah yang menentukan kewajipan mana yang hendak dilaksanakan.

• Niat juga boleh menentukan sama ada boleh mendapat ganjaran pahala daripada perbuatannya ataupun lagha sahaja, seperti duduk di dalam masjid dengan niat iktikaf dan masuk masjid untuk berehat sahaja, maka yang niat iktikaf dapat pahala sedangkan yang tidak berniat tidak mendapat apa-apa pahala.

• Niat juga dapat menentukan sesuatu perbuatan yang dilaksanakan oleh seseorang sama ada haram atau harus seperti seorang perempuan yang meninggalkan perhiasan dan bauan kerana kematian seorang lelaki yang bukan suaminya lebih daripada tiga hari. Jika ia berbuat demikian bukannya kerana berkabung di atas kematian itu maka perbuatan itu adalah harus.

• Niat juga dapat menjadi neraca atau penilaian di dalam menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu mendapat pahala atau mendapat seksa seperti seorang yang menyimpan al Qur’an di rumahnya, sedangkan ia tidak membacanya, jika niat untuk kebaikan akan mendapat pahala, tetapi jika ia menyimpan kerana perhiasan semata-mata tidaklah mendapat apa-apa pahala. Begitu juga seorang yang makan hingga kenyang, jika ia berniat mengikut nafsu adalah berdosa, tetapi jika dengan niat bertaqwa., beribadat maka ia mendapat pahala.

• Niat juga menjadi penentu kepada sesuatu perkara sama ada ia sabit hukum atau tidak. Contohnya, membunuh dengan niat (sengaja membunuh) lebih berat daripada membunuh tanpa niat (tidak sengaja).

Ketika Rasulullah SAW berserta sahabat pergi berperang ke Tabuk baginda bersabda (terjemahannya):

“Sesungguhnya ada beberapa kaum yang kita tinggalkan di Madinah, tiada menempuh kita sekalian akan sesuatu lereng ataupun lembah, melainkan mereka itu bersama-sama dengan kita juga. Jadi memperolehi pahala seperti yang berangkat untuk berperang itu. Mereka itu terhalang oleh sesuatu keuzuran.”

Yang dimaksudkan dengan ‘mereka bersama-sama’ kita di atas itu ialah kebaikan niat mereka, yakni andai kata ada bekalan pasti mereka mengikutnya.

Sabda Rasulullah lagi (terjemahannya):

“Setiap hamba itu akan dibangkitkan menurut keadaan yang ia berniat mati untuknya.”

9.1.3 PEMBAHAGIAN IBADAH .

Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:

1. Ibadah khusus
Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah Al-Quran, zikir dan seumpamanya.

Ianya bersifat taufiqiyyah, iaitu dilaksanakan menurut garis-garis yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan berhenti setakat sempadan yang telah ditentukan oleh syara dan sebagaimana yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tanpa boleh ditambah atau dikurangkan atau membuat sebarang perubahan terhadapnya. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam:
Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang.
(Sahih Bukhari)

2. Ibadah umum
Segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.

Ibadah umum dalam bentuk mengatur cara kehidupan seharian daripada pengurusan keperluan peribadi sehinggalah kepada cara membina negara, perhubungan antara bangsa, cara melaksanakan hukum dalam masa perang dan damai. Semuanya ada peraturan-peraturan akhlak yang mulia daripada perspektif Islam yang boleh membuat amalan-amalan kita itu menjadi ibadah.

9.1.4 MATLAMAT DAN KEPENTINGAN IBADAH DALAM PEMBENTUKAN JATI DIRI MUSLIM

Tiang-tiang ibadah mengembangkan kebaikannya kepada seluruh ruang lingkup kehidupan manusia sehingga manusia dibanjiri dengan kebaikan dan kemanfaatan melaluinya. Solat yang benar-benar khusyu akan mempengaruhi seluruh kehidupan seseorang itu sehingga ia merasakan jijik untuk dan benci untuk melakukan sebarang kejahatan dan kemungkaran. Sebagaimana firman Allah:
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Al-Ankabut:45)
Ruh yang dibawa oleh sistem zakat pula mengembangkan daya kerja yang tinggi di kalangan orang-orang beriman. Orang yang benar-benar beriman menganggap bekerja dan menambah rezeki adalah dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah dengan mengeluarkan sebahagian daripada pendapatan yang diperolehi ke jalan Allah iaitu dengan memberikan sedekah dan membayar zakat dan jihad fisabilillah.
Tujuan utama puasa pula ialah untuk mewujudkan taqwa kepada para mukmin. Puasa yang mengukuhkan sifat taqwa di dalam jiwa mukmin akan menjadikan seseorang itu ikhlas dengan sepenuh hatinya dalm melaksanakan segala perintah Allah, sanggup melakukan tugas-tugas yang berat dalam mentaati Allah dan lebih mengutamakan kepentingan ummat Islam daripada kepentingan peribadinya.
Manfaat haji yang besar adalah dorongan bagi seluruh ummat Islam mengukuhkan kesatuan Muslim. Kesatuan ummat Islam merupakan tunjang kekuatan yang paling utama yang dapat memimpin ummat manusia.
Kesimpulannya, setiap ibadah itu jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan dapat melahirkan ummah yang kuat, bersatu dan diredhai oleh Allah subhaanahu wa taala.









9.2. MEMAHAMI IBADAH DALAM ASPEK PEMAKANAN
(HALALAN THOYYIBA)




9.2.1. Konsep Makanan Halalan Thoyyiba

Halal - Bahasa : dibenarkan atau dibolehkan
- Istilah : segala sesuatu yang boleh dikerjakan atau dimakan atau dibenarkan oleh syarak. Sesuatu yang tidak ditegah oleh syarak.

Thoyyiba : Bermaksud baik, bermutu dan berkualiti.

Makanan halalan thoyyiba bermaksud makanan yang halal lagi baik dan suci. Baik itu juga bermakna bermutu, berkualiti dan lebih menekankan kepada kebersihan semasa pengendalian dan pemprosesan.

Maksud Firman Allah SWT : “Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu, dan bersyukurlah nikmat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah” An-Nahl : 114





9.2.2 Ciri-Ciri Thoyyiba

1. Halal
2. Disembelih kerana Allah SWT (bagi haiwan darat kecuali belalang)
3. Mempunyai zat dan nutrien secukupnya unutk badan
4. Dimasak sehingga matang
5. Cara pengendalian dan pemprosesan yang bersih
6. Disimpan, Dihidang/dibungkus dengan baik
7. Kawasan persekitaran yang bersih dan tidak tercemar

9.2.3 Binatang yang haram dimakan
1. Daging babi, anjing dan keturunannya
2. Arak, alkohol, tuak dan segala yang memabukkan
3. Darah kecuali hati dan limpa
4. Binatang karnivor( makan daging)
5. Binatang yang disembelih bukan kerana Allah SWT
6. Binatang yang makan sampah seperti burung gagak
7. Sesuatu yang datang dari manusia seperti uri.
8. Sesuatu yang memudharatkan dan beracun jika dimakan.








Kenapa babi HARAM dimakan?
Terdapat kuman dan parasit yang merbahaya kepada kesihatan manusia seperti kuman taenia solium, faciolopis buski, paragonimus, cloronorchis senesis, erysipelothorix rhnsiphatiae, cacing pita, cacing gelang dan cacing kerawit. Penyakit yang mungkin dihadapi sekiranya seseorang makan babi ialah:
1. Sering kekejangan urat
2. Kehilangan tumpuan
3. Kulit jadi kasar dan kemerahan ketika tua
4. Penyakit membunuh H1N1
5. Penyakit Japanese Encephalitis akibat gigitan nyamuk culex

Kenapa arak HARAM diminum?
Arak mengandungi alkohol yang boleh memabukkan dan menghilangkan kewarasan akal fikiran. Kesan yang mungkin dihadapai oleh seseorang yang minum arak ialah:
1. Lemah jantung
2. Darah tinggi
3. Gangguan pelbagai komplikasi urat saraf
4. Rumahtangga retak dan hancur
5. Dibuang kerja/ ulang semester bagi pelajar kerana cuai dan tidak datang ke kelas

9.2.4. Hikmah Pemakanan Halalan Thoyyiba
 Supaya doa mudah dimakbulkan oleh Allah SWT
 Solat diterima oleh Allah SWT
 Selamat dari api neraka
 Membezakan orang beriman dengan yang lain
 Membentuk akhlak yang mulia
 Melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah
 Menghindari pelbagai penyakit yang berbahaya
 Menyucikan diri dari makanan yang kotor dan tidak suci

Larangan bersanggul

semalam aku baca surat khabar, nampak satu ruangan soal jawab kemusykilan agama

penanya bertanya : bolehkah bersanggul? penjawab(Dr. bidang agama) menjawab : boleh asalkan menutup aurat...

pagi ni dapat mesej, ada kawan tanya pasal hadis bersanggul, cari punya cari jumpala hadis-hadis berikut

Rasulullah SAW bersabda:
“ akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka( isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang ( nipis&ketat). Di atas kepala mereka pula(wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat”- hadith riwayat Ahmad, jil.2, ms. 223.

Rasulullah s.a.w bersabda:

“dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka didunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini”

–hadith riwayat Muslim. Hadith no 212-

maka dapat kita simpulkan siapa yang benar dan sebaliknya. apabila berlaku sesuatu isu@masalah, hendaklah kita merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah..carilah jawapan yang hakiki...

( MANUSIA SEBAGAI HAMBA DAN KHALIFAH ALLAH )

8.1. PERANAN MANUSIA.

Manusia dijadikan oleh Allah bukan secara sia-sia dan main-main bahkan, mempunyai peranan dan matlamat yang tertentu. Firman Allah SWT:


Maksudnya :
“Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya saja-saja (sia-sia tanpa ada sesuatu hikmah pada penciptaan itu?) dan kamu (menyangka pula) kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Al-Mu’minun:115)

Di antaranya ialah sebagai khalifah Allah yang akan mentadbir, mengurus dan membangunkan bumi ini mengikut syariat dan peraturan Allah dan juga sebagai hamba yang sentiasa beribadah kepadaNya.


8.1 KONSEP MANUSIA SEBAGAI HAMBA DAN KHALIFAH ALLAH.

8.1.1 Tanggungjawab Manusia Sebagai Hamba.

Allah SWT dengan kehendak kebijaksanaanNya telah mencipta makhluk-makhluk yang di tempatkan di alam penciptaanNya. Manusia di antara makhluk Allah dan menjadi hamba Allah SWT. Sebagai hamba Allah tanggungjawab manusia adalah amat luas di dalam kehidupannya, meliputi semua keadaan dan tugas yang ditentukan kepadanya.

Tanggungjawab manusia secara umum digambarkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis berikut. Dari Ibnu Umar RA katanya; “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Semua orang dari engkau sekalian adalah pengembala dan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang digembalainya.Seorang laki-laki adalah pengembala dalam keluarganya dan akan ditanya tentang pengembalaannya. Seorang isteri adalah pengembala di rumah suaminya dan akan ditanya tentang pengembalaannya.Seorang khadam juga pengembala dalam harta tuannya dan akan ditanya tentang pengembalaannya. Maka semua orang dari kamu sekalian adalah pengembala dan akan ditanya tentang pengembalaannya.”
(Muttafaq ‘alaih)


Allah mencipta manusia ada tujuan-tujuannya yang tertentu. Manusia dicipta untuk dikembalikan semula kepada Allah dan setiap manusia akan disoal di atas setiap usaha dan amal yang dilakukan selama ia hidup di dunia. Apabila pengakuan terhadap kenyataan dan hakikat wujudnya hari pembalasan telah dibuat maka tugas yang diwajibkan ke atas dirinya perlu dilaksanakan.

8.1.2 Manusia Sebagai Khalifah Allah.

Antara anugerah utama Allah kepada manusia ialah pemilihan manusia untuk menjadi khalifah atau wakilNya di bumi. Dengan ini manusia berkewajipan menegakkan kebenaran, kebaikan, mewujudkan kedamaian, menghapuskan kemungkaran serta penyelewengan dan penyimpangan dari jalan Allah.

Firman Allah SWT :







Maksudnya :
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku jadikan di bumi seorang Khalifah. Berkata Malaikat: Adakah Engkau hendak jadikan di muka bumi ini orang yang melakukan kerosakan dan menumpahkan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih dan bertaqdis dengan memuji Engkau? Jawab Allah: Aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.”
(Al-Baqarah:30)

Di kalangan makhluk ciptaan Allah, manusia telah dipilih oleh Allah melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ini sudah tentu kerana manusia merupakan makhluk yang paling istimewa.

8.2 PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB MANUSIA SEBAGAI HAMBA DAN KHALIFAHNYA.

Tanggungjawab manusia sebagai hamba dan khalifah kepada Allah secara khususnya meliputi perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan. Tanggungjawab tersebut bolehlah dirumuskan seperti berikut:

1. Mengabdikan diri kepada Allah menerusi beriman kepada Allah dan melakukan amal soleh dalam bentuk yang sempurna.

2. Sebagai hamba, manusia perlu melaksanakan amanah Allah, memelihara serta mengawal agama Allah serta ajaran Allah SWT.

3. Ke arah melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah ini, manusia hendaklah menyedari dan memahami bahawa kewajipan berdakwah dengan menyebarkan dan memperluaskan ajaran Islam ke arah menegakkan syiar Islam serta meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini, dengan berperanan menegakkan amar makruf serta mencegah kemungkaran.

Firman Allah Ta’ala :




Maksudnya :
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam). Dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya. (Ali Imran: 104)

Apabila tugas menyeru kepada Islam dilakukan secara meluas dan menyeluruh dan dapat memberi kesedaran dan keinsafan nescaya akan dapat mewujudkan manusia yang faham akan tanggungjawab dan menjadi manusia yang bertanggungjawab.

4. Sebagai khalifah Allah, yang dimaksudkan dengan wakil Allah, wajiblah manusia menjaga agama dengan melaksanakan dua perkara:

i) Menegakkan Islam. Dengan berdakwah kepada manusia seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA dan membuktikan kebaikan ajaran Islam dan hukumnya di samping mempertahankan agamanya dari ancaman musuh.

ii) Melaksanakan Islam. Dengan mengamalkan perintahNya dan meninggalkan laranganNya, dalam semua urusan termasuk juga urusan kemasyarakatan dan kenegaraan.

5. Bertanggungjawab menjauh dan memelihara diri dan keluarga daripada masuk ke dalam neraka.


Firman Allah SWT :




Maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman ! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh Malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula melakukan segala yang diperintahkan.” (At-Tahrim : 6)

Begitulah di antara tanggungjawab besar yang wajib dilaksanakan oleh setiap manusia yang hidup di atas muka bumi Allah. Seterusnya ia mestilah kembali kepada Islam, menghayati Islam, kembali kepada beriman dan beramal soleh.


p/s: seperti biasa, ayat Al-Quran (bahasa arab) tak dapat dicopy...huhuhu..hanya terjemahan saja yang berjaya dimuatkan di blog ini...

AKHLAK ISLAM

7.1 Definisi Akhlak.

Menurut bahasa:
Perkataan akhlak berasal daripada perkataan (al-akhlaaku) iaitu kata jama daripada perkataan (al-khuluqu) bererti tabiat,kelakuan, perangai, tingkahlaku, matuah, adat kebiasaan, malah ia juga bereti agama itu sendiri. Perkataan (al-khulq) ini di dalam Al-Quran hanya terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya ialah:
Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. (Al-Qalam:4)

Menurut istilah:
Ibn Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.
Imam Ghazali radiAllahu anhu mengatakan: akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk


7.2 PEMBAHAGIAN AKHLAK

7.2.1 AKHLAK TERHADAP ALLAH.

Pada dasarnya, akhlak kepada Allah SWT itu ialah bahawa manusia hendaklah :

1. Beriman kepada Allah.
2. Beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah dengan tulus ikhlas.

Beriman kepada Allah ialah mengakui, mempercayai atau meyakini bahawa Allah itu ada dan bersifat dengan segala sifat yang baik dan Maha Suci dari segala sifat yang buruk. Tetapi beriman kepada Allah, tidak cukup hanya sekadar mempercayai akan adanya Allah sahaja, melainkan harus juga diikuti dengan beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah dalam kehidupan sehari-hari, mengamalkan segala perintah Allah dan dijauhinya segala larangan Allah. Semua ini dikerjakan dengan tulus ikhlas, semata-mata hanya kerana Allah sahaja. Akhlak juga boleh diterangkan seperti berikut:

A. Tidak Mempersekutukan Allah Dengan Apa Juga.

Mempersekutukan Allah maksudnya ialah mempertuhankan sesuatu yang bukan Tuhan, sehingga selain Tuhan yang sejati ( Allah ) dianggap ada lagi Tuhan yang lain. Perbuatan demikian disebut syirik, dan orang yang melakukannya dinamakan sebagai Musyrik.


Firman Allah SWT yang bermaksud:

“ Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang selain dari itu bagi siapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.” ( An-Nisaa’ : 116 )

B Takut Kepada Allah.

Agama Islam memang mengajar umatnya takut kepada Allah. Takut di sini bermakna taat dan patuh pada segala perintah dan larangan Allah SWT, bukan bermaksud lari daripada Allah.

Firman Allah SWT :




Maksudnya:
“ Orang yang patuh kepada Allah dan RasulNya, takut dan bertakwa kepadaNya, itulah orang-orang yang memperolehi kemenangan.” ( An-Nur : 52 )

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Ada tiga perkara yang dapat menyelamatkan manusia, iaitu:
1. Takut kepada Allah di tempat yang tersembunyi mahupun di tempat yang terang .
2. Berlaku adil pada waktu rela atau waktu marah.
3. Hidup sederhana pada waktu miskin mahupun pada waktu kaya.”

C. Cinta Kepada Allah.

Sebagai manusia, selain harus bertakwa dan takut kepada Allah, mereka harus cinta dan kasih kepadaNya.
Firman Allah SWT :








“Dan di antaranya manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah. Mereka menyintainya sebagaiman mereka menyintai Allah. Adapun orang-orang beriman sangat menyintai Allah.” ( Al-Baqarah : 165 )

Seseorang yang cinta kepada Allah, tentu ada tanda-tandanya. Siti Aisyah r.a. berkata yang bermaksud:
“Barang siapa cinta kepada Allah SWT, ia akan memperbanyakkan ingat (zikir) kepadaNya, dan sebagai ganjarannya Allah akan ingat pula kepadanya dengan rahmat dan ampunanNya, memasukkannya ke dalam syurga bersama Nabi-nabinya dan hamba-hamba kecintaanNya dan memberi kehormatan melihat keagunganNya. Dan barang siapa menyintai Nabi Muhammad SAW, ia akan memperbanyakkan bacaan selawat kepada baginda, dan sebagai ganjarannya orang itu akan memperolehi syafaat baginda dan menemani baginda di syurga.”

D. Redha dan Ikhlas Kepada Qadha’ dan Qadar Allah SWT.

Qadha’ dan Qadar (Takdir) apa pun yang telah ditentukan kepada kita wajib kita menerimanya dengan redha dan ikhlas, walaupun yang ditakdirkan untuk kita itu mungkin merugikan atau menyedihkan kita, sebab kita menerima (dengan baik) atau tidak, takdir Allah itu pasti terjadi juga dan tentu berlaku pada diri kita. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya besarnya pahala itu mengikuti besarnya cubaan. Dan sesungguhnya Allah apabila senang pada suatu golongan, dicubanya golongan itu (dengan sesuatu cubaan). Siapa yang redha terhadapnya, ia akan mendapat keredhaan Allah, dan siapa yang marah, ia juga akan memperolehi kemurkaan Allah.”

E. Bertaubat Kepada Allah SWT.

Erti taubat dari segi bahasa ialah: kembali.
Dari segi istilah: kembali taat kepada Allah setelah sebelumnya durhaka kepadaNya. Imam Al-Ghazali berkata, bahawa taubat itu ialah kembali mengikuti jalan yang benar dari jalan sesat yang telah ditempuhnya.

Firman Allah SWT :


Maksudnya:
“ Bertaubatlah kamu semua kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” ( An-Nur : 31 )

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Hai manusia bertaubatlah kepada Allah dan mintalah ampun kepadaNya. Sesungguhnya aku sendiri bertaubat dalam seharinya 100 kali.”

Abu Zakaria Muhyidin Yahya An-Nawawi di dalam bukunya “ Riyadhu-as-Salihin “ menerangkan, bahawa taubat itu hendaknya dilakukan dengan mengerjakan rukun-rukun taubat yang terdiri dari :
a. Berhenti dari maksiat.
b. Menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan.
c. Berjanji dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi berbuat dosa.
d. Dalam hal dosa itu ialah dosa kepada orang lain hendaklah ditambah dengan menyelesaikan persoalan dengan orang lain yang bersangkutan.

F. Bersyukur kepada Allah SWT.

Bersyukur adalah satu hal yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. dan RasulNya.
Firman Allah SWT :





Maksudnya:
“ Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman, iaitu: Bersyukurlah kepada Allah. Barangsiapa bersyukur (kepada Allah), sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri dan barangsiapa tidak bersyukur, sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” ( Luqman : 12)

Syukur boleh diertikan sebagai mempergunakan nikmat atau pemberian yang ada di tangan kita, sesuai dengan yang dikehendaki oleh yang memberi kenikmatan itu. Syukur juga boleh diertikan seperti berikut:

• Merasa gembira atas sesuatu pemberian/kebaikan orang lain yang kita terima.
• Menyatakan kegembiraan itu dengan ucapan dan perbuatan.
• Memelihara pemberian/kebaikan itu dengan sebaik-baiknya dan mempergunakannya sesuai dengan yang dikehendaki oleh si pemberi kebaikan itu.
• Membalas pemberian / kebaikan itu. Membalas pemberian Allah ialah dengan mempergunakan kurnia Allah itu menurut yang diredhai oleh Allah, sedangkan membalas pemberian manusia ialah dengan membalas pemberian itu dengan pemberian pula, sekurang-kurangnya dengan doa.

7.2.2 AKHLAK TERHADAP RASUL.

Sebagai seorang nabi dan utusan Allah kepada sekalian umat manusia di dunia ini, maka setiap individu muslim perlu mempunyai akhlak yang perlu dipelihara sesuai dengan martabat baginda.

Antara akhlak yang perlu ada pada setiap individu muslim kepada nabi Muhammad SAW ialah :

A. Beriman Kepada Rasullullah SAW.

Seperti juga akhlak kepada Allah, maka akhlak manusia kepada Nabi Muhammad SAW yang pertama sekali ialah beriman kepada baginda SAW, iaitu percaya bahawa baginda adalah Nabi dan Rasul ( utusan ) Allah kepada seluruh manusia dan mempercayai segala ajaran yang disampaikan oleh baginda adalah merupakan wahyu Allah SWT yang benar. Kepercayaan yang sepenuh hati tanpa ada sedikit keraguan yang boleh menjejaskan keimanan seseorang muslim. Tanpa keimanan yang sepenuhnya kepada baginda SAW tidak mungkin seseorang itu menjadi muslim dan tidak sah serta terbatallah keislamannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Maksudnya:
“Katakanlah hai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semuanya, iaitu Tuhan yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Tiada Tuhan selain daripadaNya, yang menghidupkan dan mematikan. Sebab itu, hendaklah kamu beriman kepada Allah dan UtusanNya, Nabi yang ummi yang percaya kepada Allah dan perkataan-perkataanNya. Ikutilah ia supaya kamu mendapat petunjuk.” ( Al-A’raaf : 158 )

B. Tunduk dan Patuh Kepada Rasullullah SAW.

Beriman kepada Nabi Muhammad membawa kepada tunduk dan patuh kepadanya. Ketaatan yang sepenuhnya kepada baginda adalah kewajipan yang perlu dibina dalam diri individu muslim. Tunduk dan patuh juga memberi makna menjadikan Rasulullah SAW sebagai manusia pertama yang perlu ditaati berbanding sekalian manusia dan makhluk yang wujud di muka bumi ini dan menerima segala apa yang disampaikan baginda dengan ketaatan yang sepenuhnya serta tidak membantah, mempertikaikan, menghina, mempersenda, memperolok-olokkan atau memperkecilkan walaupun satu daripada percakapan, sifat, tingkahlaku, pengakuan dan segala apa yang disampaikan oleh baginda di samping meninggalkan segala tegahan dan larangannya. Dalam erti kata lain meletakkan ketaatan kepada segala suruhan dan meninggalkan segala larangan baginda lebih utama berbanding yang lain selepas Allah dengan hati yang penuh ikhlas .

Firman Allah SWT :





Maksudnya:
“Apa yang dibawa oleh Rasul kepadamu hendaklah kamu terima, dan apa yang dilarangnya hendaklah kamu jauhi.” ( Al-Hasyr : 7 )

C. Cinta Kepada Rasulullah SAW.

Sebagai seorang Nabi dan Rasul Allah yang telah bersusah payah menyampaikan ajaran Allah yang membawa manusia kepada jalan yang benar dan kebahagian yang hakiki, maka setiap umat Muhammad SAW bukan sahaja perlu berterima kasih kepada baginda tetapi perlu menyayangi dan mencintai baginda. Seperti kecintaan kepada Allah SWT, kasih dan sayang umat kepada baginda hendaklah di tahap cinta yang tertinggi setelah rasa cinta kepada Allah SWT. Cinta kepada Allah SWT dan RasulNya tidak boleh dikalahkan oleh cinta kepada apa jua. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“ Tidak beriman salah seorang di antara kamu, sehingga aku lebih dicintai olehnya daripada dirinya sendiri, orang tuanya, anaknya dan manusia semuanya.”

Cinta kepada Nabi Muhammad SAW tidak cukup sekadar dilahirkan dalam bentuk pengakuan kata-kata, tetapi perlu dibuktikan dalam bentuk perbuatan yang nyata, antara lain dengan:

1. Mengamal dan mematuhi agama Islam yang diajarkannya, baik yang terdapat dalam Al-Quran mahupun dalam hadis atau sunnahnya.

2. Berjuang menegakkan, mengembangkan dan membela ajaran-ajarannya, termasuk juga menjaga kemurniannya dari segala bid’ah dan khurafat.

3. Memuliakan Nabi Muhammad SAW dan memperbanyakkan berselawat kepadanya.

4. Memuliakan keluarga dan sahabat-sahabatnya.

5. Berselawat Kepada Rasullulah SAW.

‘Selawat’ adalah dari perkataan ‘solat’ yang mempunyai dua erti, iaitu doa dan keberkatan. ’Solat’ atau ’Selawat’ dalam erti doa ialah ibadat sembahyang, manakala dalam erti yang kedua (keberkatan) ialah nama permohonan keberkatan untuk Nabi Muhammad SAW. Kerana itu berselawat kepada Nabi ialah menyampaikan permohonan keberkatan kepada Allah untuk Rasulullah SAW. Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW merupakan penghormatan kepada baginda dan suatu perkara yang sangat penting dalam Islam. Setiap muslim yang mempunyai kesempatan untuk berselawat, diminta berselawat contohnya ketika menyebut nama Nabi Muhammad SAW atau ketika mendengar namanya disebut orang lain. Malah pada ketika tertentu berselawat ke atas baginda menjadi wajib seperti ketika sembahyang, berkhutbah dan sebagainya.

Firman Allah SWT :



Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikatNya berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu dan sampaikan salam kepadanya dengan sepenuh penghormatan.” ( Al-Ahzab : 56 )

7.2.3 AKHLAK TERHADAP SESAMA MANUSIA.

A. Ibubapa.

Ibubapa adalah insan yang wajib ditaati selepas Allah SWT dan RasulNya. Tidak ada seorang pun yang menyamai kedudukan ibubapa yang sangat terhormat ini, apa lagi menandinginya. Jasa ibubapa yang sangat besar kepada kita iaitu menghamilkan, melahirkan, membesarkan, mendidik dan dicukupi segala keperluan hidup dengan penuh kasih sayang, tanggung jawab dan keikhlasan yang mana semua jasa mereka ini tidak akan dapat terbalas. Demikian keistimewaan dan terhormatnya kedudukan ibubapa sehingga Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” ( Riwayat Tirmidzi )

Wajib berbuat baik atau berbakti kepada ibubapa hendaklah diberi keutamaan yang pertama daripada berbuat baik kepada manusia lain selain Nabi Muhammad SAW. Berbuat baik ini meliputi apa sahaja pekerjaan yang dapat disebut ‘baik’ yang berupa perkataan, perbuatan dan lain-lain. Contohnya berkata dengan sopan dan hormat, merendahkan diri dengan kasih sayang, berdoa kebaikan untuk kedua-duanya, mengikuti dan taat segala perintah dan larangannya selagi mana tidak bercanggah dengan syariat Islam dan sebagainya.

Firman Allah SWT :






Maksudnya:

“Kami perintahkan kepada kamu jangan menyembah selain Dia dan supaya kamu berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya ada dekat denganmu (dalam pemeliharaanmu) hingga berumur lanjut, sekali-kali janganlah kamu berkata kepada keduanya “ah” jangan pula kamu bentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang hormat Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan katakanlah “ Wahai Tuhanku, kasihanilah keduanya, sebagaimana keduanya mengasihani aku ketika aku masih kecil”. ( Al-Isra’ : 23-24 )

Berbuat baik tidak sahaja ketika mereka masih hidup tetapi juga setelah mereka meninggal dunia. Antara perkara yang boleh dilakukan kepada ibubapa yang telah meninggal dunia ialah :

1. Mengerjakan solat jenazah.
2. Berdoa untuk al-marhum, memohon keampunan kepada Allah atas segala dosa-dosanya.
3. Melaksanakan dan menyempurnakan hutang, janji, nazar dan segala perkara yang tidak dapat disempurnakan oleh al-marhum.
4. Memuliakan dan meneruskan silaturrahim dengan sahabat-sahabat baik al-marhum.
5. Memberi pertolongan kepada mereka yang hidupnya bergantung kepada al-marhum.

Kewajiban berbuat baik kepada mereka berdua adalah sangat ditekankan dalam Islam dan menduduki tempat kedua sesudah kewajiban untuk mentaati Allah dan RasulNya. Sesuai dengan itu, pelanggaran atas kewajiban tersebut membawa kedurhakaan kepada mereka yang membawa akibat bukan sahaja balasan buruk di akhirat tetapi juga di dunia. Antara akibat penderhakaan kepada ibubapa :


1. Merupakan dosa besar yang menyebabkan mendapat azab seksaan di neraka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Sebesar-besar dosa besar itu ialah menyekutukan Allah, membunuh orang, durhaka kepada ibubapa dan berkata dusta ( menjadi saksi palsu ). ( Riwayat Bukhari )

2. Semua amal menjadi sia-sia dan tidak bermanfaat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Tiga perkara yang menyebabkan segala amal tidak bermanfaat lagi ialah menyekutukan Allah, durhaka kepada ibubapa dan lari dari medan perang.”
( Riwayat Thabrani dalam Al-Kabir )

3. Akan disegerakan pembalasannya oleh Allah SWT di dunia di samping kemungkinan masih ada pembalasannya lagi di akhirat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Dua kejahatan akan disegerakan pembalasannya di dunia ini juga, iaitu zina dan derhaka kepada ibubapa.” ( Riwayat Thabrani )

B. Guru.

Guru ialah orang yang memberi pengajaran dan pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal. Sesuai dengan pengertian ini, pelajar merupakan orang yang memperolehi pendidikan dan pengajaran dari orang lain baik formal mahupun tidak formal. Islam mengajar umatnya agar memelihara akhlak bersama guru dengan menghormati dan memuliakan mereka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Muliakanlah orang yang kamu belajar daripadanya.”
( Riwayat Abul Hasan Al-Mawardi )

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud :

“Muliakanlah guru-guru agama, kerana barang siapa memuliakan mereka, bererti ia memuliakan aku.” ( Riwayat Abul Hasan Al-Mawardi )

Penekanan akhlak seorang pelajar kepada gurunya diambil perhatian dalam Islam agar ilmu yang diperolehi akan mendapat keberkatan dan seterusnya membimbing pelajar tersebut kepada jalan yang benar dan mendapat kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Seorang pelajar perlu memelihara adab dalam tingkah laku, percakapan, pergaulan dan sebagainya sama ada di hadapan mahupun di belakang gurunya. Di samping itu, anjuran Islam agar seorang murid menghormati gurunya adalah kerana :

1. Guru adalah orang yang sangat mulia.

Kemuliaan guru adalah kerana pekerjaan mengajar atau mendidik. Selain itu kemuliaan guru disebabkan juga kerana kealiman dan kepandaiannya. Rasulullah SAW dalam hadith-hadithnya menerangkan bahawa orang alim adalah pewaris para nabi. Kelebihan orang alim atas orang yang beribadah seperti bulan purnama di antara sekalian bintang-bintang. Dan bahawa matinya satu kabilah dipandangnya lebih ringan daripada meninggalnya seorang yang berilmu pengetahuan. Memelihara akhlak dan menghormati guru mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Barang siapa memuliakan orang alim, bererti memuliakan Tuhannya.”
( Riwayat Abul Hasan Al-Mawardi )

2. Guru adalah orang yang sangat besar jasanya.

Pekerjaan guru adalah menyampaikan ilmu, sedangkan ilmu adalah satu mekanisma yang sangat penting dalam kehidupan manusia, bahkan juga membezakan manusia dari haiwan. Dengan ilmu pengetahuan, kehidupan manusia di dunia akan maju, mempunyai peradaban yang tinggi dan pelbagai kesulitan yang mengancam hidupnya dapat diatasi. Seterusnya dengan ilmu manusia dapat menduduki berbagai kedudukan yang mulia dan terhormat. Bahkan nasib kehidupan manusia di akhirat nanti antara lain juga ditentukan oleh ilmu pengetahuan. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“ Siapa menghendaki dunia, wajib ia mempunyai ilmu. Siapa menghendaki akhirat, wajib mempunyai ilmu. Dan siapa menghendaki dunia dan akhirat kedua-duanya, wajib juga ia mempunyai ilmu.”

C. Rakan.

Pergaulan yang baik bersama rakan-rakan merupakan hasil daripada kemurniaan budi pekerti dan ia dapat memenuhi tuntutan jiwa manusia untuk melengkapkan hidupnya, kerana sebagai manusia kita tidak dapat hidup tanpa pertolongan orang lain.

Sifat yang harus diperhatikan dalam memilih kawan: Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah kamu memerhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan)”

Rakan-rakan yang dipilih hendaklah memiliki beberapa sifat seperti waras fikiran, baik budi pekerti, tidak fasik dan tidak mementingkan hal-hal keduniaan.

Abu Sulaiman Ad-Darani rahimahullah berkata: Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan dengan salah seorang dari dua orang berikut:

1. Orang yang engkau merasa senang dengannya dalam menguruskan hal-ehwal keduniaanmu.
2. Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfaat dalam hal-ehwal keakhiratanmu.

Adab bersama rakan:
Di antara adab pergaulan bersama rakan ialah:

1. Mengamalkan sikap tolong menolong.

Kita hendaklah memenuhi hajat dan keperluan rakan bila ia meminta dan hendaklah memberi dengan muka yang manis dan rasa senang, serta melahirkan tanda kegembiraan, kerana kawan itu sanggup menerima bantuannya.

Al-Atha’ berkata : Perhatikanlah sahabat-sahabatmu itu di dalam tiga persoalannya iaitu :

a. Jika mereka sakit, hendaklah segera menziarahi mereka.
b. Jika mereka terlalu sibuk dengan urusan-urusan maka berilah bantuan.
c. Jika mereka terlupa maka hendaklah mengingatkan mereka.

Kita juga hendaklah menjadikan hajat dan keperluan kawan seperti hajat dan keperluan sendiri dan menunjukkan perasaan simpati dan hormat-menghormati dan kasih-mengasihi antara sesama rakan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Tidak beriman seseorang itu sehingga ia menyintai saudaranya seperti ia menyintai dirinya sendiri.”

2. Memelihara lidah.

Di dalam pergaulan bersama rakan kita hendaklah memelihara lidah dari menyebut keburukkan kawan, mencela atau membocorkan rahsia kawan kepada orang lain.

Al-Abbas, bapa saudara nabi pernah berpesan kepada puteranya Abdullah : maka peliharalah nasihatku yang lima:

a. Janganlah engkau bocorkan rahsianya sama sekali.
b. Janganlah engkau mencaci orang lain di hadapannya.
c. Janganlah engkau membiasakan bohong kepadanya .
d. Janganlah engkau melanggar perintahnya.
e. Janganlah sampai ia melihat sesuatu pengkhianatan berlaku daripadamu.

3. Memaafkan kesalahan.

Sekiranya terdapat keterlanjuran daripada rakan hendaklah kamu memaafkannya atau menanggung dengan sedaya upaya keterlanjurannya, malah harus dibalas dengan cara yang baik.
Firman Allah SWT :



Maksudnya:
“ Moga-moga Allah akan menukarkan keadaan kamu bermusuhan itu dengan kasih sayang.” ( Al- Mumtahinah : 7 )




4. Mendoakan rakan.

Sewajarnya, seorang rakan mendoakan rakannya dengan doa yang baik-baik, bagi diri sahabat itu dan ahli keluarganya sebagaimana dia mendoakan bagi dirinya sendiri; sama ada sahabat itu masih hidup atau sudah mati.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“ Bila seseorang mendoakan bagi diri sahabatnya sedang ia tidak ada bersamanya, maka Malaikat akan berkata:Dan engkau juga akan menerima sepertinya juga.”

Abu Darda’ berkata: Aku sentiasa mendoakan untuk 70 orang dari sahabatku ketika aku dalam keadaan sujud terhadap Allah, aku sebutkan nama mereka satu-satu.
Setengah para salaf mengatakan bahawa: Mendoakan orang-orang yang sudah mati itu, samalah seperti mengirimkan hadiah-hadiah kepada orang-orang hidup.

5. Ikhlas dalam menjalinkan persahabatan

Dalam menjalinkan hubungan sesama rakan, hendaklah disertai dengan niat kerana Allah Taa’la di mana apabila seseorang itu berkasih sayang pada jalan Allah, jangan biarkan kasih sayang itu bercampur aduk dengan dengki dan hasad, baik dalam perkara agama ataupun dunia.

Firman Allah SWT :






Maksudnya:
“ Mereka tiada menyimpan keinginan dalam hati, terhadap apa yang diberikan kepada mereka, dan mereka mengutamakan orang lain dari diri sendiri.”
( Al-Hasyr : 9 )

Ikhlas juga bermaksud, kita tidak menyetujui rakan kita menjejaki jalan kebatilan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama, malah hendaklah kita menentangnya serta menasihatinya kerana Allah.
Antara tanda keikhlasan lagi ialah, ia tidak mengendahkan celaan orang lain terhadap kawannya, ataupun berkawan dengan musuh kawannya.

7.3 ISU-ISU BERKAITAN AKHLAK.

7.3.1 Tidak Menghormati Orang Tua.

Tidak menghormati orang yang lebih tua sama ada ibu bapa sendiri, guru ataupun orang yang lebih tua dari segi umur adalah bercanggah dengan prinsip akhlak Islam. Malah menghormati golongan ini adalah menjadi tuntutan kepada setiap individu muslim. Islam menggalakan umatnya menjaga hubungan dengan orang tua, mengambil berat, berbuat baik dan membantu mereka walaupun tidak mempunyai hubungan tali persaudaraan. Nabi Muhammad SAW mengingatkan bahawa bukanlah seseorang itu dari golongannya apabila tidak menghormati orang tua. Sabda rasulullah SAW yang bermaksud :

“Bukanlah dari golongan kami, siapa yang tiada menghormati orang tua kami dan tiada pula mengasihi anak kecil kami.”

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“Hak saudara yang tua ke atas saudara yang muda, adalah seperti seorang ayah ke atas anak-anaknya.”

7.3.2 Menipu.

Menipu sama ada perkara besar mahupun kecil adalah dilarang sama sekali dalam Islam. Menipu atau berdusta adalah haram dan pelakunya akan mendapat dosa dan dikeji oleh Allah SWT. Menipu membawa bahaya dan kezaliman ke atas orang yang ditipu atau ke atas orang lain dan membawa ketegangan di dalam masyarakat Islam. Banyak hadith Nabi yang mengingatkan agar menjauhi sifat ini malah dusta merupakan salah satu sifat-sifat munafik. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Jagalah dirimu dari sifat dusta, sebab dusta itu setingkat dengan kecurangan, dan kedua sifat ini akan dihumbankan ke dalam neraka.”




Sabda Nabi Muhammad lagi yang bermaksud:

“Adalah suatu pengkhianatan yang besar, iaitu apabila anda menyampaikan sesuatu berita kepada saudaramu, sedang ia mempercayai kata-katamu itu, manakala anda membohonginya.”

Sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Tiga perkara, barang siapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang muslim, iaitu: Bila berbicara ia berbohong, bila berjanji ia mungkiri dan bila menerima amanat ia khianat.”

7.3.3 Mengumpat.

Mengumpat bererti menikam peribadi seseorang dengan memburukkan dan melukai hati. Ia termasuklah menyebut sesuatu yang boleh menimbulkan kebencian atau kemarahan orang yang dikata apabila dia mendengarnya, sama ada yang disebut perkara-perkara berkaitan dengan kekurangan anggota badan, perkataannya, keturunannya, bentuk kejadiannya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, perkara dunianya, pakaiannya, rumahnya atau kenderaannya. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Ghibah (mengumpat ) itu adalah anda menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu yang dibencinya.”

Mengumpat sama seperti seseorang yang melanggar perintah atau larangan Allah SWT yang membawa kepada dosa dan akan mendedahkan diri kepada kemurkaan Allah SWT. Di dalam Al-Qu’ran Allah SWT telah menaskan celaan kepada orang yang suka mengumpat dan menyamakan orang tersebut dengan orang yang memakan daging saudaranya yang telah mati.

Firman Allah SWT :





Maksudnya :
“Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya.” ( Al-Hujurat : 12 )

Firman Allah SWT:

Maksudnya:
“Celakalah untuk setiap pengumpat, pendusta.” ( Al-Humazah : 1 )


7.3.4 Pergaulan Bebas.

Pergaulan bebas merujuk kepada gaya pergaulan tanpa batas dan peraturan diantara lelaki dan perempuan yang menimbulkan banyak masalah sosial dan keruntuhan akhlak. Ia juga merupakan segala bentuk perlakuan manusia yang bertentangan dengan kehendak syariat Islam dan akal murni kemanusiaan.

Pergaulan yang baik adalah amat dituntut oleh Islam. Malah ia merupakan kemurnian budi pekerti yang menjadi pokok pengajaran agama Islam kepada manusia. Walau bagaimanapun dalam pergaulan sesama manusia, Islam telah menggariskan peraturan-peraturan yang bertujuan untuk menjamin akhlak, kehormatan dan kemuliaan manusia khasnya kepada umat Islam yang menjadi umat contoh kepada sekalian manusia.


Setiap pergaulan perlulah sejajar dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bercanggah dengan syariat Islam serta nilai akhlak dan adap kesopanan. Manusia perlu sentiasa mengawal nafsu dan berhati-hati terhadap syaitan dan iblis yang akan sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan manusia dan tidak akan melepaskan peluang menggoda dan menyesatkan manusia yang lalai.

Pergaulan yang melampaui batas-batas yang telah ditetapkan mengundang perkara-perkara yang tidak baik atau maksiat yang seterusnya mendedahkan kepada kemurkaan Allah SWT. Berdasarkan kajian di Malaysia, menunjukkan pergaulan bebas merupakan penyebab utama kepada pelbagai bentuk keruntuhan akhlak dan masalah sosial yang terjadi dalam masyarakat seperti fenomena kehamilan dan kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi, pelacuran, bohsia, bohjan, lesbian, gay dan sebagainya. Islam menegah pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan yang ajnabi seperti berbonceng motosikal, berkhalwat, bersentuhan dan sebagainya sama ada berdua-duaan sahaja atau di tempat umum. Ini kerana perlakuan-perlakuan sumbang ini akan mendorong individu tersebut melakukan perkara yang bertentangan dengan akhlak Islam, maksiat dan boleh terjerumus kepada melakukan zina. Allah SWT dengan tegas melarang manusia melakukan zina dan perkara-perkara yang boleh mendorong ke arah tersebut. Larangan ini adalah untuk memelihara keimanan, ketaqwaan, kemurniaan akhlak dan peribadi manusia dan seterusnya menjamin kesucian keturunan manusia di muka bumi agar hidup dalam batas-batas keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT :


Maksudnya :
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” ( Al-Israa’ : 32 )